Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon telah memikul setiap tanggungjawab dengan ikhlas, dedikasi dan penuh perhatian terhadap orang yang dilayaninya, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Dalam satu catatan Facebook pada 22 Mei, PM Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata melalui khidmatnya yang mantap dan komited, Dr Koh telah membuat perubahan kepada kehidupan ramai rakyat Singapura.

PM Wong turut mengucapkan terima kasih kepada Dr Koh atas sumbangan selama bertahun-tahun kepada pemerintah dan Singapura.

“Walaupun saya sedih kehilangan seorang anggota pasukan yang berdedikasi, saya faham hasratnya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya, dan telah menerima permintaannya.

“Saya gembira beliau akan terus berkhidmat untuk penduduknya di Tampines Central dan menyumbang di Parlimen. Terima kasih, Poh Koon,” kata PM Wong.

Dr Koh berkata keputusannya untuk meletak jawatan daripada jawatan politik “dibuat selepas banyak pertimbangan dan perbincangan dengan keluarga” dan “ia dibuat dengan hati yang berat”.

Dalam catatan Facebooknya, PM Wong berkata beliau telah mengenali Dr Koh selama bertahun-tahun, termasuk ketika mereka berkhidmat bersama di Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Beliau menambah bahawa beliau telah melihat sendiri pendekatan Dr Koh yang bertimbang rasa dan teliti terhadap pelbagai isu, dan bagaimana beliau sangat mengambil berat tentang peningkatan kehidupan rakyat.

PM Wong juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Koh atas sumbangan beliau merentasi pelbagai portfolio.

Ini termasuk di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), MND, dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Di MTI, MOM dan NTUC, PM Wong berkata Dr Koh telah bekerja keras untuk meningkatkan taraf pekerja, memperkukuh perkongsian tiga pihak, dan membantu perniagaan membina keupayaan baharu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.

Di MND dan MSE, beliau menerajui usaha untuk mengembangkan sektor agri-makanan, memperkukuh keselamatan dan sekuriti makanan, serta menambah baik amalan kemampanan.

Di MOH, Dr Koh juga telah membantu menyediakan asas untuk rakyat Singapura menjalani kehidupan yang lebih sihat sambil berusaha untuk memastikan penjagaan kesihatan mampu milik dan mudah diakses oleh semua rakyat Singapura.

Mengenang kembali sumbangannya, PM Wong berkata ramai ibu bapa akan mengingati usaha Dr Koh dalam memimpin pasukan petugas mengenai susu formula bayi.

“Di bawah kepimpinannya, kita telah memperkenalkan pilihan yang lebih berpatutan, mengetatkan peraturan terhadap tuntutan “premium” yang mengelirukan, dan mengubah amalan hospital untuk memberi ibu bapa lebih banyak pilihan dan ketelusan.

“Sikap tujuan yang sama telah membentuk kerjanya merentasi pelbagai peranan dalam pemerintah dan gerakan pekerja,” kata PM Wong.