Kerjasama yang lama dijalin antara akar umbi dengan masyarakat telah membina ikatan dan kepercayaan yang membantu memastikan warga Singapura akan dapat bertindak balas dengan wajar sekiranya berlaku serangan pengganas di sini, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Beliau, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, ketika bercakap dengan media di sisi acara Meja Bundar Tindak Balas Masyarakat (CRRT) pada 19 Oktober menyusuli pengumuman penahanan remaja berusia 17 tahun yang merancang serangan di Tampines, memberi jaminan kepada penduduk bahawa estet di timur Singapura itu kekal aman.
Pada masa sama, beliau berpesan agar orang ramai terus berwaspada dan berjaga-jaga sekiranya ancaman sedemikian berulang.
“Terima kasih kepada pihak berkuasa kerana telah menahan belia itu, yang sekarang menjalani rehabilitasi dan mencegah berlakunya satu insiden yang sangat berat bukan hanya ke atas mangsa tetapi juga kepada masyarakat dan negara.
“Saya memberi jaminan kepada penduduk Tampines, keamanan tetap ada dan kita harus berwaspada dan berjaga-jaga, dan bersiap kalau sesuatu berlaku, kita harus dapat keluar daripada krisis tersebut dengan tenang dan mengekalkan kepercayaan yang ada antara masyarakat dengan pemerintah,” katanya.
Remaja itu diberkas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Ogos 2024 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebulan sebelum serangan yang dirancang pada September.
ISD dalam kenyataannya pada 18 Oktober berkata belia itu didapati ingin melakukan serangan pengganas di Singapura ke atas lelaki bukan Muslim dengan menggunakan pisau atau gunting.
Dia juga dikatakan sedia mati diserang oleh polis atau orang awam yang bertindak balas terhadap serangan pengganas itu.
Dia merancang melakukan serangan itu di kawasan lelapang antara Blok 826 dengan Blok 828 Tampines Street 81 kerana jumlah penduduk ramai yang lalu lalang dan ia terletak berdekatan rumahnya, kata ISD.
“Di Tampines, hasil usaha yang kami telah lakukan dengan peniaga, dengan masyarakat di sekeliling, termasuk tempat beribadat, tidak susah untuk kami menjangkau kepada mereka termasuk dalam perhimpunan seperti ini, untuk memastikan semuanya okey, kita akan meneruskan (kehidupan) tetapi kita perlu sentiasa bersiap sedia,” kata Encik Masagos.
Bercakap dalam bahasa Melayu, Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, turut mengingatkan orang Islam agar merujuk kepada pakar bagi sebarang urusan agama dan dalam memahami isu yang menjejas orang Islam.
““Saya meminta semua, dalam hal memahami tentang agama, dan tentang pemahaman isu-isu yang berlaku kepada umat Islam, rujuklah pada pakar yang ada yang sedia menjawab semua kemusykilan yang ada,” katanya.
Untuk memupuk tindak balas seluruh masyarakat terhadap ancaman pengganasan, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Persatuan Rakyat (PA) telah memperkenalkan CRRT di bawah gerakan kebangsaan SGSecure pada 2019 bagi meningkatkan kesiapsiagaan peringkat masyarakat setempat.
Diketuai oleh penasihat akar umbi, CRRT terdiri daripada wakil dari sekolah, perniagaan, akar umbi, masyarakat dan pertubuhan keagamaan dalam kawasan geografi dan berfungsi sebagai wadah penyelaras untuk anggota berkumpul untuk bekerjasama dan melaksanakan inisiatif bagi mengukuhkan kesediaan menghadapi krisis masyarakat mereka.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, yang juga hadir di CRRT itu berkata sebanyak 34 CRRT telah ditubuhkan di serata negara sejak ia diperkenalkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg