Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines sedang menumpukan perhatian sepenuhnya untuk berkhidmat kepada penduduk, dan akan terus berbuat demikian menjelang pilihan raya umum (GE) akan datang, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) di luar acara makan tengah hari buat penduduk Tampines anjuran M3@Tampines di restoran Tiara Waterfront pada 23 Februari, Encik Masagos berkata kesemua AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Tampines bekerja keras sejak hari pertama meraih mandat yang kukuh daripada penduduk Tampines pada pilihan raya lalu.
“Kami sedang menumpukan segala khidmat kami kepada penduduk. Sejak bila kami mula bekerja keras buat penduduk? Sejak hari pertama selepas kami memenangi GRC Tampines lima tahun lalu dan hingga hari ini kami masih belum berlengah atau mengurangkan usaha kami.
“Jadi kami akan terus melakukan itu – berkhidmat kepada penduduk kami, meletakkan mereka di hadapan dan tengah segala yang kami lakukan sepanjang jalan – hingga pengumuman rasmi siapa antara calon untuk GE2025.
“Kemudian, kami akan melakukan perkara yang sama sekali lagi dan meneruskan usaha kami untuk memberi tumpuan kepada penduduk kami,” kata Encik Masagos, yang menjadi AP GRC Tampines sejak 2006.
Apabila ditanya apakah beliau berasa bimbang mengenai kemungkinan ada pertandingan empat penjuru pada GE2025 di GRC itu, Encik Masagos berkata: “Saya hanya akan terus fokus pada tugas saya untuk penduduk”.
Pada 23 Februari, akhbar The Straits Times (ST) melaporkan GRC Tampines dijangka dipertandingkan dengan hangat pada GE2025, dengan tiga parti pembangkang melahirkan minat bertanding di kawasan yang dipegang oleh PAP itu.
Parti Pekerja (WP) melakukan lawatan menemui penduduk di kawasan undi itu sejak sekurang-kurangnya dua tahun lalu, dan sumber parti itu memberitahu ST ia berhasrat bertanding di situ.
Parti Perpaduan Nasional (NSP), yang bertanding dalam tiga pilihan raya umum lalu, juga telah menemui penduduk di kawasan undi itu dan memberitahu ST ia akan meneruskan kerjanya di sana, yang tidak berhenti sejak 2020.
Parti Kuasa Rakyat (PPP) juga akan bertanding di GRC Tampines pada GE2025 berikutan pengumuman oleh setiausaha agungnya, Encik Goh Meng Seng, semasa lawatan mereka di Tampines Street 81 bahawa beliau berhasrat meletakkan pasukannya di Tampines.
Pada 2020, pasukan PAP yang diketuai oleh Encik Masagos memenangi GRC Tampines dengan 66.4 peratus undi menentang pasukan NSP, yang diketuai presidennya, Encik Reno Fong.
Pasukan PAP Tampines beroperasi dengan kurang seorang AP sejak Julai 2023, setelah Cik Cheng Li Hui mengosongkan kerusinya di Tampines East disebabkan hubungan sulitnya dengan Speaker Parlimen ketika itu, Encik Tan Chuan-Jin.
Pada 22 Februari, Majlis Bandaran Tampines mengumumkan pelan induk lima tahunnya bagi meningkatkan prasarana serta kehidupan penduduk Tampines, termasuk membangunkan kawasan Pusat Bandar Tampines menjadi sebuah ruang mesra untuk bekerja, beriadah dan menjalin kehidupan masyarakat.
Semasa ditanya BH pada 22 Februari sama ada beliau dan AP GRC Tampines sekarang akan bertanding dalam GE2025, Encik Masagos berkata Perdana Menteri Lawrence Wong akan memutuskan perkara itu dan mengumumkannya pada masa yang sesuai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg