Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penuntut SCIS boleh raih ijazah dalam pengajian Islam, sains kemasyarakatan

Butiran kos pengajian akan diumum kelak, namun ia harus jauh lebih rendah daripada kos lanjutkan pengajian Islam di luar negara
Nov 13, 2024 | 7:30 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata semua penuntut Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), pada tahun pertama dan kedua di kolej itu, akan mengikuti pengajian Islam yang dilengkapi pengajian dalam kerja sosial. 
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata semua penuntut Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), pada tahun pertama dan kedua di kolej itu, akan mengikuti pengajian Islam yang dilengkapi pengajian dalam kerja sosial.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Penuntut Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) boleh meraih ijazah sarjana muda yang dianugerahkan kolej itu di akhir pengajian mereka dalam bidang pengajian Islam atau sains kemasyarakatan.

Sementara itu, butiran seperti kos pengajian dan subsidi yang akan ditawarkan kepada penuntut SCIS sedang ditetapkan dan akan diumumkan kelak, tetapi secara prinsip, ia harus jauh lebih rendah daripada kos melanjutkan pengajian Islam di luar negara.

Menyatakan demikian dalam wawancara bersama media pada 13 November, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata semua penuntut SCIS, pada tahun pertama dan kedua di kolej itu, akan mengikuti pengajian Islam yang dilengkapi pengajian dalam kerja sosial.

Pada tahun ketiga dan keempat, penuntut yang layak melanjutkan pengajian di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) boleh meneruskan pengajian mereka di universiti itu.

Bagi penuntut yang mahu meneruskan pengajian agama, mereka boleh khusus dalam bidang tersebut pada tahun ketiga dan keempat pengajian mereka.

“Saya rasa ini adalah struktur ijazah yang sangat unik dan saya rasa ia cukup menarik untuk penuntut dan ibu bapa mereka memilih laluan ini. Ia membolehkan penuntut melanjutkan pengajian agama, yang bukan hanya memberi mereka pemahaman mendalam dan kemahiran untuk menerapkan ilmu mereka dalam konteks, malah kemungkinan untuk bertukar kerjaya, daripada kerjaya dalam bidang agama kepada kerja sosial atau kaunseling kerana mereka telah dilatih dalam kurikulum menyeluruh untuk kedua-dua laluan,” kata Encik Masagos.

Pada 11 November, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkongsi bahawa SCIS akan menerima hingga 60 penuntut bagi kohort pertamanya yang akan memulakan pengajian pada 2028.

Ini sekitar separuh daripada purata 120 lulusan madrasah tempatan yang melanjutkan pengajian Islam di luar negara setiap tahun.

Penuntut perlu memenuhi kriteria tertentu, seperti keupayaan memahami bahasa Arab dan mempunyai pemahaman asas pengajian Islam.

Pengajian akan dijalankan di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Bencoolen Street, dekat Masjid Bencoolen.

Kampus lima tingkat itu antara lain dilengkapi dua dewan kuliah yang boleh memuatkan sejumlah 80 penuntut, empat bilik seminar dan perpustakaan.

Tenaga pengajar di kolej itu akan terdiri daripada asatizah setempat termasuk mereka yang bergelar doktor falsafah (PhD), dengan sokongan pakar antarabangsa seperti dari institusi Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan, dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi, sekurang-kurangnya pada peringkat awal penubuhan kolej itu, kata Encik Masagos. 

Beliau berkata jika bilangan penuntut dalam satu kohort naik ke sekitar 100, kolej itu akan memerlukan premis yang lebih besar daripada Kampus Bencoolen.

Ditanya apakah ijazah SCIS akan menjadi ijazah yang lebih diiktiraf di Singapura kelak, Encik Masagos berkata beliau “yakin fraterniti pemimpin agama akan mahukan standard tertentu yang mereka mahu kekalkan untuk menentukan siapa yang layak mengajar agama Islam di Singapura”.

Beliau juga berkata lulusan SCIS akan mempunyai set kemahiran mendalam dalam pengajian agama, khususnya yang boleh diterapkan dalam persekitaran kontemporari dan dalam konteks minoriti dan pada masa mempunyai set kemahiran dalam kerja sosial, yang menghendaki mereka memahami psikologi, kerja sosial, struktur sosial dan sebagainya.

“Saya rasa ia adalah gabungan kemahiran yang hebat untuk mereka tawarkan. Ini juga bermakna mereka akan mempunyai kelebihan nilai berbanding seseorang yang mempunyai hanya kemahiran agama,” katanya.

Bagi mengikuti modul sains kemasyarakatan, Encik Masagos berkata belum ditentukan sama ada penuntut akan perlu ke kampus SUSS di Clementi atau sama ada pensyarah dari universiti itu akan datang ke Kampus Bencoolen untuk menyampaikan kuliah.

“Kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangannya. Mungkin ada kesukaran untuk penuntut ke sana, tetapi ia akan memberi mereka peluang bergaul dengan penuntut lain dan memberi mereka pandangan dunia yang lebih baik,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg