Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Hantaran FB Calvin Cheng tidak beradab, gores masyarakat Melayu/Islam

Anggap komen boleh cetus hilang kepercayaan, timbul sangsi, pecah belah masyarakat
Apr 9, 2025 | 3:18 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata hantaran Facebook yang dimuat naik oleh bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng tidak beradab. Beliau berkata demikian semasa sesi rakaman podcast di Berita Harian.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata hantaran Facebook yang dimuat naik oleh bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng tidak beradab. Beliau berkata demikian semasa sesi rakaman podcast di Berita Harian. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Hantaran Facebook oleh bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, berhubung Gaza tidak beradab dan menggores perasaan masyarakat Melayu/Islam, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Malah, jika kenyataan itu dibiarkan berleluasa, ia boleh mencetus hilang kepercayaan, menimbul kesangsian dan memecah belahkan masyarakat Singapura, katanya.

Encik Masagos berkata demikian semasa mengulas tentang kontroversi berkaitan komen Encik Cheng dalam podcast Berita Harian (BH) - BHerbual #No Tapis - yang disunting pada 9 April.

Episod tersebut, yang dihoskan bersama Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin dan Koresponden Cik Nur Fathin Awalludin, turut menyentuh antara lain, pencapaian masyarakat Melayu/Islam serta tarif perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata beliau terpaksa menyangkal tegas pengulas sosiopolitik itu kerana kenyataan dia menjejas masyarakat Islam tempatan.

“Kita hidup bersama dengan masyarakat lain. Jadi, kepercayaan antara kita dengan masyarakat lain tetap penting. Kepercayaan inilah yang kita harus pertahankan dalam semua kelakuan dan perkataan - apatah lagi dari pemimpin-pemimpin.

“Maka saya rasa kecewa bila baru-baru ini seorang yang dilihat sebagai pemimpin di ruang siber Calvin Cheng, menyatakan sesuatu yang, walaupun mungkin benar, caranya tak benar dan tidak beradab dan sama sekali tidak mempedulikan perasaan orang Islam,” kata Encik Masagos.

Pada 13 Mac, Encik Cheng telah memuat naik satu catatan di Facebook, mengkritik kumpulan aktivis Monday of Palestine Solidarity, yang mengganggu Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di beberapa tempat, dan berkata akan menaja mereka untuk dipindahkan ke Gaza, dengan syarat mereka tidak kembali ke Singapura.

Kenyataannya telah mengundang kemarahan orang ramai khususnya masyarakat Melayu/Islam, yang menyifatkan kata-katanya itu sebagai tidak sensitif dan kurang peka kepada penderitaan warga di Gaza.

Ia juga mengundang respons Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan pada 2 April.

Dalam podcast BHerbual pada 9 April, Encik Masagos berkata: “Tiada siapa yang berhak mencadangkan supaya seorang lagi warga Singapura meninggalkan negara ini hanya kerana mereka mempunyai pandangan yang berbeza.

“Kita semua mempunyai kepentingan di sini. Tiada siapa - Melayu, Cina, India, tanpa mengira latar belakang - adalah “pendatang”. Ini adalah negara kita semua.”

Pada 3 April, Encik Masagos turut berkata dalam hantaran Facebooknya bahawa beliau juga tidak setuju dengan pandangan Encik Cheng.

Encik Masagos berkata cara Encik Cheng mengkritik dua wanita yang telah datang ke MPS Encik Shanmugam dalam hantaran Facebooknya itu adalah cara yang tidak baik dan tidak sopan.

Justeru, ia menggores dan melukakan hati masyarakat Melayu/Islam Singapura yang sangat menitikberatkan kesopanan dan adab dalam percakapan dan meluahkan pandangan, katanya.

“Mungkin beliau tidak faham bahawa ini bukan caranya. Dan kerana masyarakat kita tersentuh dengan kata-katanya, saya harus menyindir beliau agar jangan buat begini.

“Kalau kita biarkan saja, tak tegur, nanti jadi satu kebiasaan, dah kita bergaduh antara satu sama lain dan terlupa bahawa kepercayaan ini adalah sesuatu gam antara kita dengan masyarakat lain,” katanya.

Pada 6 April, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) turut mengeluarkan kenyataan menyifatkan hantaran Facebook Encik Cheng sebagai “amat merisaukan”.

Ia melahirkan rasa kebimbangan mendalam kerana kenyataan Encik Cheng bukan sahaja boleh melukakan perasaan, malah boleh menanam benih ketidakpercayaan dan perpecahan di dalam sebuah negara yang telah berdekad membina sikap hormat-menghormati antara penganut berbilang agama dan etnik.

Ia juga menyeru agar individu yang buat kenyataan tidak sensitif dipertanggungjawabkan serta menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk “melaksanakan apa yang perlu untuk melindungi fabrik sosial negara”.

Mantan pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Jufrie Mahmood yang membuat laporan polis menyifatkan kenyataan Encik Cheng itu sebagai “memupuk Islamofobia dan sentimen ekstremis”.

Dalam satu catatan di Facebook pada 7 April, sebagai respons kepada kenyataan Pergas, Encik Cheng menekankan komennya itu tidak ditujukan kepada mana-mana kaum atau agama.

“Kita hidup bersama dengan masyarakat lain. Jadi, kepercayaan antara kita dengan masyarakat lain tetap penting. Kepercayaan inilah yang kita harus mempertahankan dalam semua kelakuan dan perkataan kita - apatah lagi dari pemimpin-pemimpin. Maka saya rasa kecewa bila baru-baru ini seorang yang dilihat sebagai pemimpin di ruang siber Calvin Cheng, menyatakan sesuatu yang, walaupun mungkin benar, caranya tak benar dan tidak beradab dan sama sekali tidak mempedulikan perasaan orang Islam.”
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg