Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wakaf Masyarakat Singapura bantu Kolej Pengajian Islam Singapura serta penuhi keperluan ramai

Jan 7, 2025 | 3:03 PM
Antara tujuan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) adalah untuk menyokong institusi agama, pembangunan asatizah dan program-program masyarakat yang ditujukan untuk menyokong masyarakat Islam Singapura.
Antara tujuan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) adalah untuk menyokong institusi agama, pembangunan asatizah dan program-program masyarakat yang ditujukan untuk menyokong masyarakat Islam Singapura. - Foto ISTOCKPHOTO

Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) akan membantu memastikan kemampanan jangka panjang Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), selain menyokong institusi agama, pembangunan asatizah dan program-program masyarakat yang ditujukan untuk menyokong masyarakat Islam Singapura.

SCIS, yang bakal dibuka pada tahun 2028, akan menjalankan program sarjana muda dengan dua laluan dalam pengajian Islam atau sains kemasyarakatan. Antara tujuan utama kolej ini ialah membangunkan golongan asatizah dengan pengetahuan dan kemahiran memberi bimbingan agama mengikut konteks masyarakat Islam yang hidup dalam suasana majmuk di Singapura.

Kolej tersebut menjadi alternatif bagi pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran agama peringkat pengajian tinggi tanpa perlu ke luar negara seperti Malaysia, Jordan atau Mesir. Sekitar 60 pelajar disasar menjadi kohort pertama SCIS apabila ia mula beroperasi kelak.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ketika mengumumkan tentang program yang bakal ditawarkan SCIS pada 10 November lalu, berkata SCIS akan bekerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa yang mapan untuk menyampaikan programnya.

Ia termasuk Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi pengajian sains kemasyarakatan, dan institusi Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan, dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi bagi pengajian Islam.

Mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, telah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengelola (BOG) SCIS. Manakala Encik Masagos akan mempengerusikan Panel Penasihat SCIS, dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir pula dipilih pengerusi Jawatankuasa Pemandunya.

Dalam pada itu, selain dari memapankan dan melestarikan SCIS, WMS akan menyokong tiga benefisiari iaitu Institusi Agama, Pembangunan Asatizah dan Program-program Komuniti.

Di bawah institusi agama, pajakan tanah untuk bangunan masjid dan madrasah perlu dijelaskan pada tahun-tahun akan datang dan sumbangan yang besar perlu disalurkan sebagai dana tambahan kepada pembiayaan sedia ada untuk memelihara institusi kita.

Bagi memacukan kedudukan para asatizah kita pula, sektor ini memerlukan pelaburan tambahan dalam pembangunan asatizah, termasuk SCIS, lantas WMS akan menyokong usaha ini.

Di bawah program-program komuniti pula, WMS akan bantu membina dana rizab yang sedia untuk digunakan oleh masyarakat semasa krisis.

Bagi memastikan WMS dapat dibangunkan dengan lebih kukuh dan relevan, pihak Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) kerap meneliti amalan terbaik sektor wakaf di peringkat antarabangsa dan mempelajarinya.

Misalnya, satu pasukan Muis telah menghadiri Persidangan Wakaf Global 2023 di Istanbul , Turkis, dan mempelajari pelbagai amalan dan cara pentadbiran wakaf dari negara-negara di seluruh dunia, termasuk Turki, Afrika Selatan dan Malaysia.

“Pertukaran ini memberikan pengalaman bernas kepada Singapura untuk mempertimbangkan dan mempelajari perkara serta inisiatif baharu dalam sektor wakaf, termasuk penggunaan teknologi kewangan (fintech) dan kaedah penyelesaian kreatif lain, terutamanya bagi umat Islam yang hidup dalam masyarakat majmuk,” kata Timbalan Pengarah, Dana Komuniti, Muis, Encik Shamsul Hadi Jangarodin.

Tambahnya lagi: “Pengalaman sebegini membolehkan Muis menyusun WMS dengan lebih baik bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat serta memahami cabaran-cabaran utama yang dapat ditangani dengan lebih baik dan cekap.”

WMS dilancarkan secara rasmi pada 3 Ogos 2024. Orang ramai boleh melungsuri www.wakaf.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut atau membuat sumbangan. Penyumbang boleh memilih sumbangan sekali sahaja, bulanan, atau tahunan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg