Encik Shawn Loh, mantan pengarah di Kementerian Kewangan (MOF), telah dilihat di Jalan Besar pada 6 April, menimbulkan spekulasi bahawa beliau berkemungkinan akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Encik Loh, 38 tahun, dilihat bermesra dengan penduduk yang menghadiri acara Mega Give and Take Market di kawasan tersebut, yang menyediakan barangan runcit dan keperluan sekolah secara percuma kepada keluarga berpendapatan rendah.
Beliau dilihat di acara tersebut bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar – Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How; Cik Denise Phua dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Encik Loh, yang merupakan pengarah bagi program keselamatan dan daya tahan di MOF, merupakan penjawat awam kanan kelima yang meletak jawatan menjelang GE2025.
Beliau juga merupakan pengarah Belanjawan 2024 dan 2025, lapor The Straits Times (ST).
Beliau menyertai MOF pada Jun 2023 dan terlibat dalam pelbagai program termasuk skim Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan SG60.
Sebelum menyertai MOF, Encik Loh merupakan naib presiden bagi perniagaan Singapura serta pembangunan tenaga kerja industri di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Acara pada 6 April itu turut diadakan bagi melancarkan Horizons @ Jalan Besar, sebuah program untuk membimbing golongan belia menjadi pemimpin dalam khidmat masyarakat.
Cik Teo, yang mengetuai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Jalan Besar, memberitahu media bahawa Encik Loh merupakan sukarelawan baru yang menyertai GRC tersebut di bawah program Jobs Connect, kerana beliau “mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor awam dan privet”.
“Beliau telah menunjukkan prestasi yang baik, jadi saya percaya beliau akan membawa semua pengalaman dan tenaganya kepada pasukan kami di sini, dan (kami) menantikan sumbangannya,” kata Cik Teo semasa bercakap kepada media selepas pelancaran pelan induk lima tahun GRC itu pada 6 April.
Encik Loh berkata beliau dapat merasakan semangat penduduk di Jalan Besar, sama ada di acara Give and Take Market mahupun semasa pengumuman pelan induk lima tahun yang baru, dan memberitahu media bahawa beliau berhasrat untuk “menyumbang apa yang mampu”.
Seorang lagi muka baru yang hadir ialah Encik David Hoe, pengarah kedermawanan di Majurity Trust dan merupakan penasihat daerah bagi CDC Central, yang turut merangkumi kawasan Jalan Besar.
Beliau terlibat dalam projek perintis Horizons @ Jalan Besar, yang pada Disember 2024 telah membawa 19 pemimpin belia ke Vietnam bagi mengikuti pengalaman pembelajaran di sana.
Pada 5 April, Encik Hoe turut dilihat menghadiri pelancaran pelan induk lima tahun Majlis Bandaran Jurong-Clementi (JRTC).
Beliau menyertai JRTC sebagai sukarelawan bersama Cik Cassandra Lee, seorang sukarelawan akar umbi yang telah lama berkhidmat – satu petanda bahawa kededua sukarelawan itu mungkin akan dicalonkan di GRC Jurong East-Bukit Batok baru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg