Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Masagos: Iftar pelbagai agama tonjol perpaduan kukuh S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Iftar pelbagai agama tonjol perpaduan kukuh S’pura

Majlis di Masjid Darul Ghufran antara cara bangunkan persefahaman, beri teladan dan kenal satu sama lain
Mar 22, 2024 | 09:13 AM



Perhimpunan anggota masyarakat berbilang kaum dan agama yang menyertai masyarakat Melayu/Islam berbuka puasa menonjolkan semangat perpaduan Singapura yang utuh, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Mengekalkan dan memperkukuh semangat itu adalah penting, lebih-lebih lagi dalam negara majmuk seperti Singapura, tambah beliau.

Encik Masagos berkata demikian semasa majlis iftar Harmony Buka Puasa di Masjid Darul Ghufran pada 21 Mac.


Sekitar 600 tetamu menyertai majlis iftar itu, yang dianjurkan Kumpulan Harmoni Antara Agama (IRHC) GRC Tampines dengan kerjasama M3 Tampines, Persatuan Rakyat (PA) dan Masjid Darul Ghufran.


Mereka termasuk 150 tetamu berbilang bangsa dan agama anggota IHRC, akar umbi GRC Tampines, wakil keagamaan GRC Tampines, pelajar Sekolah Menengah Dunman High (DHSS), individu berkeperluan khas daripada sekolah My Inspired Journey (MIJ), wakil kariah kelompok Tampines, pekerja migran, serta sukarelawan masjid.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, Encik Desmond Choo; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng.

Encik Masagos berkata: “Di bawah program Melakar Hala Tuju Singapura, salah satu tunjang ialah membina perpaduan Singapura.

“Salah satu cara kita terus mengekalkan perpaduan ini ialah dengan memahami agama dan budaya satu sama lain.

“Bersama akar umbi dan IHRC, yang menghimpunkan wakil agama, ini adalah salah satu cara kita membangunkan persefahaman, menunjukkan teladan dan mengenal satu sama lain menerusi hidangan (berbuka).”

Beliau menambah bahawa kehadiran Encik Wong juga menandakan dukungan kepada kerja yang dilakukan masyarakat dalam melestarikan semangat perpaduan.

Antara usaha sedemikian ialah pelibatan pelajar berlainan bangsa dan agama daripada DHSS. Seramai 10 pelajar menengah empat DHSS yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga di bawah Program Khas Melayu (MSP) menyertai majlis iftar itu.

Salah seorang daripada mereka, Hsu Jia Jie, berkata pengalaman berbuka di masjid, di samping menjamu hidangan daripada budaya lain, adalah sesuatu yang baru baginya.

Hsu berkata pengalaman itu lebih manis kerana ia kali pertama dia menjamu selera dari dulang – makanan iftar itu disajikan dalam dulang dan dikongsi empat hingga lima orang sedulang.

“Saya pernah menyertai program iftar di sekolah sebelum ini, tetapi kali ini ia berbeza kerana ia berskala besar dan kami dapat makan bersama dari satu dulang menggunakan tangan. Di sekolah, ia dihidangkan ala bento,” ujarnya.

Hal serupa dikongsi rakannya, Lin Hong Bin, seorang penganut Buddha. Lin berkata kawasan masjid agak terbuka, berbeza daripada kuil yang sering dilawatinya, yang dipenuhi patung.

“Saya belajar bahawa bagi orang Islam, mereka tidak menyembah berhala dan ini sesuatu yang baru bagi saya kerana saya tidak pernah melawat tempat ibadah seperti ini,” tambahnya.

Seorang anggota IHRC dan akar umbi Tampines GRC, Encik Malkit Singh, berkata persefahaman berbilang agama sedemikian adalah baik kerana sebagai warga sebuah negara majmuk, rakyat Singapura perlu tahu sedikit sebanyak mengenai budaya satu sama lain.

Pengurus mutu berusia 64 tahun itu berkata: “Faktor penting (dalam majlis seperti ini) ialah memahami budaya dan kepercayaan satu sama lain.

“Untuk melakukan ini, kita harus bersatu padu. Dengan cara ini kita boleh bersikap lebih bertoleransi tentang beberapa perkara. Misalnya di tempat kerja, saya ada rakan beragama Islam, jadi saya faham (apabila berpuasa) mereka rasa letih ketika kerja.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >