Topik diikuti
Pergi ke BHkuMendaki meterai 2 MOU, tingkat peluang dalam teknologi, pembelajaran sepanjang hayat
Mendaki meterai 2 MOU, tingkat peluang dalam teknologi, pembelajaran sepanjang hayat
Mendaki meterai 2 MOU, tingkat peluang dalam teknologi, pembelajaran sepanjang hayat
Yayasan Mendaki telah memeterai dua memorandum persefahaman (MOU) pada 11 Julai dalam usaha untuk memperkukuh peluang buat masyarakat Melayu/Islam bukan sahaja dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), malah dalam memupuk pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan tenaga kerja.
MOU tersebut ditandangani sewaktu acara Raikan Ilmu anjuran Mendaki yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.
MOU pertama antara Mendaki dengan syarikat teknologi maklumat, NCS, bertujuan menyediakan peluang kerjaya serta pembelajaran teknologi kepada anak muda di setiap tahap pendidikan mereka.
Antaranya, NCS akan melanjutkan bengkel N-Able Me! kepada penerima bantuan Mendaki di sekolah rendah supaya mereka meraih pengalaman amali dalam AI, pengekodan dan teknologi memuncul.
Dalam pada itu, kerjasama ini meneroka peluang seperti program bekerja sambil belajar (internship), peranan siswazah, penempatan industri dan peluang rangkaian bagi membantu individu Melayu/Islam membina kerjaya yang memuaskan dalam bidang teknologi.
MOU tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, dan Ketua Pegawai Eksekutif NCS, Encik Sam Liew.
Acara itu disaksikan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, selaku tetamu terhormat, dan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, yang juga pengerusi Mendaki.
Seterusnya, Mendaki turut menandatangani MOU bersama Sekolah Pendidikan Lanjutan dan Sepanjang Hayat di Universiti Nasional Singapura (NUS SCALE) untuk memperkukuh kerjasama dalam melanjutkan pendidikan, pembangunan tenaga kerja, penyelidikan dan pembelajaran sepanjang hayat buat masyarakat Melayu/Islam.
Kerjasama tiga tahun itu akan meneroka inisiatif dalam bidang AI, inovasi, keusahawanan, analitik data, kemampanan dan pembangunan kepimpinan, dan dalam pada itu, menyokong laluan pembelajaran berasaskan kemahiran menerusi pensijilan profesional, penasihatan akademik serta peluang pengayaan.
MOU itu ditandangani Encik Feroz dan Dekan NUS SCALE, Profesor Madya Chai Kah Hin, serta disaksikan Encik Zaqy dan Presiden NUS, Profesor Tan Eng Chye.
Acara itu turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Dalam ucapannya yang menyentuh tentang perjalanan Mendaki, Encik Zaqy berkata dahulu, badan ini dikenali dengan kelas tuisyen, tetapi kini Mendaki turut membantu anak-anak memahami pilihan kerjaya, membina keyakinan dan meluaskan ufuk aspirasi mereka, melalui pendedahan di luar bilik darjah dan bimbingan mentor.
“Anak-anak kita belajar pengekodan, menerbangkan dron, bertemu mentor yang membuka mata dan minda mereka, kerana yakin diri tidak datang dari buku sahaja. Ia datang apabila seorang anak nampak dengan mata sendiri bahawa dunia ini luas, dan ada tempat untuknya.
“Dan kita tidak lagi bekerja sendirian. Melalui rangkaian profesional dan rakan korporat, ramai yang pulang untuk membimbing generasi seterusnya. Mereka membuka pintu yang dahulu tertutup. Inilah modal sosial yang kita bina,” katanya.
