Mantan pengurus operasi Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS), Encik Abdullah Basiron, lebih dikenali sebagai Pak Dollah, 71 tahun, yang berada dalam keadaan kritikal akibat nahas jalan raya telah meninggal dunia.
Berita tersebut disahkan oleh menantu perempuannya, Cik Shahirah Jamil, semasa dihubungi Berita Minggu (BM) pada petang 17 Januari.
Kemalangan Pak Dollah di Toa Payoh pada pagi 13 Januari mencetuskan gelombang sokongan daripada masyarakat, termasuk bekas pelajar TKGS.
Antara yang turut serta ialah beberapa bekas pelajar TKGS, yang melancarkan usaha kutipan dana untuk membantu Pak Dollah.
Halaman kutipan dana tersebut telah ditutup pada 6 petang pada 17 Januari dan ia berjaya mengumpulkan hampir $50,000 – sepuluh kali ganda daripada jumlah sasaran.
Cik Zuzanita Zakaria, seorang alumni TKGS dan salah seorang daripada dua peneraju kutipan derma itu memberitahu BM bahawa mereka dijadualkan bermesyuarat pada malam 17 Januari bagi membincangkan cara dan waktu yang sesuai untuk menyerahkan dana tersebut kepada keluarga Pak Dollah.
“Kami akan serahkan jumlah akhir sumbangan kepada keluarga sebaik sahaja ia dikeluarkan daripada LaunchGood (halaman kutipan derma). Mengikut proses pentadbiran LaunchGood, kami berharap ia dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu akan datang,” kata Cik Zuzanita.
Menurut anak Pak Dollah, Encik Khalid Abdullah, 34 tahun, jenazah akan terus ke Pusara Aman untuk urusan pengebumian pada 18 Januari.
Pak Dollah terlibat dalam kemalangan serius di persimpangan Toa Payoh Lorong 6 dengan Lorong 2 pada 13 Januari, sekitar 6.40 pagi.
Beliau mengalami kecederaan kritikal dan segera dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedar.
Beliau dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) sejak 13 Januari. BM juga difahamkan sebelum ini bahawa beliau bergantung pada alat sokongan hayat.
Pak Dollah meninggalkan seorang anak tunggal lelaki dan seorang menantu.
Dikenali ramai bekas pelajar dan kakitangan TKGS, Pak Dollah telah mencurahkan dedikasi dan usaha selama 44 tahun sebagai pengurus operasi di TKGS sebelum bersara pada 2017.
Seorang lagi bekas pelajar TKGS yang meneraju kutipan dana untuk Pak Dollah, Cik Khalijah Masud, 55 tahun, sebelum ini memberitahu BM sasaran awal $5,000 bagi kutipan tersebut berjaya dicapai dalam masa kurang lapan jam.
“Saya terharu dengan sokongan luar biasa daripada alumni TKGS dan juga orang awam yang telah tampil menderma.
“Ini adalah bukti kukuh betapa eratnya hubungan antara Pak Dollah dengan keluarga besar TKGS. Beliau merupakan sebahagian daripada keluarga besar kami,” ujar pengarah pejabat pembangunan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) itu.
Cik Khalijah, yang daripada kohort 1986, dan Cik Zuzanita pula kohort 1988, berkata Pak Dollah dikenali sebagai seorang yang ikhlas, ceria dan ringan tulang.
“Di TKGS, Pak Dollah disayangi ramai. Senyumannya tidak pernah pudar. Hampir setiap interaksi beliau dengan bekas pelajar TKGS disulami dengan kenangan tawa riang,” imbas Cik Zuzanita, seorang jurulatih eksekutif dan kepimpinan.
Cik Zuzanita menambah, ini merupakan kali kedua mereka mengumpul dana untuk Pak Dollah, dengan kali pertama dilakukan pada 2017 ketika beliau bersara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg