Peranan jururawat telah berkembang sejak beberapa tahun ini, daripada menjaga pesakit di pusat penjagaan kesihatan kepada menjaga pesakit dalam masyarakat dan di rumah, kata Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Berucap di majlis Sambutan Hari Jururawat Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) pada 23 Julai sempena Hari Jururawat, Encik Masagos berkata kerjaya kejururawatan telah berkembang dengan ketara, mengambil peranan lebih tinggi dan merangkumi pelbagai aspek.
“Hari ini, anda bukan sahaja menjaga orang sakit, malah menggalak individu supaya membuat penyesuaian kepada gaya hidup dan tabiat mereka, supaya mereka boleh berada dalam keadaan yang lebih baik dan mengelak daripada jatuh sakit.
“Sistem penjagaan kesihatan kita adalah pada tahap hari ini, kerana sumbangan anda yang berharga… membantu meningkatkan (tahap) kesihatan pesakit dan memberikan khidmat penjagaan kesihatan dan kesejahteraan dengan lancar,” kata Encik Masagos.
Dalam ucapannya, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata sebagai karyawan, adalah penting bagi jururawat terus mengasah kemahiran dan meluaskan pengetahuan.
Beliau turut memuji Pusat Kecemerlangan Kejururawatan NUHS kerana melabur dalam pembangunan jururawat melalui program pembinaan keupayaan dan memupuk pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau menambah bahawa semakin penduduk Singapura menua dan keperluan mereka menjadi lebih rumit, sektor penjagaan kesihatan perlu diubah suai agar ia kekal relevan dan dapat diakses oleh semua penduduk Singapura.
“Saya gembira kerana sebagai Sistem Kesihatan Akademik, NUHS menyediakan peluang giliran kerja dan pembelajaran silang bidang untuk jururawat.
“NUHS juga menggalak jururawat supaya bekerjasama merentasi pelbagai kepakaran dan tetapan penjagaan.
“Ini membolehkan jururawat mentakrifkan semula peranan mereka, menyesuaikan diri dengan persekitaran penjagaan yang berbeza dan memajukan kerjaya mereka dalam rangka kerja yang dinamik dan berstruktur,” kata Encik Masagos.
Beliau menambah, komitmen terhadap pembelajaran dan inovasi berterusan adalah penting untuk sektor penjagaan kesihatan.
Oleh itu, Encik Masagos menyeru jururawat supaya memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kecekapan dan menyokong keperluan pesakit.
Mengakui bahawa ini memerlukan perubahan, beliau berkata sektor penjagaan kesihatan perlu menyesuaikan prosesnya dan menyepadukan aplikasi teknologi dengan lancar untuk meraih manfaat.
Semasa majlis tersebut, seramai 128 individu diberikan Anugerah Nightingale NUHS, manakala dua lagi individu menerima Anugerah Joycelyn Khoo bagi Kejururawatan Pediatrik NUHS.
Anugerah tersebut diberikan kepada jururawat yang menunjukkan kecemerlangan, belas kasihan dan penjagaan teliti terhadap pesakit kanak-kanak mereka, serta merupakan contoh teladan yang memberi sumbangan besar dalam penjagaan pesakit.
“
“Saya gembira kerana sebagai Sistem Kesihatan Akademik, NUHS (Sistem Kesihatan Universiti Nasional) menyediakan peluang giliran kerja dan pembelajaran silang bidang untuk jururawat. ... Ini membolehkan jururawat mentakrifkan semula peranan mereka, menyesuaikan diri dengan persekitaran penjagaan yang berbeza dan memajukan kerjaya mereka dalam rangka kerja yang dinamik dan berstruktur.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg