Seramai 120 penduduk daripada keluarga berpendapatan rendah di Tampines dijamu di restoran Tiara Waterfront di Stadium Tertutup Singapura dan diberi habuan barangan dapur serta ‘duit Raya’ pada 23 Februari.
Acara ‘Jamuah Rahmah’ itu dianjurkan bersama buat kali pertama oleh M3@Tampines, Persatuan Rakyat (PA) dan Masjid Darul Ghufran, dan ditaja sepenuhnya oleh Maybank, Tiara Waterfront serta Kuil Cina Tampines.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata acara itu bermakna dan merakamkan penghargaannya kepada penaja yang berkongsi rezeki mereka bersama penduduk memerlukan.
“Di negara lain, kita lihat penduduk dan perusahaan mereka berdepan dengan kesulitan. Dibuang kerja, tanpa bantuan untuk mendapat pekerjaan baru.
“Tapi di Singapura, perusahaan kita berkembang maju, dan semakin mereka maju, mereka dapat membayar lebih banyak cukai, yang dapat disalurkan kepada dasar yang dapat membantu warga Singapura yang memerlukan.
“Seperti jamuan hari ini, hasilnya datang daripada penaja yang tampil berkongsi rezeki mereka bersama semua, dan kami amat berterima kasih akan sumbangan mereka,” kata Encik Masagos, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines.
Penduduk yang dijemput ke ‘Jamuan Rahmah’ itu terdiri daripada penerima bantuan daripada Masjid Darul Ghufran dan ComLink. Mereka turut dihiburkan dengan gelagat hos acara tersebut, deejay selebriti A.B. Shaik. Setiap seorang dihadiahkan duit Raya $50, baucar $50 bagi membeli barangan elektrik, teknologi maklumat (IT) dan perabot Courts, serta baucar NTUC FairPrice bernilai $100.
Pengarah penjualan Tiara Waterfront, Cik Noor Jannah Aboo Baker, berkata beliau bersyukur berpeluang membawa keceriaan kepada penduduk memerlukan agar mereka dapat bersiap untuk menyambut kedatangan Ramadan.
“Saya harap perkongsian ini dapat membawa keceriaan kepada kehidupan mereka, lebih-lebih lagi mereka yang bergelut dengan cabaran kehidupan harian. Kami sekadar membantu apa yang kami mampu, dan harap mereka dapat menyambut Ramadan dengan tenang dan penuh rahmah, seperti keluarga lain,” kata Cik Noor Jannah.
Dalam ucapannya, Encik Masagos juga menggesa penerima bantuan supaya meneroka cara untuk menyumbang tenaga dan kemahiran mereka kepada masyarakat. Beliau berkata adalah penting setiap warga, kaya mahupun miskin, bantu-membantu mengikut kemampuan masing-masing.
“Tidak semestinya awak tidak ada duit, awak tidak boleh menyumbang kepada masyarakat atau bantu orang lain. Awak juga boleh membantu dari rumah awak sendiri.
“Yang ada bakat, boleh kongsi bakat. Yang pandai menjahit, boleh tolong menjahit. Ada yang pandai memasak pun. Justeru, semua orang boleh menyumbang mengikut kemahiran dan kemampuan sendiri.
“Inilah sifat rahmah yang kita ingin jalin antara satu sama lain. Selain mendapat bantuan, anda juga boleh membantu orang lain,” kata Encik Masagos.
Pada paginya, Encik Masagos menghadiri pembukaan semula Kelab Masyarakat Tampines Changkat di Tampines Street 11, bersama-sama AP GRC Tampines yang lain.
Kelab masyarakat baru dinaik taraf itu mempunyai kemudahan moden dan program dipertingkat, yang direka untuk memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang, termasuk perpustakaan khusus baru untuk peminat fantasi dan fiksyen sains.
Beberapa kemudahan baru, termasuk gelanggang bola keranjang dalaman, ruang kerja bersama pelbagai guna dan sebuah anjung yang dinaik taraf, juga telah dibina untuk penduduk berkumpul bagi menganjurkan acara amal dan pasar lambak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg