Berikut merupakan kenyataan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad susulan pelantikan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
“Profesor Madya Faishal akan dilantik sebagai Pemangku Menteri yang Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam Singapura, dan akan memimpin institusi-institusi utama masyarakat kita – Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) – mulai 23 Mei 2025.
Saya merasa amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berkhidmat kepada masyarakat Melayu/Islam sepanjang tujuh tahun yang lalu. Ia penghormatan besar dan satu perjalanan yang penuh makna. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah bersama-sama membina visi Masyarakat Gemilang – satu visi yang kita jayakan dengan iltizam dan kasih sayang terhadap masyarakat kita.
Seperti lazimnya, saya tidak akan melibatkan diri di masyarakat Melayu/Islam di peringkat nasional. Ini supaya memberi ruang sepenuhnya kepada Dr Faishal untuk menerajui amanah ini dengan keyakinan dan tanpa sebarang kekangan. Saya mohon semua agar memberi sokongan padu kepada beliau – seperti mana anda telah berikan kepada saya.
Jika ada kekurangan atau kelemahan sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya memohon maaf dengan setulus hati. Saya mendoakan agar segala urusan Dr Faishal dipermudahkan dan beliau terus berjaya memacu masyarakat kita ke tahap yang lebih cemerlang.
Saya akhiri dengan menitip suntingan foto perjalanan kita bersama dengan iringan sebuah lagu – Gemilang! – yang berasal daripada puisi yang saya tulis sendiri. Lagu ini menggambarkan impian dan harapan saya untuk masa depan masyarakat kita. Ia juga merupakan hasil ciptaan pertama saya menggunakan AI – satu bayangan masa depan mencipta kejayaan masyarakat yang lebih hebat.
Teruslah berdoa agar masyarakat kita terus melakar kegemilangan!”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg