Penting bagi orang ramai sedar bahawa kecerdasan buatan (AI) bukan alat hebat yang dapat melakukan segala-galanya.

Ini kerana sama seperti manusia yang ada kelemahan dan kekuatan masing-masing, AI juga mempunyai keterbatasan tersendiri, kata Encik Muhammad Ridzuan Mokhtar.

Jurutera AI bersama AI Singapore (AISG) – program kebangsaan yang dibangunkan untuk mengembangkan kemampuan Singapura dalam bidang AI – itu menambah bahawa antara keterbatasan AI membabitkan isu data.

Bapa tiga anak itu berkata: “Kami melihat jurang dalam AI hari ini terkait dengan bahasa dan budaya berbeza, itulah sebabnya wadah data kami dibangunkan untuk menyelesaikan (isu ini).

“Saya mengenal pasti bahawa kekuatan dan minat sebenar saya terletak pada penyelesaian masalah data asas atau root data problem supaya AI dapat mewakili semua individu dengan lebih baik, terutamanya bagi (data berkaitan) bahasa Melayu.”

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Berita Harian selepas menghadiri Simposium Mendaki sebagai peserta, sempena acara Raikan Ilmu anjuran badan itu baru-baru ini.

Masalah data asas merujuk kepada punca utama yang menyebabkan data menjadi tidak tepat, tidak lengkap, atau tidak dapat dipercayai.

Bayangkan data seperti proses membina rumah. Jika tapak atau asas rumah tidak kukuh, rumah yang dibina di atasnya juga akan bermasalah.

Begitu juga dengan data. Jika data asas bermasalah, keputusan yang dibuat menggunakan data tersebut juga tidak boleh dipercayai atau tidak tepat sama sekali.

Encik Ridzuan, 38 tahun, menyifatkan AI sebagai tiupan angin kencang yang memacu perubahan ketara dalam kehidupan dan “sukar diabaikan”.

Bagi meredah tiupan angin AI yang membadai ini, beliau menggariskan pendekatan berteraskan abjad ABC – Adaptasi, Belajar asas AI dan Cari tahu – sebagai paksi kesiapsiagaan terhadap AI.

Berkenaan ‘Adaptasi’, beliau berkata manusia kini tidak boleh lari daripada cengkaman AI dan perlu bersifat terbuka serta fleksibel terhadap peredaran masa.

Menyentuh tentang ‘Belajar’ asas pula, orang ramai tidak perlu dilatih dalam aspek pengekodan (’coding’), cukup sekadar mempelajari selok-belok asas AI dan mengenal pasti keterbatasannya, kata beliau.

Aspek terakhir atau ‘Cari’ tahu, tambah beliau, lebih tertumpu pada anjakan pola pemikiran – melihat AI dari sudut rasa ingin tahu dan bukan dari sudut kegelisahan atau ketakutan.

“AI bakal mewujudkan jurang yang jelas. Ia akan menambah baik (pengalaman) bagi pekerja yang belajar menggunakannya.

“Sebaliknya, bagi mereka yang memilih untuk tidak mempelajari atau meningkatkan kemahiran AI, ia meletakkan mereka pada kedudukan yang merugikan.

“AI masih memerlukan input manusia dalam mencapai matlamatnya – menyumbangkan gerak hati atau intuition dan hala tuju yang menjadi kekurangan pada teknologi itu buat masa ini.

“Jika anda belajar untuk memberikan hala tuju kepada AI, ia menjadi alat ampuh yang dapat meningkatkan keupayaan anda,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penglibatannya dalam bidang AI sebagai sesuatu yang tepat pada masanya, setelah dilantik sebagai jurutera AI pada 2025.

Sebelum ini, beliau bekerja dalam bidang perkilangan selama 11 tahun.

Menurutnya, Singapura sedang mendorong penyepaduan AI secara agresif tetapi untuk idea ini berfungsi dengan tepat dan berguna, prasarana asas harus dibangunkan terlebih dahulu.

Lantaran itu, Encik Ridzuan berkata beliau dapat menyumbang dan membentuk “sebahagian daripada gelombang pembangunan prasarana teras yang akan menyokong pertumbuhan ini untuk tahun-tahun mendatang”.

Beliau berkata: “Kita boleh memanfaatkan AI dan berganjak daripada pengguna pasif kepada pengguna aktif.

“Sama ada anda seorang pelajar yang menggunakan AI untuk mencari ilham, atau pemilik perniagaan kecil yang menggunakannya untuk menambah baik operasi, peluang kini sudah sedia ada.”