Pusat beli-belah Marina Square bakal ditutup pada 31 Mac 2027 bagi projek pembangunan semula yang akan memperkenalkan pelbagai kemudahan, termasuk kediaman mewah, apartmen servis dan ruang pejabat di kawasan seluas lebih 360,000 meter persegi (sq m).

Kerja naik taraf tersebut juga akan menyaksikan pelancaran sebuah hotel baharu dengan 304 bilik yang terletak berhampiran kawasan Marina Bay, kata pemaju hartanah Singapore Land Group (SingLand) dalam satu kenyataan pada 1 September.

Hotel baharu itu bakal menyertai tiga hotel sedia ada di tapak berkenaan – Pan Pacific Singapore, Parkroyal Collection Marina Bay dan Mandarin Oriental Singapore – yang akan kekal beroperasi sepanjang tempoh pembangunan semula yang dijadualkan siap pada 2031.

Pembangunan semula itu akan menyaksikan Marina Square diperbaharui menjadi pusat beli-belah empat tingkat yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman serta kawasan mesra haiwan peliharaan, kata SingLand.

Tiga menara baharu juga akan disepadukan dalam tapak tersebut.

Ini merangkumi sebuah menara kediaman 49 tingkat yang menempatkan 204 unit rumah mewah, merangkumi apartmen tiga hingga lima bilik tidur serta beberapa unit ‘penthouse’.

Sementara itu, lapan tingkat di sebuah menara pelbagai guna yang baharu akan menempatkan ruang-ruang pejabat, dengan ruang berkeluasan sekitar 13,000 sq m bakal ditawarkan untuk penyewaan.

SingLand berkata kawasan Marina Centre, yang siap dibina pada 1986, merupakan kawasan pertama yang dibangunkan di dalam persekitaran Marina Bay yang lebih luas, dengan menggabungkan ruang pejabat, hotel dan tawaran runcit.

Ketua Eksekutif SingLand, Encik Jonathan Eu, berkata pihak pemaju mengambil “peluang untuk membangunkan semula Marina Square sebagai destinasi lebih terhubung dan menarik”.

“Dengan menambah kediaman, apartmen servis dan ruang pejabat bersebelahan hotel sedia ada, serta mengetengahkan konsep pusat beli-belah berteraskan runcit berasaskan pengalaman, sukan, kesejahteraan dan kemasyarakatan, kami sedang mewujudkan ekosistem baharu di mana orang ramai boleh tinggal, bekerja, menginap dan berhubung,” tambahnya. 

Sekurang-kurangnya dua penyewa utama telah membuat perancangan untuk berpindah dari pusat beli-belah tersebut, dengan syarikat seni bina DP Architects bakal berpindah ke SingPost Centre, manakala institusi pendidikan swasta PSB Academy telah menyewa dua ruang di Tai Seng, lapor The Business Times (BT) pada Ogos.

Difahamkan bahawa kesemua penyewa telah dimaklumkan mengenai penutupan pusat beli-belah itu pada pagi 1 September.

Seorang jurucakap SingLand memberitahu The Straits Times (ST) bahawa pihak mereka akan bekerjasama rapat dengan para penyewa dalam tempoh beberapa bulan menjelang penutupan pusat beli-belah tersebut.

“Kami menghargai hubungan yang telah terjalin dengan para penyewa dan komited untuk memastikan proses (peralihan) yang adil serta saksama.

“Di samping memberikan notis yang diperlukan, kami akan berhubung dengan para penyewa mengenai garis masa dan langkah seterusnya, termasuk perkara berkaitan pemulihan semula premis mereka, supaya mereka dapat merancang lebih awal,” kata jurucakap berkenaan.

Menjelang penutupan tersebut, SingLand berkata ia akan merancang pelbagai acara dan aktiviti bagi menarik kehadiran pengunjung serta menyokong jualan runcit di pusat beli-belah berkenaan. 

Pihak pemaju juga akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk mengehadkan gangguan dan memastikan laluan ke hotel-hotel sedia ada kekal mudah diakses sepanjang tempoh pembangunan semula.

Butiran lanjut bakal diumumkan pada fasa-fasa penting projek pembangunan tersebut, kata SingLand.