Muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang juga aktivis kesatuan sekerja, Cik Natasha Choy, telah menyertai pasukan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, di GRC West Coast, dengan pemahaman lebih mendalam tentang isu dan inisiatif utama yang dilancarkan di kawasan itu.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), Cik Choy, 30-an tahun, dilihat bersama Encik Lee, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast, di satu acara yang diadakan di estet perumahan privet di Jalan Mas Kuning, di Clementi Avenue 2.
Menjawab soalan wartawan, Encik Lee berkata:
“Natasha telah menyertai kami baru-baru ini. Beliau adalah anggota aktif Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dan bergiat di sini bagi mendekati masyarakat dan mengetahui inisiatif yang telah kami lakukan.
“Kami berharap beliau akan menyumbang secara aktif terhadap soal penuaan aktif, penglibatan belia, ikatan masyarakat, serta memastikan kami menambah baik prasarana, bukan sahaja di West Coast tetapi di bahagian lain di daerah kami juga.”
Cik Choy, yang tidak bercakap dengan wartawan, telah dilihat dalam acara kemasyarakatan di GRC tersebut sejak pertengahan Februari.
Dengan perubahan sempadan pilihan raya terkini yang diumumkan pada 11 Mac, GRC West Coast akan menyerap sebahagian daripada GRC Jurong, dan menjadi GRC West Coast-Jurong West apabila rakyat Singapura membuang undi kelak.
Selain itu, sebahagian daripada GRC West Coast seperti HarbourFront dan Sentosa akan ditempatkan untuk membentuk Kawasan Undi Perseorangan (SMC), dan kawasan seperti Dover dan Telok Blangah pula akan bergabung dengan GRC Tanjong Pagar.
GRC West Coast-Jurong West akan mempunyai lima AP dan 158,581 pengundi, meningkat daripada 144,516 pengundi di GRC West Coast semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2020.
PAP memenangi GRC West Coast dengan 51.68 peratus undi – mengalahkan Parti Kemajuan Singapura (PSP), yang diketuai oleh Dr Tan Cheng Bock, bekas penyokong PAP, yang membantu membentuk PSP pada 2019.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, calon-calon PSP dalam PRU 2020, termasuk Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai dan Cik Hazel Poa, telah dikesan di GRC West Coast.
Encik Leong sebelum ini pernah ditukil sebagai menyatakan PSP berdepan cabaran sukar di GRC West Coast-Jurong West yang baru itu.
“41,000 penduduk baru kini diberikan kepada kami. Kami telah berkhidmat amat rapat dengan penduduk di Telok Blangah dalam tempoh empat tahun lalu, tetapi mereka telah dikeluarkan (daripada kawasan dalam semakan sempadan),” kata Encik Leong.
GRC West Coast pernah diterajui bekas Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, yang meletak jawatan pada Januari 2024 di tengah-tengah siasatan rasuah.
Beliau kemudiannya didapati bersalah memperolehi hadiah secara haram sebagai penjawat awam, dan dikenakan hukuman penjara 12 bulan.
“
“Natasha telah menyertai kami baru-baru ini. Beliau adalah anggota aktif Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dan bergiat di sini bagi mendekati masyarakat dan mengetahui inisiatif yang telah kami lakukan. Kami berharap beliau akan menyumbang secara aktif terhadap soal penuaan aktif, penglibatan belia, ikatan masyarakat, serta memastikan kami menambah baik prasarana, bukan sahaja di West Coast tetapi di bahagian lain di daerah kami juga.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg