Pemerintah akan merebut peluang dalam ekonomi hijau dan digital di samping memanfaatkan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), robotik, dan bioteknologi untuk mengukuhkan pengeluaran termaju sebagai sebahagian usaha meraih peluang dalam bidang pertumbuhan baru.
Ia juga akan mengekalkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menggalak inovasi meluas, dan membawa produk dan perkhidmatan baru ke pasaran, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
“Kami akan meletakkan Singapura sebagai tempat kepada firma terkemuka, hab perniagaan sejagat utama, dan penyambung penting dalam ekonomi sejagat.
“Melalui usaha ini, kami akan memupuk pertumbuhan yang diterajui oleh daya penghasilan dan didorong inovasi dan mewujudkan pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura,” kata Encik Gan.
Demikian antara beberapa rancangan yang dikongsi Encik Gan pada 16 September semasa menggariskan adendum (kenyataan tambahan) Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), berikutan Amanat Presiden yang disampaikan pada pembukaan Parlimen pada 5 September.
Encik Gan berkata MTI akan terus menggalak pelaburan dalam sektor pelancongan dan gaya hidup Singapura, dan menyumbang kepada kerancakan Singapura sebagai bandar untuk didiami, bekerja dan bermain.
Beliau menambah Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), yang ditubuhkan pada April dan dipengerusikan olehnya, akan menyokong pekerja dan perniagaan untuk mengemudi dan bertindak balas terhadap cabaran segera yang timbul daripada kenaikan tarif.
Semakan Strategi Ekonomi (ESR), yang diumumkan pada Ogos, juga akan melakar pelan tindakan yang memandang ke hadapan untuk mendapatkan peluang bermutu untuk ekonomi, perniagaan dan pekerja Singapura.
Ini dapat diusahakan sedang Singapura menyesuaikan diri di dalam dunia yang semakin berubah berlatarbelakangkan ketidaktentuan besar dan perubahan struktur, kata Encik Gan.
Beliau menambah kementeriannya akan terus menarik syarikat terkemuka di peringkat sejagat dengan memanfaatkan dan menambah baik prasarana Singapura yang cekap, ketersambungan yang meluas, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan persekitaran pro-perniagaan.
Mengekalkan firma-firma ini di Singapura, tambahnya, membolehkan negara ini mengakses pasaran sejagat, memperdalam pembentukan modal, memperoleh teknologi dan pengetahuan termaju, serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) memasuki rantaian bekalan global.
Perusahaan tempatan yang menunjukkan potensi tinggi juga akan mempunyai peluang untuk berkembang dan menjadi pemimpin serantau atau global sebagai sebahagian usaha MTI mengembangkan bakat Perusahaan Global Singapura.
MTI juga akan meningkatkan daya penghasilan perusahaan tempatan, dengan mempercepatkan penggunaan penyelesaian digital dan yang berteraskan AI, dan menyokong latihan tenaga kerja.
“Rakyat kita berada di tengah-tengah ekonomi kita. Strategi kita akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat Singapura berkembang maju dan berkongsi faedah pertumbuhan.
“MTI akan bekerjasama dengan syarikat, kesatuan sekerja, persatuan perdagangan dan dewan, serta Kementerian Tenaga Manusia dan Kementerian Pendidikan, untuk melengkapkan rakyat dengan kemahiran yang sedia bagi masa depan, berkaitan industri dan menyokong peralihan kerjaya ke dalam sektor pertumbuhan,” kata Encik Gan.
Firma juga akan diberi sokongan untuk beralih ke ekonomi rendah karbon, sedang Singapura menjaga keselamatan tenaga dan mengekalkan daya saingnya.
MTI juga akan meningkatkan penggunaan kuasa solar tempatan, dan memajukan perdagangan elektrik rentas sempadan, ujar Encik Gan.
Ia juga akan membangunkan keupayaan dalam laluan karbon rendah berpotensi lain, seperti tenaga nuklear dan hidrogen, di samping meneroka teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon, serta membangunkan pasaran untuk kredit karbon bermutu tinggi.
Di tengah-tengah peralihan sejagat, Encik Gan berkata Singapura mesti kekal sebagai hab perniagaan yang dipercayai dan berhubung, disepadukan secara mendalam ke dalam rantaian bekalan global dan aliran perdagangan.
Beliau berkata pemerintah akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi yang berfikiran sama untuk menyokong sistem perdagangan berasaskan peraturan, untuk membantu perniagaan mengharungi ketidakpastian dan merebut peluang baru.
“Kami akan memperdalam penglibatan dalam rangka kerja perdagangan sedia ada, seperti Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), dan dengan wilayah ekonomi lain.
“Kami juga akan bekerjasama dengan negara-negara yang bergantung kepada perdagangan lain untuk menyokong pembaharuan di Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) bagi menegakkan perdagangan sejagat yang terbuka, adil dan berkesan,” kata Encik Gan.
Dalam Asean, Encik Gan berkata Singapura akan memperdalam penyepaduan ekonomi serantau, dan meningkatkan hubungan dengan jirannya untuk meningkatkan cadangan nilai Singapura sebagai asas untuk pelaburan ke rantau ini.
Ia juga akan mengukuhkan perkongsian Asean dengan ekonomi utama dan blok ekonomi lain, seperti Kesatuan Eropah dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), untuk meningkatkan peranan Asean dalam pembinaan perdagangan sejagat.
Singapura juga akan meluaskan hubungan perdagangan dengan pasaran baru muncul, seperti Amerika Latin, Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika, melangkaui 28 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada.
Ia juga akan mengembangkan rangkaian Perjanjian Ekonomi Digital untuk mewujudkan peraturan dan piawaian mengenai isu seperti data peribadi dan perlindungan pengguna dalam talian, dan memajukan Perjanjian Ekonomi Hijau sebagai pemangkin aliran perdagangan dan pelaburan, antara lain.
“MTI akan menyegarkan pelan tindakan ekonomi Singapura dan memastikan ekonomi kita kukuh dan berdaya tahan dalam dunia yang berubah.
“Kami akan memastikan setiap rakyat Singapura boleh bercita-cita untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, menjamin kemajuan, dan membina masa depan yang lebih baik untuk diri mereka dan keluarga mereka,” tambah Encik Gan.
“
“Kami akan meletakkan Singapura sebagai tempat kepada firma terkemuka, hab perniagaan sejagat utama, dan penyambung penting dalam ekonomi sejagat. Melalui usaha ini, kami akan memupuk pertumbuhan yang diterajui oleh daya penghasilan dan didorong inovasi dan mewujudkan pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg