Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, akan melawat Mesir dan Arab Saudi dari 8 hingga 15 Januari 2025.
Lawatan rasmi itu bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala Singapura dengan Mesir dan Arab Saudi untuk kerjasama pada masa depan.
Semasa di Mesir, Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan akan bertemu tokoh-tokoh utama untuk mengukuhkan hubungan dua hala Singapura dengan Kahirah.
Demikian menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dalam kenyataannya pada 7 Januari.
Di samping bertemu pelajar Singapura yang berpangkalan di Kahirah, beliau akan juga bertemu Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad; Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Mohamed Ahmed Al-Tayyeb; Mantan Mufti Besar Mesir, Dr Shawki Allam dan Dr Ali Gomaa; Menteri Wakaf Agama, Dr Osama Al-Azhary; dan Menteri Perpaduan Sosial, Dr Maya Mohamed Abdel-Moneim Morsy.
Di Arab Saudi pula, Encik Masagos akan menghadiri Pameran dan Persidangan Haji dan Umrah tahunan anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, tambah Muis.
Beliau akan bertemu dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, untuk membincangkan perkara berkenaan musim haji akan datang.
Kededua menteri itu dijangka memeterai perjanjian haji yang akan menetapkan kuota haji untuk Singapura bagi 2025.
Pertemuan beliau dengan Datuk Bandar Makkah, Encik Musad Abdulaziz Aldaood, dan Gabenor Taif, Putera Saud Bin Nahar Bin Saud Bin Abdulaziz, turut dijadualkan.
Encik Masagos juga akan bertemu dengan pelajar Singapura yang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi di Arab Saudi.
Dalam lawatan itu, beliau akan diiringi Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, dan pegawai kanan lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg