Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Warga perlu hadapi konflik luar dengan tenang, bijak

Oct 18, 2024 | 7:04 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam hantaran di Facebook pada 18 Oktober menggesa agar rakyat Singapura menghadapi konflik yang berterusan di rantau atau negara lain dengan tenang dan bijak, namun akur ia telah menjejas emosi ramai di sini.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam hantaran di Facebook pada 18 Oktober menggesa agar rakyat Singapura menghadapi konflik yang berterusan di rantau atau negara lain dengan tenang dan bijak, namun akur ia telah menjejas emosi ramai di sini. - Foto fail

Konflik yang berterusan di rantau atau negara lain telah menjejas emosi ramai di sini, tetapi rakyat Singapura perlu menghadapinya dengan tenang dan bijak, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Mengulas tentang penahanan remaja berusia 17 tahun yang merancang serangan di Tampines, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata beliau sedih dan terkejut mendengar berita itu.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 18 Oktober, beliau berkata: “Kita semua merasakan kesakitan kehilangan ramai nyawa yang tidak berdosa, mereka yang kehilangan orang tersayang, keluarga yang terpisah, dan anak-anak yang terpaksa belajar kesedihan terlalu cepat.

“Konflik ini telah menjejas emosi ramai daripada kita, termasuk saya sendiri. Tetapi kita mesti bersatu menghadapi isu ini dengan tenang dan bijaksana, sebagai individu, sebagai masyarakat dan sebagai satu negara.”

Beliau menggesa agar masyarakat di sini tidak membenarkan isu atau keadaan yang berlaku di luar negara menjejas keharmonian dan keamanan di sini, lebih-lebih lagi “memusnahkan cara kehidupan di Singapura”.

“Setiap individu harus memainkan peranan mereka dan melihat tanda-tanda jika anda mengesyaki seseorang mungkin telah menjadi radikal.

“Kes ini, yang dilakukan secara berseorangan, adalah peringatan untuk kita supaya sentiasa berwaspada. Kita juga mesti bersedia,” tambah Encik Masagos.

Encik Masagos, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, memberi jaminan kepada penduduk Tampines bahawa agensi keselamatan dilatih dan dilengkapi dengan baik untuk memberi tindak balas wajar terhadap potensi ancaman atau serangan sedemikian.

Ini setelah remaja itu didapati ingin melakukan serangan pengganas di Singapura ke atas lelaki bukan Muslim menggunakan pisau atau gunting.

Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 18 Oktober, dia merancang membuat serangan itu di kawasan lapang antara Blok 826 dengan Blok 828 Tampines Street 81 kerana jumlah penduduk ramai yang lalu-lalang dan ia terletak berdekatan rumahnya.

“Kami telah mematahkan kes ini dan pastinya kami akan terus memberikan sokongan dan bantuan untuk memastikan keselamatan masyarakat,” ujar Encik Masagos.

Dalam pada itu, beliau juga menggariskan sumbangan yang telah dihulurkan Singapura sejauh ini kepada Palestin yang berjumlah lebih $17 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg