Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, tidak bersetuju dengan pandangan bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, mengenai konflik Israel-Palestin.
Dalam satu hantaran Facebook pada 3 April, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata:
“Pembunuhan nyawa yang tidak bersalah mesti dihentikan. Ramai yang berkongsi kesedihan dan kekecewaan mereka, mereka sangat terkesan dengan penderitaan orang awam yang tidak bersalah, khususnya kanak-kanak.
“Di sini, warga Singapura daripada semua latar belakang bersatu hati dalam perpaduan. Hakikatnya, individu daripada pelbagai etnik dan agama bersatu dalam seruan ke arah keamanan memberi isyarat jelas (terhadap konflik Israel-Palestin).
“Ia mencerminkan nilai keadilan, kemanusiaan dan rasa saling menghormati yang mendalam. Saya tidak bersetuju dengan pandangan Calvin Cheng tentang konflik Israel-Palestin.”
Encik Masagos menyatakan demikian sehari selepas Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, bercakap dengan pihak media di Masjid Maarof di Jurong West, mengenai perkara serupa sambil menegaskan pandangannya tentang konflik itu juga berbeza daripada Encik Cheng.
Kenyataan beliau adalah susulan hantaran Facebook oleh Encik Cheng pada 13 Mac, di mana bekas NMP itu menyatakan beliau akan membayar pemindahan sekumpulan aktivis ke Gaza, asalkan mereka tidak kembali ke Singapura.
Sementara itu, Encik Masagos, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, berkata beliau menghargai usaha Encik Cheng mendapatkan sokongan dan derma bagi membantu penduduk Tampines melalui inisiatif Tampines SG60 Cares.
Dilancarkan pada Mac, inisiatif yang diterajui Pertubuhan Akar Umbi (GRO) bagi GRC Tampines itu bertujuan menyokong penduduk memerlukan, dengan GRO melibatkan penderma untuk usaha ini.
Encik Cheng, dalam hantaran Facebook pada 3 April, menyatakan beliau akan menyalur semula dana yang dijana kepada SGSHARE – yang dilancarkan Dana Masyarakat (ComChest) sempena meraikan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60).
Menukil laman rasmi ComChest, SGSHARE menyediakan sumber dana berterusan bagi menyokong program perkhidmatan sosial yang kritikal.
“Saya telah memutuskan adalah menjadi kepentingan semua pihak untuk menyalur semula derma (yang telah dijana) bagi tujuan nasional,” ujar beliau.
Sebelum ini dalam satu hantaran Facebook pada 30 Mac, Encik Cheng menjelaskan beliau telah membantu menjana hampir $200,000, hasil sumbangan rakan-rakannya yang baru menjadi warganegara Singapura untuk disalur kepada inisiatif Tampines SG60 Cares.
Ini agar mereka memahami Singapura merupakan masyarakat berbilang agama, dengan warga Singapura perlu saling bantu-membantu antara satu sama lain, tambahnya.
Encik Masagos berkata: “Skim Tampines SG60 Cares tetap akan diteruskan, dengan kami akan mengumpul dana daripada individu lain untuk menyokong penduduk Tampines.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg