Masyarakat yang memberi peluang kepada setiap individu untuk menemui dan mengembangkan potensi diri adalah asas penting dalam membina masa depan Singapura.

Demikian kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

menurut beliau, setiap individu dilahirkan dengan bakat dan kebolehan tersendiri, namun tidak semua mempunyai peluang yang sama untuk mengenal pasti dan mengembangkan potensi mereka.

“Kita mahu membina sebuah masyarakat yang sentiasa diberi peluang di Singapura, di mana setiap orang, tanpa mengira latar belakang keluarga, keadaan kewangan atau keupayaan diri, mempunyai ruang untuk menemui bakat masing-masing sebelum menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di acara, ‘Robot Wars 2026’, yang berlangsung sempena Raikan Ilmu@Heartlands di Pasir Ris Mall pada 25 Julai.

Menurut Encik Masagos, masih ramai yang mempunyai potensi besar, namun tidak berpeluang menyerlahkannya akibat pelbagai cabaran seperti latar belakang keluarga, kekangan kewangan atau keadaan hidup mereka.

“Apa yang kita ingin lakukan adalah untuk memberi peluang dan mengenal pasti bakat dan potensi individu itu supaya mereka juga boleh mencapai kejayaan,” tekannya.

Mengaitkannya dengan pertandingan, ‘Robot Wars 2026’, Encik Masagos berkata program seperti itu memberi peluang kepada kanak-kanak dan belia meneroka dunia robotik serta teknologi.

Ia melibatkan pengalaman pembelajaran amali, sekali gus membina kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah dan bekerjasama dalam pasukan.

‘Robot Wars 2026’ dianjurkan bersama oleh M³@Pasir Ris-Changi, M³@Tampines, M³@Punggol dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), dengan sokongan Yayasan Mendaki.

Edisi kedua pertandingan itu menghimpunkan sekitar 100 peserta berusia antara 10 dengan 15 tahun daripada sekolah rendah, sekolah menengah, madrasah dan pertubuhan masyarakat.

Peserta terlebih dahulu mengikuti bengkel robotik sebelum mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam pertandingan berasaskan laluan berhalangan.

Mereka dikehendaki memprogram robot menggunakan pengekodan berasas blok bagi melengkapkan beberapa misi, dengan penilaian dibuat berdasarkan kepantasan, ketepatan dan kejayaan menyempurnakan tugasan.

Turut hadir ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha, yang berkata pertandingan itu diwujudkan bagi memberi lebih ramai belia peluang meneroka dunia teknologi melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, bermakna dan praktikal.

Menurut beliau, robotik dan pengekodan bukan sekadar kemahiran yang dipelajari di dalam bilik darjah, malah mampu memupuk kreativiti, semangat bekerjasama, pemikiran kritis dan daya tahan dalam kalangan peserta.

“Kami mahu anak-anak kami menyedari kewujudan pelbagai kemahiran ini, dan kesedaran tersebut diharapkan dapat memupuk minat mendalam terhadap bidang seperti pembangunan teknologi,” katanya.

“Melalui usaha seperti ‘Robot Wars’, mereka dapat peluang untuk meneroka bidang-bidang yang berbeza pada usia yang muda supaya mereka tidak tertinggal,” tambahnya.

Antara peserta yang terlibat dalam pertandingan itu ialah pasangan adik-beradik, Nur Aaliyah Hendra Rosa, 12 tahun; dan Nur Aalyna Hendra Rosa, 10 tahun, yang telah memenangi tempat kedua.

Menurut mereka, penyertaan sulung mereka dalam ‘Robot Wars’ membuka ruang untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam bidang robotik dan pengekodan.

Aalyna berkata pengalaman pertamanya mempelajari pengekodan menerusi pertandingan itu amat menarik.

“Melalui acara ini, saya pertama kali cuba untuk menggunakan koding bagi mengawal butang pada robot dan ini sesuatu yang sangat menarik bagi saya,” kata murid Sekolah Rendah Casuarina itu.

Meskipun bukan pertama kali bagi Aaliyah, dia berkongsi pengalaman itu turut memberinya peluang berkenalan dengan rakan baharu.

“Sebenarnya, kami ditempatkan dalam kumpulan secara rambang dan perlu bekerjasama dengan peserta yang kami tidak kenali.

“Tetapi melalui peluang ini, saya dapat jadi lebih berani untuk bercakap dengan orang yang baharu dan buat kawan baharu,” jelas Aaliyah yang murid Sekolah Rendah Casuarina.