Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos rakam penghargaan kepada ulama Mesir

Lawatan ke Timur Tengah pupuk hubungan bagi bangunkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS)
Jan 10, 2025 | 5:20 PM
(Dari kiri) Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Mohammed Al-Tayyeb. Dr Ahmed berkongsi bagaimana beliau menantikan Al-Azhar dan Dar al Ifta untuk meneruskan komunikasi dengan Singapura mengenai penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
(Dari kiri) Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Mohammed Al-Tayyeb. Dr Ahmed berkongsi bagaimana beliau menantikan Al-Azhar dan Dar al Ifta untuk meneruskan komunikasi dengan Singapura mengenai penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS). - Foto MDDI

Apabila ditubuhkan, Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan memupuk bakal guru agama Islam dan cendekiawan yang dilengkapi dengan pengetahuan kontekstual untuk membimbing masyarakat Islam Singapura dengan berkesan.

SCIS juga akan menjadi wadah untuk membangun dan berkongsi ilmu, berasaskan prinsip dan tradisi Islam, membolehkan umat Islam bertindak balas, berkembang dan menyumbang secara aktif kepada masyarakat Singapura yang pelbagai dan dunia moden.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang kini dalam lawatan rasmi tujuh hari ke Mesir dan Arab Saudi, mengucapkan terima kasih kepada alim ulama Mesir terkemuka dan institusi Islam luar negara, termasuk Al-Azhar dan Dar al Ifta, atas sokongan mereka kepada SCIS.

“Saya gembira dapat bertemu semula dengan rakan sejawat dan memupuk hubungan baru dengan para pegawai Mesir.

“Kami mengadakan siri perbincangan mengenai Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dan pembangunan pendidikan agama,” kata beliau melalui Facebooknya pada 10 Januari.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Ayyad dari Dar al Ifta, dan Profesor Dr Salama Dawood, Presiden Universiti Al-Azhar, kerana menerima jemputan kami untuk menyertai Panel Penasihat SCIS,” tambah beliau.

Panel Penasihat SCIS itu antara lain akan memainkan peranan penting dalam memberi nasihat mengenai pembangunan kurikulum, menangani trend sejagat yang muncul dan memberi kesan kepada isu agama kontemporari, serta mengenal pasti bidang strategik untuk penyelidikan dan pendidikan di Singapura.

Encik Masagos turut berkongsi bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menerbitkan buku yang menukil langkah pertama dalam perjalanan membina asas bagi SCIS, yang berjudul, SCIS: Building The Foundations.

Buku SCIS itu merangkumi pemikiran, perancangan, dan pencapaian sepanjang perjalanan penubuhan SCIS.

Tujuannya adalah memberi inspirasi kepada pihak berkepentingan dalam merealisasikan projek itu dan juga menggambarkan asas dan hala tuju SCIS dalam menyediakan pendidikan Islam di Singapura.

Semasa di Mesir, Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, juga akan bertemu tokoh-tokoh utama untuk mengukuhkan hubungan dua hala Singapura dengan Mesir.

Beliau akan bertemu Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad; Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Mohamed Ahmed Al-Tayyeb; mantan Mufti Besar Mesir, Dr Shawki Allam dan Dr Ali Gomaa; Menteri Wakaf Agama, Dr Osama Al-Azhary; dan Menteri Perpaduan Sosial, Dr Maya Mohamed Abdel-Moneim Morsy. 

Selain mesyuarat rasmi, Encik Masagos akan berjumpa dengan pelajar Singapura yang sedang melanjutkan pengajian di Kahirah.

Ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara golongan pendidikan Singapura dengan Mesir.

Encik Masagos turut meluahkan rasa bangganya terhadap hubungan erat yang terjalin antara Singapura dengan Mesir dalam bidang pendidikan agama.

“Mesir telah lama menjadi pilihan bagi pelajar Singapura yang melanjutkan pengajian tinggi Islam di luar negara,” kongsi beliau.

Lawatan Encik Masagos akan diteruskan ke Saudi, dan beliau dijadual menghadiri pameran dan persidangan Haji dan Umrah tahunan anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Persidangan itu bakal menjadi wadah penting bagi membincangkan logistik dan perkhidmatan berkaitan dengan ibadah haji yang melibarkan jutaan umat Islam dari seluruh dunia.

Lawatan rasmi itu dijadual berakhir pada 15 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg