Hutang isi rumah di Singapura mungkin telah meningkat dalam tempoh setahun lalu tetapi aset kewangan mereka, seperti tunai dan saham, berkembang dengan lebih pantas, membolehkan mereka bertahan, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Ini kerana pertumbuhan pendapatan adalah sihat dan mengatasi pengumpulan hutang, tambah MAS dalam ulasan kestabilan kewangan tahunannya pada 27 November.
Malah, hutang isi rumah jatuh kepada 1.1 kali pendapatan boleh guna (pendapatan selepas cukai) peribadi pada suku ketiga 2024.
Angka itu berada di bawah purata 15 tahun lepas iaitu 1.4 kali pendapatan boleh guna, dan juga merupakan suku ke-12 berturut-turut ia turun, kata MAS.
Agregat kekayaan bersih isi rumah meningkat dalam enam bulan pertama 2024, naik kira-kira 9 peratus tahun ke tahun kepada hampir $3 trilion pada suku ketiga, lapor The Straits Times.
Aset cair seperti tunai dan deposit terus melebihi jumlah liabiliti. Ini membentuk kira-kira 20 peratus daripada jumlah aset pada suku ketiga 2024, kata laporan itu.
Ia menyatakan bahawa kadar gadai janji, atau faedah yang dibayar sebagai sebahagian daripada pinjaman rumah bulanan, telah menurun, jadi keupayaan isi rumah Singapura membayar hutang mereka kekal kukuh, lebih-lebih lagi apabila pertumbuhan pendapatan stabil.
Daripada jumlah hutang isi rumah, kira-kira 75 peratus merupakan pinjaman perumahan yang disokong oleh cagaran hartanah.
Walaupun bilangan pinjaman perumahan baru meningkat pada suku ketiga 2024, pinjaman perumahan terkumpul meningkat hanya 1.6 peratus tahun ke tahun pada suku itu.
Ini disebabkan kenaikan pinjaman baru kebanyakannya diimbangi oleh peminjam yang membayar gadai janji sedia ada mereka.
Laporan itu menyatakan bahawa risiko turun naik harga aset dijangka dapat dibendung memandangkan pasaran perumahan privet semakin stabil, dengan kadar kenaikan harga yang perlahan sepanjang tiga suku pertama 2024.
MAS menjangkakan risiko kepada sektor isi rumah dapat dibendung memandangkan penampan kewangan yang kukuh, namun ia menggesa isi rumah supaya berhemat di tengah-tengah ketidaktentuan yang begitu banyak.
“Pelonggaran kadar gadai janji pada separuh pertama 2024, disertai pertumbuhan pendapatan yang stabil, telah meningkatkan keupayaan isi rumah membayar hutang, manakala kedudukan mudah tunai isi rumah bertambah baik,” kata bank pusat itu.
“Bagaimanapun, memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat dan ketegangan perdagangan dalam persekitaran kewangan makro, isi rumah harus terus berhemat dalam pengurusan kewangan mereka.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg