Mantan pengurus operasi Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS), Encik Abdullah Basiron, yang berkhidmat lebih empat dekad di sekolah itu, cedera parah setelah terlibat dalam satu nahas kenderaan pada 13 Januari.
Kemalangan melibatkan sebuah kereta itu berlaku di persimpangan Toa Payoh Lorong 2 dan Lorong 6, berdekatan dengan HDB Hub.
Menurut kenyataan polis, mereka dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada sekitar 6.40 pagi.
Pemandu kereta lelaki berusia 46 tahun sedang membantu dalam siasatan, yang masih dijalankan.
Difahamkan, Encik Abdullah, 71 tahun, yang lebih dikenali sebagai Pak Dollah kepada pelajar dan kakitangan TKGS, dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedar.
Dalam satu hantaran yang dikongsi di laman media sosial TKGS Alumni, keluarga Encik Abdullah merayu saksi kemalangan itu untuk tampil memberi maklumat.
Anaknya, Encik Muhammad Khalid Abdullah, 34 tahun, memberitahu Berita Harian (BH) beliau menerima panggilan daripada pegawai penyiasat (IO) pada kira-kira 10 pagi untuk memaklumkan mengenai kemalangan ayahnya.
“Semuanya berlaku dengan pantas. Ayah saya kini berada dalam keadaan kritikal di ICU (unit jagaan rapi) di Hospital Tan Tock Seng dan sedang bergantung pada alat sokongan hayat,” kata Encik Khalid.
Beliau turut berkongsi bahawa bapanya sebelum ini mencurahkan dedikasi dan usaha selama 44 tahun sebagai pengurus operasi di TKGS sebelum bersara pada 2017.
Kemalangan yang menimpa Pak Dollah telah mendorong para alumni TKGS memulakan halaman LaunchGood untuk mengumpul dana pada malam 15 Januari.
Kutipan dana itu, diterajui oleh dua alumni, Cik Zuzanita Zakaria, 53 tahun, dan Cik Khalijah Masud, 55 tahun, bertujuan membantu individu yang amat dihargai dalam rangkaian bekas pelajar TKGS.
Bercakap dengan BH, Cik Khalijah berkongsi bahawa dalam masa kurang lapan jam, sasaran $5,000 berjaya dicapai.
“Saya terharu dengan sokongan luar biasa daripada alumni TKGS dan juga orang awam yang telah tampil menderma.
“Ini adalah bukti kukuh betapa eratnya hubungan antara Pak Dollah dengan keluarga besar TKGS. Beliau merupakan sebahagian daripada keluarga besar kami,” ujar pengarah pejabat pembangunan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Cik Khalijah, kohort 1986, dan Cik Zuzanita, kohort 1988, berkata Pak Dollah dikenali sebagai seorang yang ikhlas, ceria dan ringan tulang.
“Di TKGS, Pak Dollah disayangi ramai. Senyumannya tidak pernah pudar. Hampir setiap interaksi beliau dengan bekas pelajar TKGS disulami dengan kenangan tawa riang,” imbas Cik Zuzanita, seorang jurulatih eksekutif dan kepimpinan.
Cik Zuzanita menambah, ini merupakan kali kedua mereka mengumpul dana untuk Pak Dollah, dengan kali pertama dilakukan pada 2017 ketika beliau bersara.
Sehingga 3 petang pada 16 Januari, halaman tersebut telah mengumpul lebih $17,000.
Menurut Encik Khalid, selepas bersara, bapanya bekerja sebagai pembersih.
“Jadual hariannya selalu sama sahaja. Pada 6.15 pagi, dia akan keluar bekerja,” kata Encik Khalid, anak tunggal, sambil menahan sebak.
“InsyaAllah ayah akan sembuh. Saya sangat berterima kasih kepada pihak TKGS yang telah menguar-uarkan kejadian ini.
“Saya hanya mengharapkan doa daripada semua untuk kepulihan ayah secepat mungkin. Saya juga berharap agar ada saksi yang tampil untuk memberikan penjelasan menyeluruh mengenai kemalangan ini,” tambah Encik Khalid.
Encik Khalid dan isterinya, Cik Shahirah Jamil, berkata Pak Dollah mengalami pendarahan otak yang memerlukan kateter untuk memantau tekanan.
Paru-paru beliau turut cedera dan memerlukan empat tiub dada serta alat bantuan pernafasan. Selain itu, beliau juga mengalami patah tulang pada paha kiri dan betis kanan.
Pak Dollah mengalami kehilangan darah yang banyak dan doktor mengesyaki beliau mungkin mengalami koagulasi intravaskular tersebar (DIVC), yang menyebabkan pendarahan menjadi terlalu cair atau pembekuan darah berlaku secara tidak terkawal.
Selain itu, tekanan darahnya tidak stabil dan memerlukan ubat untuk meningkatkannya.
Paras kalium (potassium) dalam darah beliau juga sangat tinggi, yang boleh menimbulkan risiko kepada jantung dan organ lain.
“Keadaan beliau memerlukan rawatan intensif, termasuk pembedahan dan prosedur lanjutan untuk menangani komplikasi yang timbul.
“Beliau sebenarnya dijadualkan untuk pembedahan tengah hari ini (15 Januari), tetapi tidak dapat diteruskan kerana ususnya masih bengkak,” ujar Cik Shahirah, yang mengambil alih perbualan telefon bersama BH kerana suaminya penuh emosi.
“Suami saya masih sangat terkesan mengenangkan nasib ayahnya.
“Kami merayu agar saksi tampil bagi membantu kami mendapatkan pemahaman sepenuhnya mengenai apa yang berlaku,” tambah Cik Shahirah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg