Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Perlembagaan S’pura peruntuk NMP untuk undur, tanding dalam pilihan raya

‘Parlimen perlu pilih lelaki dan wanita yang berperwatakan dan yang membawa diri mereka dengan betul’
Mar 31, 2025 | 1:41 PM
Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Louis Ng (paling kiri); Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (tiga dari kiri); Encik Derrick Goh (tiga dari kanan) dan Cik Carrie Tan (dua dari kanan) semasa lawatan ke Masjid Ahmad Ibrahim pada 31 Mac. Bersama mereka ialah muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi (dua dari kiri), dan mantan pengerusi cawangan PAP di SMC Hougang, Encik Jackson Lam (kanan).
Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Louis Ng (paling kiri); Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (tiga dari kiri); Encik Derrick Goh (tiga dari kanan) dan Cik Carrie Tan (dua dari kanan) semasa lawatan ke Masjid Ahmad Ibrahim pada 31 Mac. Bersama mereka ialah muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi (dua dari kiri), dan mantan pengerusi cawangan PAP di SMC Hougang, Encik Jackson Lam (kanan). - Foto ZAOBAO

Di bawah Perlembagaan Singapura, seorang Anggota Parlimen Dilantik (NMP) boleh berundur diri daripada jawatan mereka untuk menyertai parti politik dan bertanding dalam pilihan raya.

Demikian dikatakan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, pada 31 Mac.

“Namun, kita mesti memastikan bahawa walaupun mereka adalah NMP, mereka bebas dan Parlimen perlu memilih lelaki dan wanita yang berperwatakan dan yang membawa diri mereka dengan betul,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Masjid Ahmad Ibrahim, yang terletak di Sembawang Road, sebagai sebahagian daripada siri lawatan masyarakat ke masjid dan tempat solat di Yishun pada Hari Raya Aidilfitri.

Encik Shanmugam, yang juga menteri utama bagi GRC Nee Soon, disertai oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon – Cik Carrie Tan, Encik Derrick Goh dan Encik Louis Ng, serta muka baru mantan NMP, Dr Syed Harun Alhabsyi, dan mantan pengerusi cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di SMC Hougang, Encik Jackson Lam.

Seorang lagi muka baru PAP, Cik Lee Hui Ying, turut kelihatan dalam lawatan itu. Beliau merupakan pemimpin akar umbi di kawasan itu.

Komen Encik Shanmugam itu dibuat selepas peguam Encik Raj Joshua Thomas dan Dr Syed Harun Alhabsyi meletak jawatan sebagai NMP kira-kira setahun sebelum tempoh mereka berakhir.

Peletakan jawatan tersebut telah menimbulkan komen bahawa skim yang bertujuan untuk memastikan suara bebas di Parlimen, bebas daripada pengaruh parti, akan terjejas.

Encik Shanmugam menyatakan bahawa beliau adalah satu daripada dua anggota yang masih di Parlimen, selain Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang hadir semasa perbahasan untuk memperkenalkan skim NMP ke dalam perundangan pada 1990.

“Saya fikir adalah idea yang baik untuk membawa masuk lebih banyak suara ke dalam Parlimen, dan saya sangat menyokongnya.

“Jika anda lihat perbahasan dan ucapan sekitar masa itu… mendiang Encik Lee Kuan Yew bercakap tentang potensi NMP menjadi menteri.

“Dan pastinya dokumen perlembagaan dengan jelas membayangkan bahawa NMP boleh menyertai parti politik dan mengambil bahagian dalam pilihan raya.”

Beliau menambah: “Saya faham bahawa (perbahasan Parlimen) berlaku lebih daripada 30 tahun lalu, dan tidak ramai orang mengetahui latar belakang atau peruntukan Perlembagaan… tetapi saya fikir Perlembagaan secara jelas memperuntukkan rangka kerja ini.”

Selepas lawatan ke Masjid Ahmad Ibrahim selesai, Dr Syed Harun berkata beliau telah dapat belajar daripada Encik Shanmugam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta Anggota Parlimen (AP) lain, dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai isu masyarakat.

Dr Syed Harun, yang merupakan konsultan psikiatri dan pengarah perubatan di The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness, turut menyentuh mengenai penglibatannya dalam masyarakat Melayu/Islam.

Ini termasuk jawatannya sebagai presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), kerja sukarelawannya di Yayasan Mendaki ketika beliau masih remaja, serta menyandang jawatan sebagai ahli majlis di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama tujuh tahun antara 2016 dengan 2023.

“Saya meletakkan diri saya ke hadapan untuk berkhidmat dalam apa jua kapasiti yang mungkin pada masa hadapan, dan saya berharap untuk meneruskan perkhidmatan saya untuk negara,” ujar Dr Syed Harun.

Ketika ditanya sama ada AP GRC Nee Soon, Dr Muhammad Faishal, akan ditempatkan di kawasan undi lain, Encik Shanmugam berkata adalah sukar baginya untuk memberikan jawapan lengkap dan muktamad kerana keputusan sedemikian dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) PAP.

Namun begitu, Encik Shanmugam berkata Dr Faishal “tidak mungkin berada di sini (GRC Nee Soon)”.

Prof Faishal, yang merupakan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), telah menyertai Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dalam lawatan bertemu penduduk di Pasar dan Pusat Makanan Eunos Crescent pada 30 Mac.

Itu mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin ditempatkan dalam GRC Marine Parade-Braddell Heights yang baru itu.

Tanpa mengesahkan sama ada Dr Syed Harun dan Encik Lam akan menggantikan sesiapa sahaja dalam senarai GRC Nee Soon, Encik Shanmugam berkata:

“Saya fikir Encik Lam dan Dr Harun akan dapat berkhidmat kepada masyarakat dengan baik.

“Sesiapa sahaja yang kami kemukakan di Yishun, kami perlu mempunyai keyakinan bahawa mereka boleh berkhidmat kepada penduduk Yishun dengan baik dan kami akan cuba memastikannya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg