Singapura akan mula menyalurkan sebahagian daripada dana AS$500 juta ($646 juta) yang diperuntukkan untuk projek hijau di Asia, dengan penubuhan pejabat baru untuk memajukan skim yang diumumkan pada 2023.
Pengumuman tentang Perkongsian Pembiayaan Peralihan Asia (Fast-P) dibuat oleh Pengarah Urusan Lembaga Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Chia Der Jiun, pada 7 Mei semasa persidangan kelestarian Minggu ‘Ecosperity’.
“Saya gembira untuk berkongsi bahawa pejabat Fast-P dengan pasukan pengurusan berdedikasi akan ditubuhkan untuk memudahkan penyaluran dana AS$500 juta modal berkonsesi Singapura ke dalam Fast-P, bersama modal daripada rakan-rakan lain,” katanya.
Pejabat baru MAS ini akan membantu membiayai infrastruktur tenaga bersih di Asia yang dianggap terlalu berisiko atau tidak menguntungkan untuk pelabur, lapor The Straits Times (ST).
Matlamat Fast-P, sebuah inisiatif yang dilancarkan oleh MAS pada 2023, adalah untuk menggunakan suntikan dana awal oleh pemerintah Singapura untuk meningkatkan pembiayaan daripada sumber lain.
Dana AS$500 juta ini akan diberikan dalam bentuk pembiayaan berkonsesi seperti geran dan pinjaman dengan terma yang lebih baik.
Ia akan dipadankan satu dolar bagi setiap dolar dengan modal berkonsesi daripada rakan lain, termasuk pemerintah, bank pembangunan, dan institusi filantropi, dengan matlamat mengumpul AS$5 bilion.
Dana akan disalurkan ke tiga teras utama: mempercepatkan peralihan ke tenaga bersih, meningkatkan pelaburan hijau, dan mengurangkan emisi daripada sektor seperti simen dan keluli.
Teras kedua, pelaburan hijau, akan menerima dana pertama daripada AS$500 juta dalam beberapa bulan akan datang.
Teras ini memberi tumpuan kepada projek tenaga boleh diperbaharui, penyimpanan tenaga, kenderaan elektrik, pengangkutan, dan pengurusan air serta sisa.
Permintaan elektrik di Asia dijangka meningkat 4 peratus setahun sehingga 2035, dan tenaga boleh diperbaharui dijangka memenuhi lebih separuh daripada permintaan ini.
Encik Chia menekankan bahawa industri insurans memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko projek tenaga boleh diperbaharui dan pengurangan emisi bagi pelabur komersial.
Pada Persidangan Pembiayaan Peralihan Asia sempena Minggu ‘Ecosperity’ pada 7 Mei, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Encik Nik Nazmi Nik Ahmad, turut menyatakan pandangan serupa dengan Encik Chia.
“Walaupun cita-cita kami tinggi, kami memerlukan infrastruktur kewangan yang setara,” katanya.
Selain itu, sektor kewangan Singapura terus berusaha untuk memperkukuh daya tahan terhadap risiko iklim, termasuk kerosakan aset dan gangguan rantaian bekalan akibat cuaca ekstrem.
Pendapatan syarikat mungkin terjejas atau mereka perlu menanggung kos tambahan akibat peraturan baru atau perhatian lebih dari pengguna.
Oleh itu, institusi kewangan di Singapura telah menggabungkan risiko ini dalam model risiko kredit dan penilaian aset mereka, kata Encik Chia.
“Ini membantu mereka meramalkan kerugian kewangan, mengurangkan aset yang terperangkap, dan mengenal pasti peluang pelaburan baru,” tambahnya.
Selain itu, institusi kewangan juga semakin sedar akan kesan kehilangan alam semula jadi. Persatuan Kewangan Mampan Singapura mengingatkan bahawa kerosakan alam memberi risiko kepada syarikat dan portfolio kewangan.
Kertas putih mereka, Financing our Natural Capital, menyatakan bahawa memulihkan alam semula jadi dapat membuka peluang AS$4.3 trilion dan 232 juta pekerjaan di Asia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg