Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Program kaunseling Mahkamah Syariah penting, bantu pasangan kekal bersama

Feb 20, 2025 | 8:15 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah), yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga menghadiri acara ‘Masyarakat Pengamal’, anjuran Mahkamah Syariah (SYC) yang diadakan di Hotel Grand Hyatt Singapore pada 20 Februari. Bersamanya ialah (dari kiri) Timbalan Pengarah Kanan (Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan SYC), Encik Imran Mohamed;  Kaunselor Kanan Apkim Resources, Cik Murni Abbas dan Presiden Kanan SYC, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah), yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga menghadiri acara ‘Masyarakat Pengamal’, anjuran Mahkamah Syariah (SYC) yang diadakan di Hotel Grand Hyatt Singapore pada 20 Februari. Bersamanya ialah (dari kiri) Timbalan Pengarah Kanan (Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan SYC), Encik Imran Mohamed; Kaunselor Kanan Apkim Resources, Cik Murni Abbas dan Presiden Kanan SYC, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy. - Foto SYC

Hampir 40 peratus daripada 15,300 pasangan Islam yang mempertimbangkan perceraian antara 2019 hingga 2023, memilih untuk kekal bersama setelah mengikuti Program Kaunseling Perkahwinan (MCP) yang diwajibkan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada 20 Februari.

Bercakap pada acara Amalan Masyarakat anjuran Mahkamah Syariah, di Hotel Grand Hyatt Singapore, Encik Masagos menekankan peranan penting MCP dalam menyokong dan menyelamatkan perkahwinan dengan menawarkan khidmat kaunseling secara percuma kepada pasangan Islam yang mempertimbangkan perceraian.

MCP dirasmikan pada 2004, dengan lebih 58,000 pasangan mengikutinya antara 2004 hingga 2024.

Pada 2018, pasangan Islam yang mempertimbangkan perceraian diwajbikan menghadiri program kaunseling itu.

Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata:

“MCP adalah penting dalam usaha Mahkamah Syariah menyelamatkan perkahwinan, menyelesaikan perceraian secara baik dan mencapai hasil yang menggalakkan.

“Jika keutuhan keluarga terus dikekalkan, ia akan membantu melindungi kanak-kanak daripada kesan jangka panjang yang boleh mengganggu kestabilan mereka akibat perceraian.”

Dalam tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023, hampir 40 peratus pasangan yang melalui MCP memilih untuk tidak meneruskan dengan permohonan perceraian, kongsi beliau kepada lebih 100 karyawan pemerintah, pengamal dan rakan kongsi masyarakat yang hadir pada acara tersebut.

Tambahan, terdapat “trend positif dalam kadar perceraian keseluruhan perkahwinan masyarakat Islam”, dengan kadar perceraian yang semakin merosot dalam beberapa tahun sebelum ini. 

Dalam laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian 2023, Jabatan Perangkaan Singapura (DOS) melaporkan bahawa 1,200 pasangan Islam bercerai pada 2023. 

Jumlah tersebut terendah berbanding 1,767 perkahwinan yang terlerai pada 2021 dan 1,505 perkahwinan pada 2022.

Menyifatkan perangkaan tersebut sebagai satu perkembangan besar, Encik Masagos menekankan MCP telah membuat sumbangan besar dalam menyelamatkan perkahwinan, dan ia akan terus berbuat demikian walaupun cabaran keluarga menjadi semakin rumit.

Menurut Timbalan Pengarah Kanan (Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam dan Mahkamah Syariah), Encik Imran Mohamed, antara cabaran keluarga yang menjadi semakin rumit termasuk semakin ramai anggota keluarga yang bekerja, pengaruh media sosial, pendigitalan serta kesukaran meraih keseimbangan dalam kehidupan berkeluarga.

Menurut satu kajian Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Mahkamah Syariah dari Februari hingga Oktober 2024, lebih 80 peratus daripada 315 pasangan yang mengikuti MCP berpendapat sesi kaunseling MCP mendatangkan faedah.

Lebih 60 peratus pula meraih pemahaman lebih jelas tentang isu dalam perkahwinan mereka serta memperoleh pengetahuan mengenai sumber sokongan yang tersedia. 

“Kaunseling adalah sebahagian usaha Mahkamah Syariah yang lebih luas dalam menyediakan keadilan terapeutik kepada keluarga yang menjalani perceraian, merangkumi prinsip ihsan Islam,” ujar Encik Masagos lagi.

Menurutnya, keluarga kukuh menjadi asas kepada makna sebenar masyarakat berjaya, mampu berkembang maju, menyumbang kepada masyarakat majmuk dan terus menjadi inspirasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg