Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah mengenakan denda berjumlah $960,000 ke atas lima institusi pembayaran utama kerana melanggar keperluan antipengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
Lima syarikat tersebut, yang dilesenkan untuk menyediakan perkhidmatan pemindahan wang rentas sempadan, ialah Remsea, Arcade Plaza Traders (APT), J-Dee Remittance Services (J-Dee), Mobile Community Tech (MCT) dan OxPay SG.
“Secara keseluruhan, pelanggaran ini mendedahkan institusi pembayaran utama kepada risiko digunakan sebagai saluran bagi jenayah kewangan,” kata MAS dalam satu kenyataan pada 27 Jun.
Antara kelemahan yang dikenal pasti adalah kegagalan untuk melaksanakan langkah pemeriksaan yang mencukupi berkaitan pelanggan.
Pihak pengawal selia menyatakan perkara itu menghalang keupayaan syarikat-syarikat tersebut untuk menilai dan mengurangkan risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang berkaitan dengan pelanggan mereka.
“Selain itu, kegagalan untuk memberikan maklumat berkaitan pihak asal dan penerima pindahan rentas sempadan menjejas ketelusan dan keupayaan untuk mengesan pemindahan dana,” jelasnya.
MAS turut menambah bahawa kelima-lima institusi tersebut telah menyediakan rancangan untuk memperbetulkan kelemahan yang dikenal pasti, dan pihaknya akan memantau kemajuan mereka, lapor The Straits Times (ST).
Dalam satu pemfailan kepada bursa pada 27 Jun, syarikat OxPay Financial yang tersenarai di pasaran saham Catalist menyatakan bahawa anak syarikatnya, OxPay SG, “amat kesal” terhadap kelemahan-kelemahan yang berlaku.
“Walaupun tiada bukti salah laku secara sengaja atau kerugian kewangan, OxPay SG mengakui kepentingan kawalan antipengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan yang kukuh untuk memastikan integriti sistem kewangannya,” ujar syarikat itu.
Syarikat tersebut telah didenda sebanyak $110,000 bagi pelanggaran yang berlaku antara Mei 2021 dan November 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg