Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasagos: GRC Tampines hormati keputusan Poh Koon letak jawatan
Masagos: GRC Tampines hormati keputusan Poh Koon letak jawatan
Masagos: Poh Koon seorang yang bertanggungjawab dan akan terus berkhidmat bagi penduduk Tampines
Masagos: GRC Tampines hormati keputusan Poh Koon letak jawatan
GRC Tampines menghormati keputusan Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, untuk letak jawatan sebagai pemegang jawatan politik agar dapat meluangkan masa bersama keluarganya, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dalam satu catatan Facebook pada 22 Mei, Encik Masagos berkata bahawa beliau sudah mengenali Encik Koh – kedua-duanya merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines – sebagai seorang yang bertanggungjawab.
Encik Masagos berkata:
“Walau beliau (Dr Koh) membuat persediaan untuk peralihan tersebut, beliau kekal komited untuk berkhidmat kepada penduduk di Tampines dan akan meneruskan tugasnya sebagai AP di Tampines.”
Beliau berkata demikian setelah Dr Koh membuat permintaan untuk meletak jawatan sebagai pemegang jawatan politik atas “sebab-sebab keluarga” berkuat kuasa 1 Jun.
Dr Koh berkata keputusannya untuk berundur daripada jawatan politik “dibuat selepas banyak pertimbangan dan perbincangan dengan keluarga” dan “ia dibuat dengan hati yang berat”.
Encik Masagos turut mengimbau kenangannya dengan Dr Koh ketika memanggilnya untuk bertanding di Tampines bagi Pilihan Raya Umum 2020.
Ketika itu, Dr Koh menggantikan mantan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang bertanding di East Coast.
“Walaupun beliau baru, Poh Koon kerja keras untuk bina hubungannya dengan penduduk dan rakan masyarakat. Sebagai seorag doktor, penduduk menghargai nasihatnya mengenai urusan penjagaan kesihatan.
“Beliau juga sering mendengar bagi ahli keluarga yang sakit,” kongsi Encik Masagos.
Justeru itu, Encik Masagos menambah, Dr Koh dengan mudah menjadi anggota berharga yang berkhidmat kepada penduduk Tampines.
