Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Perpaduan masyarakat perisai atasi radikalisasi

Tekankan masyarakat perlu prihatin akan perkembangan remaja, kewajipan ibu bapa pantau kegiatan anak dalam sesi sembang
Nov 23, 2024 | 7:29 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan Pengerusi Masjid Ghufran, Ustaz Mohd Faizal Abdillah, semasa sesi sembang bersama 100 peserta yang terdiri daripada sukarelawan M Kuasa Tiga (M³), Duta Blok dan Pemimpin Akar Umbi dari Tampines.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan Pengerusi Masjid Ghufran, Ustaz Mohd Faizal Abdillah, semasa sesi sembang bersama 100 peserta yang terdiri daripada sukarelawan M Kuasa Tiga (M³), Duta Blok dan Pemimpin Akar Umbi dari Tampines. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Perpaduan masyarakat yang kukuh adalah perisai dalam menangani isu radikalisasi di Singapura, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. 

Menurut beliau, kerjasama antara kaum dan agama penting untuk kemaslahatan masyarakat.

Encik Masagos berkata demikian kepada sekitar 100 peserta, yang termasuk duta blok dan ketua agama daripada Pertubuhan Agama Tampines, dalam satu sesi sembang di Masjid Darul Ghufran pada 23 November.

Sesi itu dianjurkan Pusat Harmoni, Persatuan Rakyat (PA) dan Masjid Darul Ghufran. 

Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, menekankan bahawa masyarakat perlu prihatin mengenai perkembangan remaja, yang senang terpengaruh, dan menegaskan tanggungjawab ibu bapa untuk memantau kegiatan anak mereka.

Beliau merujuk kepada laporan Berita Harian pada 18 Oktober mengenai seorang remaja ditangkap beberapa minggu sebelum dia dapat menjalankan niatnya menyerang penduduk lelaki bukan beragama Islam di Tampines West.

“Jika aktiviti radikalnya itu dapat dipantau dari awal, dia mungkin tidak perlu ditangkap, tetapi oleh kerana penyiasatan menunjukkan dia sudah mempunyai perancangan dan niat untuk menyerang, ia tidak dapat dielakkan.

“Seperti juga insiden paderi ditikam baru-baru ini oleh seorang lelaki di sebuah gereja Katolik (St. Joseph) – kegiatan radikal tidak mencerminkan agama dan kaum, malah ia adalah kes terpencil dan berasingan,” kata Encik Masagos. 

Menurutnya lagi, perpaduan masyarakat Singapura adalah perisai dan kerjasama antara kaum dan agama penting untuk kemaslahatan masyarakat.

Beliau juga menambah bahawa keutuhan keluarga dan sokongan positif dapat menangani isu radikalisasi.

“Melaburlah (masa) bersama keluarga. Jangan putuskan hubungan dengan mereka yang sesat jalan, nescaya mereka akan kembali ke pangkuan keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Encik Masagos menggesa lebih ramai sukarelawan supaya tampil untuk menyumbang tenaga kepada M Kuasa Tiga (M³) di Tampines.

“Kita perlu mengumpul mereka yang berkelapangan. Apabila ada hubungan yang dipercayai, maklumat tentang keperluan masyarakat dan sebagainya dapat dipenuhi dengan lebih baik,” kata beliau.

Beliau menambah bahawa usaha seperti sesi sembang itu adalah penting untuk merapatkan sukarelawan, pemimpin akar umbi dan masyarakat dalam kejiranan. 

“Saya dapat menyampaikan sebab-sebab kita lakukan usaha untuk meramaikan lagi mereka yang kelapangan, supaya mereka dapat berhubung dengan rapat dengan jiran-jiran seblok dengan mereka,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg