Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasa berubah, semangat pelaut teroka dunia tetap membara
Pandangan dua generasi pelaut berbeza tentang cabaran dan pengembaraan laut
Masa berubah, semangat pelaut teroka dunia tetap membara
Sewaktu Kapten Chatur Wahyu menuntut di Akademi Maritim Singapura (SMA) di Politeknik Singapura (SP) pada era 1990-an, bidang pelayaran merupakan satu pengalaman yang serba ‘manual’.
Navigasi dilakukan menggunakan carta kertas, manakala usaha menghubungi keluarga bergantung kepada sama ada kapal akan berlabuh di kawasan yang mempunyai isyarat yang stabil.
Tiga dekad telah berlalu, dan dunia maritim kini padat dengan teknologi canggih, kata Kapten Chatur, 60 tahun yang berkhidmat sebagai Pengarah SMA sejak 2023.
Kapal zaman ini dilengkapi dengan pelbagai sistem automatik serta sumber bahan api yang lebih mesra alam.
Kini penuntut pengajian nautika juga menerima latihan yang lebih moden dan komprehensif bagi membina penguasaan teknikal di samping kemahiran insani.
Begitulah antara pengalaman yang dilalui oleh pelajar tahun kedua Diploma Pengajian Nautika, Cik Nur Thaqifah Sani, 19 tahun.
Meskipun dilatih pada era berbeza sekitar tiga dekad, Kapten Chatur dan Cik Thaqifah berkongsi minat mendalam yang sama terhadap cabaran dan pengembaraan di lautan.
Itu selain tradisi pelajar pengajian nautika yang kekal sebagai satu-satunya kumpulan pelajar di SP yang diwajibkan menyarung seragam pelaut ke kampus.
Sempena sambutan Kepulangan Alumni SP 2026 di kampus asal di Prince Edward Road pada 10 Oktober, Berita Minggu (BM) mendapatkan Kapten Chatur dan Cik Thaqifah untuk membandingkan pengalaman masing-masing.
Ini merupakan acara terakhir di kampus tersebut sebelum tapak itu melalui proses naik taraf.
Cik Thaqifah, sebelum ini menuntut di Politeknik Nanyang selama setahun dalam bidang Animasi.
Namun, beliau beralih ke SP untuk Diploma Pengajian Nautika kerana merasakan kursus Animasi yang diikutinya sebelum ini kurang sesuai dengan jiwanya.
“Semasa belajar animasi, saya menghabiskan banyak masa di depan skrin komputer … Saya dibayangi rasa ragu sama ada ingin melakukan tugas ini buat jangka masa panjang,” katanya.
Cik Thaqifah meluahkan keresahan tersebut kepada ayahnya, yang berkhidmat sebagai pelaut selama hampir 20 tahun.
Apabila mendengar pengalaman ayahnya di laut, Cik Thaqifah terus tertarik untuk menceburi bidang yang amat berbeza daripada pilihan asalnya itu.
Menurut Cik Thaqifah, pengajian nautika menawarkan lebih banyak latihan amali dan interaksi secara bersemuka.
Kini beliau amat menghargai peluang menjalin hubungan yang lebih rapat dengan rakan seperjuangan.
Kini, Cik Thaqifah sedang bersiap-sedia berlayar selama 12 bulan pada November, sebahagian daripada fasa latihan pelayaran di mana beliau bertugas sebagai pegawai kadet di kapal.
Kapten Chatur pula, yang layak dianggap pelaut veteran, mula berlayar pada 1987 sebagai kadet dek setelah menamatkan perkhidmatan nasional.
Kemudian, beliau mendapat beberapa Sijil Kecekapan (COC) - termasuk sjil kelas tiga hingga kelas satu serta sijil nakhoda kapal - secara berperingkat dari tempoh 1990 hingga 1998 di SMA.
Setelah berlayar selama 13 tahun bersama Neptune Orient Line (NOL), Kapten Chatur kembali ke SP pada 2000 untuk menyumbang pengalamannya sebagai pensyarah di SMA.
Keputusan untuk berhenti berlayar juga didorong oleh iltizam beliau untuk menjadi kapten kapal yang telah pun tercapai, selain keinginan untuk mula membina keluarga, kata bapa kepada tiga orang anak itu.
Sokongan ayah Kapten Chatur turut memainkan peranan penting dalam keputusan beliau menceburi bidang pelayaran.
Itu di samping azam Kapten Chatur untuk menjadi kapten kapal dan mengembara lautan dunia sejak muda lagi.
Beliau berseloroh bahawa minat itu tercetus apabila menonton kartun Captain Sinbad apabila beliau masih kecil lagi.
Setelah berlayar di atas 17 kapal berbeza ke enam benua, tidak boleh dinafikan impian beliau untuk mengembara lautan dunia telah tercapai.
“Saya sudah mengharungi pelbagai bentuk cabaran, termasuk berlayar ketika ribut dan menempuh kawasan konflik... Saya juga pernah diserang lanun sewaktu berlayar di Bangladesh,” kongsi Kapten Chatur.
Namun, pengalaman seperti itulah yang dianggap sebagai satu pengembaraan yang amat dicintainya.
Itulah peristiwa yang Cik Thaqifah mendahagakan, biarpun beliau akur hakikat kehidupan di laut bakal menuntut banyak pengorbanan, risiko dan cabaran.
“Jujurnya, saya juga mahu menimba pengalaman seperti itu. Berbanding kehidupan rutin di Singapura, kita kadang kala rasa terkongkong dan inginkan perubahan. Saya rasa itulah pendorong utama saya.
“Banyak perkara berlaku di dunia, tetapi saya hanya dapat melihatnya menerusi kaca televisyen. Sesekali, kita pasti mahu menyaksikannya sendiri,” ujar Cik Thaqifah.