Sekitar 2,200 kanak-kanak prasekolah telah menyertai pakej ComLink+ untuk prasekolah, manakala 1,600 keluarga pula telah mendaftar bagi pakej pekerjaan sehingga hujung Jun 2025, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Sementara itu, penyertaan bagi pakej pemilikan rumah dan pakej pelepasan hutang pula, yang masing-masing dilancarkan pada Mei dan Jun 2025, sedang dipantau, tambah beliau.
Ini dinyatakan Encik Masagos dalam satu jawapan bertulis pada 26 September kepada soalan Parlimen yang ditanya Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang).
Cik Mariam telah bertanya tentang perkembangan Pakej Kemajuan ComLink+ yang dilancarkan pada Ogos 2024, termasuk jumlah penyertaan dan hasilnya.
Skim ComLink+ menyokong keluarga berpendapatan rendah dengan anak-anak yang tinggal di flat sewa secara menyeluruh supaya mereka dapat mengecapi kehidupan lebih stabil, berdikari dan mobiliti sosial.
Sebanyak empat pakej kemajuan – merangkumi sokongan untuk pendidikan prasekolah, pekerjaan, pelepasan hutang dan pemilikan rumah – diperkenalkan secara progresif mulai Ogos 2024 dalam usaha membantu memenuhi keperluan dan aspirasi keluarga ComLink+.
Keluarga yang mengambil langkah-langkah aktif untuk mempertingkat keadaan hidup mereka akan menerima tokokan kewangan melalui pakej kemajuan tersebut.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen yang berasingan pada 23 September – juga ditanya oleh Cik Mariam – Encik Masagos telah menyatakan bahawa ComLink+ menyokong sekitar 10,000 keluarga hari ini. Sementara itu, lagi 4,000 keluarga layak bagi skim tersebut, namun enggan mengambil bahagian.
Encik Masagos berkata tidak semua keluarga yang disokong ComLink+ hari ini bersedia menyertai pakej-pakej tersebut kerana mereka sedang “mengusahakan keutamaan lain berdasarkan pelan tindakan mereka”.
Beliau menambah bahawa pembimbing keluarga juga sedang memantau dan menyokong kemajuan keluarga tersebut, dan akan mendaftarkan mereka ke dalam pakej yang relevan apabila mereka bersedia.
“Perjalanan keluarga ComLink+ ke arah mobiliti sosial akan mengambil masa, dan bergantung pada gabungan usaha pembimbing keluarga, keluarga itu sendiri, dan rakan masyarakat yang bekerjasama untuk memperkasa mereka mencapai matlamat mereka.
“Kami sedang memantau pelaksanaan dengan teliti dan akan membuat penyesuaian jika diperlukan.
“Kami juga berhasrat menganalisis kesan Pakej Kemajuan ComLink+ dan program ComLink+ secara umum. Kami akan memberikan maklumat terkini dalam masa terdekat,” kata Encik Masagos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg