KUALA LUMPUR: Bank-bank di Malaysia akan mula mengenakan cukai perkhidmatan 8 peratus ke atas perkhidmatan kewangan tertentu yang dikenakan yuran dan komisen mulai 1 Julai ini.
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), bersama Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Aibim) serta Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (Miba), dalam satu kenyataan bersama pada 25 Jun, berkata pelaksanaan cukai itu akan dibuat secara berperingkat selaras dengan pewartaan dan garis panduan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan berkenaan adalah sebahagian daripada peluasan ruang lingkup cukai perkhidmatan yang telah diwartakan baru-baru ini.
“Cukai perkhidmatan ini hanya dikenakan ke atas perkhidmatan kewangan tertentu yang melibatkan bayaran yuran dan komisen,” kata kenyataan itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Bagaimanapun, ketiga-tiga persatuan berkenaan memberi jaminan beberapa perkhidmatan asas kekal dikecualikan daripada cukai berkenaan.
“Sebagai contoh, caj berkaitan akaun simpanan dan semasa, termasuk untuk perkhidmatan asas kepada orang ramai, tidak akan dikenakan cukai, sama ada bagi perbankan konvensional mahupun Islam,” katanya lagi.
ABM, Aibim dan Miba turut menasihati pelanggan bank supaya merujuk kepada pengumuman rasmi daripada institusi perbankan masing-masing mengenai perincian pelaksanaan cukai perkhidmatan itu.
Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa maklumat terperinci akan dikemas kini menerusi saluran rasmi bank bagi memastikan pelanggan dimaklumkan dengan tepat mengenai sebarang perubahan atau pengecualian berkenaan.
Pelaksanaan cukai itu dijangka memberi kesan kepada beberapa jenis perkhidmatan perbankan bukan asas seperti pemindahan dana rentas sempadan; transaksi pelaburan; pengeluaran laporan khas dan perkhidmatan nasihat tertentu.
Langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan Malaysia memperluas asas cukai negara menerusi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tanpa membebankan rakyat berpendapatan rendah, selain menyokong matlamat konsolidasi fiskal jangka sederhana.
Menurut penganalisis, kerajaan dijangka menjana hasil tambahan RM10 bilion ($303.1 juta) menerusi peluasan SST dan ia boleh berfungsi sebagai pemangkin bagi menstabilkan serta merangsang ekonomi dalam negara, khususnya dalam ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg