Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Jurusan pengajian agama di SCIS akan dibiayai masyarakat

Wakaf Masyarakat Singapura jadi sumber dana utama; Mantan Speakar Parlimen Abdullah Tarmugi akan pengerusikan Lembaga Pengelola SCIS
Nov 14, 2024 | 9:00 PM
Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), dengan kampus di Bencoolen Street, akan dibiayai masyarakat Melayu/Islam setempat dengan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) menjadi sumber dana utama.
Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), dengan kampus di Bencoolen Street, akan dibiayai masyarakat Melayu/Islam setempat dengan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) menjadi sumber dana utama. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Pemerintah tidak akan membiayai pengajian agama di Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) kerana ia akan disokong sepenuhnya oleh masyarakat Melayu/Islam di sini dengan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) menjadi sumber dana utama.

Pembiayaan bagi subjek ‘sekular’ di bawah laluan sains kemasyarakatan yang ditawarkan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pula adalah sesuatu yang pemerintah akan dan telah pun berikan kepada universiti itu untuk menjalankan programnya.

“Kami hanya akan memanfaatkan pembiayaan itu. Pembiayaan daripada pemerintah itu adalah pendanaan yang SUSS sudah pun terima untuk sejumlah pelajar yang telah diperuntukkan untuk ia terima masuk,” kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama media pada 13 November bagi memberi butiran lanjut tentang SCIS yang akan menerima kumpulan pertama hingga 60 penuntut pada 2028.

Pada 10 November, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa SCIS, yang kali pertama diusulkan pada 2016, akan menawarkan program sarjana muda sepenuh masa selama empat tahun. Penuntut boleh memilih untuk menjalani pengkhususan dalam jurusan pengajian Islam dan meraih ijazah SCIS atau sains kemasyarakatan dan meraih ijazah SUSS.

Kolej itu bertujuan membangunkan asatizah dengan pengetahuan dan kemahiran memberi bimbingan agama mengikut konteks kepada masyarakat Islam yang hidup dalam masyarakat majmuk seperti Singapura.

Ia akan bekerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa yang mapan untuk menyampaikan programnya seperti institusi Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan, dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi selain SUSS.

Pada 11 November, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, dalam satu wawancara bersama media berkata penuntut kolej itu akan menerima latihan menyeluruh dalam pengajian agama pada tahun pertama dan kedua, sebelum meneruskan pengajian dalam laluan pengkhususan pada tahun ketiga dan keempat.

Ini akan membolehkan mereka berkhidmat sebagai asatizah peringkat satu selepas tamat pengajian tanpa perlu mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS). PCICS dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi pelajar Singapura yang melanjutkan pengajian Islam di luar negara untuk mereka memahami prinsip Islam dalam konteks Singapura.

Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata selama ini, masyarakat Melayu/Islam telah dapat membiaya semua institusinya.

“Kita dikehendaki membiayainya sendiri dan kita telah berdaya inovatif dalam cara kita melakukannya tanpa perlu mendapatkan pembiayaan dari luar. Hasilnya adalah pandangan dunia Islam kita adalah unik kepada Singapura kerana tidak ada pengaruh dari luar yang boleh membentuk pandangan kita,” kata Encik Masagos.

“Kita telah menubuhkan WMS… untuk menyokong institusi kita termasuk SCIS. Kita juga akan mencari bentuk pembiayaan lain, sedang kita menentukan jumlah yang akan diperlukan dalam tahun-tahun mendatang. Tetapi WMS akan menjadi dana utama yang kita perlu bangunkan untuk membiayai SCIS dalam jangka panjang,” tambahnya.

WMS dilancarkan pada Ogos 2024 dengan jumlah $3.8 juta telah diikrarkan.

Encik Masagos memberi jaminan unjuran dana dan sumber yang ada untuk membiayai SCIS adalah mencukupi.

Selain WMS, terdapat sumber dana lain yang boleh digunakan untuk membiayai SCIS seperti zakat yang sebahagiannya kini disalurkan kepada madrasah tempatan, katanya.

Encik Masagos tidak berkongsi kos menubuhkan SCIS, tetapi berkata kos yang dianggarkan adalah berdaya maju dengan dana yang tersedia ada dapat memastikan ia mampan.

“Bagi SCIS, dana diperlukan untuk menubuhkannya dan mengendalikannya, dan kami mengalu-alukan sokongan masyarakat untuk menubuhkannya dan mengendalikannya dalam jangka panjang,” katanya.

Dalam wawancara itu, Encik Masagos turut mengumumkan bahawa mantan Speakar Parlimen yang juga mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Abdullah Tarmugi, akan mempengerusikan Lembaga Pengelola (BOG) SCIS.

Encik Masagos pula akan mempengerusikan Panel Penasihat SCIS yang akan mempunyai sembilan anggota lain termasuk pemimpin dari institusi tempatan dan antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg