Memenangi semula GRC Sengkang daripada Parti Pekerja (WP) ialah tugas mencabar tetapi pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yakin penduduk dapat mempertimbangkan usaha mereka sebelum mengundi pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), kata mantan Menteri Negara Kanan, Dr Lam Pin Min.
Bercakap kepada media sebelum melakukan lawatan ke pusat penjaja pada 30 Mac, Dr Lam yang kini mengetuai pasukan PAP di GRC Sengkang, berkata pasukannya telah bekerja keras di GRC tersebut dan wajah baru pasukannya membawa tawaran berbeza kepada penduduk Sengkang.
Mereka terdiri daripada Cik Theodora Lai, seorang prinsipal di firma ekuiti swasta Tembusu Partners; Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, yang mengajar bidang komunikasi dan media baru; dan Cik Bernadette Giam, seorang pengarah di perusahaan makanan dan minuman tempatan Creative Eateries.
“Kami telah mula bekerja keras dan turun padang sebaik sahaja sekatan Covid-19 ditarik balik. Elmie, Theodora dan saya sendiri telah membuat lawatan di lapangan sejak tiga hingga empat tahun lalu.
“Kami juga mengalu-alukan Bernadette yang merupakan ahli pasukan terbaru dan beliau telah bekerja keras juga. Anda boleh bertanya kepada penduduk di Sengkang. Beliau juga dilihat sangat kerap di lapangan,” kata Dr Lam.
Beliau menambah pasukan PAP GRC Sengkang yang baru itu kini “lebih muda” dan mempunyai “perwakilan jantina yang baik”. Mereka juga merupakan ibu bapa muda yang boleh memahami keprihatinan penduduk GRC Sengkang dengan lebih baik, kata Dr Lam.
Pada 30 Mac, pasukan PAP GRC Sengkang yang terdiri daripada empat orang itu telah melawat pusat penjaja di Blok 170 Sengkang East Drive, yang merupakan sebahagian daripada projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Rivervale Shores, yang siap pada Ogos 2023.
Setelah hampir setengah jam di sana, pasukan PAP GRC Sengkang, serta para aktivis mereka, meneruskan lawatan bertemu penduduk di Pusat Penjaja Buangkok yang terletak di Sengkang Grand Mall, bersebelahan stesen MRT Buangkok.
Semasa lawatan itu, mereka mengedarkan patung beruang (teddy bear) PAP GRC Sengkang serta penyangkut pintu yang mengandungi butiran pasukan PAP tersebut kepada penduduk yang sedang menjamu selera di kedua-dua pusat penjaja.
Ketika ditanya Berita Harian (BH) sama ada keempat-empat pengerusi cawangan PAP GRC Sengkang itu adalah pasukan yang bakal bertanding di GRC Sengkang pada GE2025, Dr Lam berkata ia belum dimuktamadkan dan pasukannya akan terus mendekati penduduk sehingga pengumuman dibuat.
“Saya rasa bukan keputusan saya untuk dibuat sama ada ini adalah pasukan yang bakal bertanding. Kami sedang menjalankan tugas kami sebagai pengerusi cawangan untuk mendekati penduduk.
“Akhirnya, sama ada kami akan diketengahkan sebagai pasukan di GRC Sengkang ini bergantung kepada ibu pejabat parti. Saya rasa kita perlu menunggu sehingga pengumuman dibuat,” kata Dr Lam.
Mengenai sama ada peguam Encik Kawal Pal Singh, seorang aktivis yang pernah dilihat aktif bersama Dr Lam sejak GE2020, akan diletakkan sebagai sebahagian daripada pasukan GRC Sengkang, Dr Lam berkata beliau masih belum pasti.
Encik Singh tidak hadir semasa lawatan pada pagi Ahad itu.
“Saya tidak pasti sama ada Kawal akan diketengahkan atau tidak, tetapi beliau adalah salah seorang aktivis kami di lapangan dan beliau juga aktif membuat lawatan bersama saya untuk mempelajari selok-belok.
“Saya fikir akhirnya ia bergantung kepada ibu pejabat parti sama ada Kawal akan diketengahkan atau diletakkan di mana-mana kawasan di luar GRC Sengkang,” kata Dr Lam.
Ketika ditanya tentang sentimen oleh penduduk semasa lawatan pada pagi Ahad itu, Dr Elmie berkata sambutan yang diterimanya daripada keluarga muda, serta keluarga berbilang generasi, yang sedang menjamu selera di pusat penjaja itu sangat menyentuh hati.
Mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh penduduk, Dr Elmie berkata ibu bapa muda terus berkongsi kebimbangan mereka tentang keselamatan dalam talian dan kesejahteraan digital.
“Ia masih memberi kesan kepada golongan muda. Jadi itu adalah sesuatu yang saya akan terus perhatikan dan menyuarakan,” tambahnya.
Semasa GE2020, pasukan PAP Sengkang diketuai oleh ketua gerakan buruh, Encik Ng Chee Meng, dan terdiri daripada Dr Lam, bersama mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Amrin Amin, dan peguam Encik Raymond Lye.
Parti Pekerja (WP), yang terdiri daripada Anggota Parlimen (AP) Cik He Ting Ru, Profesor Madya Dr Jamus Lim, Encik Louis Chua dan Cik Raeesah Khan memenangi GRC Sengkang dengan 52.12 peratus undi berbanding 47.88 peratus yang diraih PAP.
WP mendapat 60,217 undi, manakala PAP mendapat 55,319 undi.
Sejak 2021, pasukan WP di GRC Sengkang beroperasi tanpa seorang anggota selepas Cik Raeesah mengaku berbohong kepada Parlimen dan meletakkan jawatannya.
Encik Mustafa Nordin, 30 tahun, yang sedang berbelanja untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri bersama anaknya, berkata beliau telah melihat AP-nya Encik Chua sekurang-kurangnya tiga kali di estetnya di Rivervale Shores sejak GE2020.
Beliau, yang telah tinggal di Sengkang sejak kecil lagi, berkata beliau akan terus melihat rancangan dan cadangan yang dibentangkan oleh kededua pasukan WP dan PAP dengan teliti sebelum membuat keputusan mengenai parti mana yang beliau akan undi pada GE2025.
“Saya gembira melihat pasukan PAP membuat lawatan di sini tetapi saya berharap untuk melihat apa yang boleh ditawarkan oleh kedua-dua parti (WP dan PAP) sebelum saya membuat keputusan mengenai siapa yang akan diundi dalam pilihan raya akan datang ini, kata Encik Mustafa.
Pada 29 Mac, semasa berucap di sesi townhall, atau dialog awam, Cik He, Dr Lim dan Encik Chua memberi jaminan kepada penduduk bahawa mereka akan terus menjadi suara bagi mereka yang tinggal di kawasan itu selagi mereka kekal sebagai AP mereka.
Walaupun WP tidak mendedahkan siapa yang akan ditempatkan di GRC Sengkang untuk pilihan raya akan datang, satu nama yang disebut-sebut sebagai berpotensi mengisi ruang kosong dalam pasukan itu ialah Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, yang pernah dilihat pada acara masyarakat dan lawatan sebelum ini.
Pengurus kanan hartanah di Majlis Bandaran Aljunied-Hougang itu telah membuka akaun Instagram awam pada Mac, di mana beliau memuat naik gambar-gambar tentang aktivitinya bersama AP GRC Sengkang.
Beliau juga telah dilihat beramah mesra dengan penduduk semasa menghadiri mesyuarat majlis bandaran itu pada 29 Mac.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg