Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS longgar dasar kewangan buat kali pertama sejak 2020

Ubah pendirian dasar kewangan untuk memihak kenaikan beransur-ansur dolar S’pura
Jan 24, 2025 | 2:34 PM
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) melonggarkan dasar kewangan kerana ia menurunkan jangkaan inflasi teras 2025 kepada 1 peratus hingga 2 peratus.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) melonggarkan dasar kewangan kerana ia menurunkan jangkaan inflasi teras 2025 kepada 1 peratus hingga 2 peratus. - Foto ST

Bank pusat Singapura mengubah pendirian dasar kewangannya untuk memihak kepada kenaikan beransur-ansur dolar Singapura, kerana ia kini menjangka inflasi teras pada 2025 lebih rendah daripada jangkaan sebelum ini.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan pada 24 Januari bahawa ia akan mengurangkan kadar kenaikan semasa nilai dolar Singapura berbanding sekumpulan mata wang rakan dagangan utamanya.

MAS merujuk nilai itu sebagai kadar tukaran efektif nominal Singdollar (S$NEER), atau kadar pertukaran wajaran dagangan.

Mengumumkan perubahan pendirian itu, yang pertama seumpama itu sejak Mac 2020, MAS menyatakan: “Pelarasan berhati-hati ini sejajar dengan laluan kenaikan sederhana dan beransur-ansur jalur dasar S$NEER yang akan memastikan kestabilan harga jangka sederhana.

“MAS akan memantau dengan teliti perkembangan ekonomi global dan domestik, dan terus berwaspada akan risiko terhadap inflasi dan pertumbuhan.”

Dolar Singapura didagangkan tidak berubah secara kasar pada kadar 1.3560 berbanding sedolar Amerika setakat 8.54 pagi pada 24 Januari selepas langkah MAS yang memang dijangka itu.

Menurut The Straits Times, penganalisis berkata langkah MAS itu tidak berkemungkinan memberi kesan serta-merta ke atas kadar pertukaran di pengurup wang atau pasaran mata wang, memandangkan Singdollar telah pun lemah sejak beberapa bulan kebelakangan ini

Oleh itu, orang yang melancong ke luar negara atau yang perlu menghantar wang dalam talian tidak perlu risau, tambah mereka.

Singdollar melemah secara berterusan sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan kekuatan dolar Amerika apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat kelihatan kurang berkemungkinan memotong kadar faedah dan tarif Presiden Donald Trump semakin mengancam.

Peralihan kepada dasar Singdollar yang lebih rendah menunjukkan MAS pada masa ini tidak terlalu bimbang tentang inflasi dan bersedia membenarkan kadar pertukaran lebih lemah jika prospek pertumbuhan Singapura berubah menjadi lebih teruk di tengah-tengah penurunan mendadak dalam permintaan global akibat geseran perdagangan.

Biasanya kejatuhan nilai mata wang mungkin menjadikan eksport lebih kompetitif. Tetapi bagi pengguna, ia mungkin membuat beberapa pembelian, melancong dan belajar di luar negara lebih mahal.

Dengan pelonggarannya itu, MAS menyertai sekumpulan penggubal dasar dan pakar ekonomi swasta, yang semakin membesar di seluruh dunia, yang percaya kesan tamparan kepada pertumbuhan ekonomi daripada pendirian perdagangan Encik Trump yang berpihak pada perlindungan, akan mengatasi dorongan inflasi daripada tarif lebih tinggi yang beliau rancang.

Pemerintah telah pun menurunkan prospek pertumbuhan Singapura bagi 2025.

Ia menjangka ekonomi berkembang pada kadar lebih perlahan, iaitu 1 peratus hingga 3 peratus, turun daripada 4 peratus pada 2024.

Sebelas daripada 17 ahli ekonomi yang ditinjau oleh Bloomberg News telah menjangka MAS akan mengurangkan cerun (kadar kenaikan) jalur dasar itu pada 24 Januari.

Kali terakhir MAS meredakan rentak kenaikan dolar Singapura ialah pada 2020 ketika ekonomi menuju kemelesetan terburuk yang pernah berlaku berikutan pandemik Covid-19.

Keputusan kali ini dibuat selepas inflasi, yang melonjak ke paras tertinggi dalam lebih sedekad pada 2023, jatuh ke paras terendah tiga tahun pada Disember 2024.

Penurunan inflasi itu berlaku selepas MAS mengetatkan dasar kewangan dalam lima langkah berturut-turut antara Oktober 2021 dan Oktober 2022 dan mengekalkannya sehingga kini untuk memihak kepada dolar Singapura yang lebih kukuh.

Data inflasi yang dikeluarkan pada 23 Januari menunjukkan inflasi teras – yang tidak mengambil kira kos pengangkutan dan penginapan privet untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih baik – berkurang kepada 1.8 peratus tahun ke tahun, paras terendah dalam tiga tahun.

Walaupun ini melebihi jangkaan 1.7 peratus oleh pakar ekonomi, ia masih yang terendah sejak November 2021 apabila inflasi teras di paras 1.6 peratus.

Bagi 2024 secara keseluruhan, inflasi teras mencecah purata 2.7 peratus, turun daripada 4.2 peratus pada 2023.

Oleh itu MAS mengurangkan jangkaan inflasi terasnya kepada 1 peratus hingga 2 peratus bagi 2025, daripada 1.5 peratus hingga 2.5 peratus.

Kata MAS: “Tekanan inflasi yang didorong kos perniagaan dan permintaan dijangka kekal terkawal. Kos import Singapura harus kekal sederhana, mencerminkan ramalan penurunan harga minyak global dan keadaan bekalan yang menggalakkan dalam pasaran komoditi makanan utama.”

“Pada masa sama, inflasi harga pengguna untuk perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan awam, pendidikan prasekolah dan pengangkutan awam akan dilemahkan oleh subsidi tambahan daripada pemerintah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg