Kepimpinan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, telah memberi inspirasi kepada ramai dengan kepimpinannya berdasarkan kepercayaan dan kebolehan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, turut meluahkan penghargaannya kepada komitmen Encik Lee dalam menaik taraf kedudukan masyarakat Melayu/Islam.
Beliau berkata demikian dalam satu ucapan video yang disiarkan sewaktu majlis jamuan makan malam anjuran masyarakat Melayu/Islam, dengan Yayasan Mendaki sebagai sekretariat penganjur, di Singapore Expo pada 20 September bagi menghargai sumbangan Encik Lee.
“Asas kepimpinan adalah amanah dan kebolehan. Jelas sekali dalam hal ini, SM Lee telah menunjukkan beliau adalah seorang yang sangat amanah, (mempunyai) integriti yang begitu tinggi dan mahu pasukan yang sama juga menunjukkan integriti ataupun amanah,” tambah Encik Masagos.
Katanya lagi, Encik Lee sering memberi perhatian kepada membina kepercayaan bersama antara masyarakat dengan pemerintah.
“Satu yang menyerlah ialah beliau selalu hadir dalam pelbagai acara masyarakat Melayu/Islam di Singapura kerana hanya dengan kerjasama yang rapat, dengan mengetahui secara mendalam, kita akan dapat membina kepercayaan pada satu sama lain.
“Beliau berani menjalankan sesuatu atas kebijaksanaan bukan atas kekhuatiran bahawa ini akan menjejas kedudukan beliau sebagai pemimpin yang popular,” kata Encik Masagos.
Dalam video penghormatan itu, pemimpin masyarakat lain turut meluahkan bagaimana Encik Lee mendengar pendapat berbeza dalam suasana berbilang bangsa dan agama.
Antara isu yang hangat diperdebatkan ketika beliau memangku jawatan Perdana Menteri ialah pemakaian tudung dalam kalangan jururawat dan pemansuhan Seksyen 377A Kanun Keseksaan, yang menyifatkan seks sesama jantina sebagai jenayah.
Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohd Ali, berkata:
“Pendekatan SM Lee itu seolah-olah menunjukkan bahawa walaupun Singapura ini satu negara yang sekular, tetapi agama dan golongan agama ini memainkan peranan yang penting.”
Naib Presiden Kehormat Pergas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, turut berkata bahawa konsep yang diambil Encik Lee adalah untuk banyak berbincang.
Sependapat, mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Hawazi Daipi, berkata Encik Lee telah menampilkan kepimpinan yang bersedia untuk mengambil kira pandangan yang berbeza.
“Satu perkara yang saya rasa cukup penting dalam soal peralihan hubungan antara masyarakat Melayu/Islam dengan pemerintah Singapura dan juga dengan kaum yang lain adalah soal kepercayaan,” kata mantan Menteri Negara Kanan, Encik Zainul Abidin Rasheed.
Selain itu, peranan Encik Lee dalam membantu masyarakat Melayu/Islam maju dari segi pendidikan diserlahkan dalam video penghormatan itu.
Kemajuan masyarakat Melayu jelas kelihatan dengan 99% daripada anak-anak Melayu berjaya tamat 10 tahun persekolahan, menurut Encik Masagos.
Sejajar itu, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata bahawa pencapaian itu bukan saja dari segi akademik, tetapi juga sumbangan kepada masyarakat.
Ada yang mempunyai bakat dalam arena lain justeru peluang yang diberi lebih luas, sebagaimana ukur tara sukses juga harus lebih luas, katanya.
Mantan Presiden Kelab Mendaki, Cik Faridah Saad, berkata:
“Menteri Kanan Lee Hsien Loong melancarkan Kelab Mendaki untuk melibatkan karyawan dan belia Melayu Islam dalam hal ehwal masyarakat dunia dan Singapura.
“Kepimpinan Encik Lee sewaktu pandemik Covid-19 memberi inspirasi bagi saya untuk membolehkan belia dan karyawan Melayu/Islam untuk melancarkan kerjaya yang berkesan dan memuaskan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg