Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelihara keamanan, jaga bumi satu pengorbanan

Jun 18, 2024 | 5:30 AM
khutbah
Peristiwa Nabi Ibrahim as menjelaskan kepada umat Islam dan dunia tentang erti pengorbanan. - Foto EPA-EFE

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Di pagi yang penuh keberkatan ini, marilah kita menambahkan rasa kesyukuran dan mengukuhkan ketakwaan kita kepada Allah swt.

Alhamdulillah, kita berada dalam hari-hari suci lagi mulia. 

Hari-hari yang mengingatkan kita erti pengorbanan, ketakwaan dan keihsanan. 

Semoga Allah swt menerima segala usaha dan ibadah kita semua pada bulan Zulhijah yang mulia ini.

Amin.

Pupuk nilai kemanusiaan

Marilah kita semua memberi dengan ihsan.

Menerima dengan kesyukuran.

Ingatlah, pengorbanan sebenar adalah dengan mengorbankan sikap kerakusan kita. 

Kesediaan untuk mendahulukan kepentingan lain yang lebih besar atas kepentingan peribadi kita. 

Ini semua kita lakukan dengan penuh ihsan, dengan penuh murah hati dan keindahan, dan dengan penuh rahmah. 

Memelihara keamanan dunia dan kesejahteraan alam sekitar adalah antara peranan penting kita sebagai manusia, khususnya umat Islam, sebagai pengamanah atau khalifah di bumi ini. 

Ini adalah antara inti keimanan kita kepada Allah yang mencipta kita dan alam ini.

Hari ini mengingatkan kita erti sebenar pengorbanan, demi keamanan dan kesejahteraan sejagat. 

Ini semua dilakukan dengan penuh ihsan dan rahmah.

Korbankan sifat pentingkan diri

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim as menjelaskan kepada umat Islam dan dunia bahawa tiada sesuatu yang terlalu mahal untuk dikorbankan saat seruan Allah datang, dan demi kebaikan yang lebih besar.

Darah yang terlihat mengalir ketika binatang korban disembelih adalah gambaran yang cukup mendalam maknanya. 

Yang harus dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan yang selalu menghantui jiwa manusia. 

Sifat rakus, tamak, mementingkan diri sendiri dan mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan yang hanya menjadi penyebab kemusnahan terhadap kehidupan dan alam sekitar. 

Ibadah korban yang dilakukan saban tahun bertujuan mengukuhkan hati yang bertakwa dan ihsan. Perhatikan firman Allah:

Yang bermaksud: “Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaanmu. Demikianlah Dia menundukkannya untukmu agar kamu mengagungkan Allah atas petunjuk yang Dia berikan kepadamu, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik atau ihsan (kalangan muhsinin).” (Surah al-Haj, ayat 37). 

Sesungguhnya Allah yang mencipta segalanya.

Dan Dia juga yang mewajibkan keihsanan pada segala sesuatu sehinggakan dalam urusan penyembelihan. 

Rasulullah saw bersabda dalam sepotong hadis sahih:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Azzawajalla telah mewajibkan keihsanan (kebaikan) atas setiap sesuatu. Jika kamu membunuh (ketika peperangan), berlaku ihsan dalam cara pembunuhanmu. Dan jika kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan ihsan – penyembelih hendaklah menajamkan pisaunya dan menenangkan sembelihannya.” (Hadis riwayat Ibn Majah, Ahmad, Abu Daud, dan al-Nasa’i).

Tanam keihsanan terhadap alam

Subhanallah! Begitulah Allah telah tetapkan keihsanan pada setiap sesuatu.

Dan pesan Rasulullah agar kita bersifat ihsan pada setiap sesuatu: binatang, tumbuh-tumbuhan, manusia, alam sekitar, dan pada setiap ciptaan Allah. 

Kita bersifat ihsan dalam setiap tindakan kita.

Hatta dalam situasi yang mungkin tidak tergambar keihsanan boleh berlaku!

Seperti yang dijelaskan pada ayat yang dibacakan tadi, yang sampai kepada Allah bukanlah daging dan darah binatang korban.

Yang sampai kepada Allah ialah ketakwaan dan keihsanan.

Hayatilah semangat pengorbanan ini.

Ketika kerakusan manusia telah menyebabkan kebinasaan terhadap kehidupan dan alam sekitar ini, kita bertanggungjawab mengorbankan kerakusan ini.

Berasa takwa kepada Allah dalam hal alam sekitar dan berlaku ihsan terhadap alam sekitar bermakna memelihara alam sekitar ini demi kemaslahatan kita dan generasi masa hadapan.

Suhu kian panas, banyak sisa makanan

Sebagai Muslim yang bertakwa dan berihsan, tidakkah kita rasa terkejut dengan dapatan kajian?

Bahawa sepanjang hampir 200 tahun lalu, suhu terpanas yang pernah tercatat adalah pada 10 tahun terakhir ini? 

Dan 2023 merakam suhu paling panas yang pernah dicatat sejarah.

Di peringkat peribadi, tanpa kita sedar, kita mungkin menyumbang kepada masalah ini. 

Di Singapura sahaja, pihak Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melaporkan sebanyak 813,000 tan sisa makanan terbuang pada 2022. 

Dan jumlah ini meningkat semenjak lima tahun dahulu.

Bayangkan 10 buah kapal pelesiran dengan keberatan dan saiznya. 

Demikianlah beratnya makanan terbuang hanya dalam setahun. 

Hal ini meninggalkan kesan negatif dan pencemaran terhadap alam sekitar. 

Walaupun usaha kitaran semula giat dilakukan, hanya 18 peratus sahaja daripada sisa makanan yang dikitar semula.

Kaitan perubahan iklim dengan agama

Mungkin ada di antara kita bertanggapan bahawa isu perubahan iklim dan pemanasan sejagat tiada kaitannya dengan agama. 

Jika ada pun, hanya dianggap sebagai tanda-tanda akhir zaman.

Semua ini adalah ketentuan Allah.

Manusia tidak mampu menghalangnya daripada berlaku. 

Benar! Fenomena ini adalah ketentuan Allah swt. Namun, kita sebagai seorang Mukmin berperanan berada di barisan hadapan menangani cabaran ini. 

Ada seorang Badwi mendatangi Rasulullah saw seraya bertanya: “Bilakah kiamat itu akan berlaku?” 

Rasulullah saw pun menjawab: “Apa yang telah kau persiapkan (untuk menghadapinya)?” 

Beliau menjawab: “Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Lihatlah jemaah sekalian, Nabi Muhammad bertanya apakah persiapan Badwi itu?

Sedarlah, menerima hakikat dan membuat persiapan adalah dua perkara yang berbeza. 

Kita wajib membuat persiapan sebelum sesuatu musibah tiba.

Bukan sekadar mengatakan “aku insaf” dan berpeluk tubuh. 

Lebih buruk lagi sekiranya kita turut menyumbang kepada kerosakan alam.

Ini bukan ciri-ciri khalifah Allah di muka bumi.

Korban demi cucu-cicit

Mengorbankan sikap tamak dan mementingkan diri sendiri dalam menikmati kurniaan Allah yang tanpa had, akan dapat memelihara kehidupan dan kesejahteraan alam sekitar.

Lantas, kita akan mewariskan alam sekitar yang lebih baik untuk cucu dan cicit kita; untuk generasi akan datang. 

Inilah pengorbanan sebenar.

Inilah takwa dan ihsan.

Alam ini bukan milik kita.

Ia adalah amanah Allah Sang Pencipta kepada kita. 

Nilai keihsanan sepatutnya mendorong kita sebagai Muslim untuk bertindak mulai sekarang, bukan hanya mula bertindak apabila keburukan sudah berlaku, seperti yang kita saksikan sekarang ini! 

Banyak negara telah terjejas.

Sebahagian negara seperti Mesir telah mencatat suhu melebihi 50 darjah Celsius. 

Sebahagian negara pula melaporkan kes strok haba sehingga menyebabkan kematian. 

Bayangkan sekiranya suhu kepanasan semakin meningkat ke tahap ekstrem, adakah kita masih mempunyai daya berjalan ke masjid untuk menunaikan ibadah solat Jumaat setiap minggu? 

Bagaimana pula dengan jemaah haji yang akan terdedah kepada cuaca yang terlalu panas ketika berwukuf dan menjalankan ibadah-ibadah lain? 

Saya benar-benar berharap kita semua dapat melihat isu ini menerusi lensa agama, bukan sekadar daripada perspektif kesihatan dan ekonomi.

Sebagai khalifah, jagalah bumi

Sebagai umat Islam yang mengaku dirinya khalifah di muka bumi ini, kita perlu memelihara alam sekitar ini. 

Kita seharusnya berada di barisan hadapan dalam menyumbang kepada penyelesaian terhadap cabaran kewujudan ini.

Antara yang boleh dilakukan ialah:

Pertama, di peringkat peribadi, ayuh kita bangkitkan kesedaran dan kefahaman dalam usaha memelihara alam sekitar. 

Belajar dan fahamkan masalah pencemaran alam dan perubahan iklim.

Fahamkan kesan amalan harian kita, dan bagaimana kita boleh memberi sumbangan. 

Bersikap ihsanlah dalam setiap sesuatu. Jangan tamak. Jangan membazir. 

Hayati amalan kitar semula seberapa yang boleh kita lakukan.

Sedikit sumbangan kita akan menyumbang kepada natijah keseluruhannya.

Jangan perkecilkan sedikit kebaikan yang kita lakukan. 

Rasulullah saw berpesan kepada Abu Dharr seorang sahabat yang bermaksud: “Janganlah engkau menganggap remeh sedikit pun kebaikan (makruf), walaupun hanya sekadar dengan wajah yang ceria saat bertemu saudaramu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Kedua, galakkan kajian dan usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Umat Islam lebih utama untuk mendahului usaha-usaha kreatif dan kajian-kajian sebegini.

Ketiga, kepimpinan masyarakat dan agama perlu bersatu dalam mendorong dan mendidik masyarakat ke arah ini. 

Usaha memelihara alam sekitar ini adalah satu ibadah.

Ia adalah usaha memelihara salah satu tujuan dan prinsip syariah. 

Kita bersama mendidik jiwa untuk bertakwa dan menghayati ihsan.

Ihsan kepada setiap sesuatu. 

Ingatlah, Allah telah menyatakan berulang kali dalam Al-Quran bahawa: “Sesungguhnya Allah mencintai muhsinin, yakni orang-orang yang bersifat ihsan atau yang berbuat baik.” 

Dan tidak kurang daripada lapan kali Allah ulang tegaskan yang bermaksud, “Dan demikianlah Kami (Allah) memberi balasan kepada muhsinin, yakni orang-orang yang ihsan dan berbuat baik”, dan berbagai lagi ayat yang menekankan ganjaran muhsinin.

Perkuat azam buang sifat tamak

Marilah kita tekadkan azam untuk bersifat ihsan dalam setiap sesuatu.

Azam untuk mengorbankan sifat-sifat terkeji seperti rakus, tamak, dan mementingkan hanya diri sendiri.

Inilah pengorbanan sebenar. 

Kita sedar bahawa memelihara kesejahteraan dunia dan alam sekitar adalah satu ibadah, dan antara peranan penting kita selaku pengamanah atau khalifah Allah di bumi ini.

Semoga Allah menerima ibadah korban kita, memurnikan jiwa raga kita agar lebih dekat kepada-Nya dan menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang muhsinin dan yang bertakwa; serta dianugerahkan kepada kita cinta kepada-Nya, cinta kepada nabi-nabi-Nya dan cinta kepada amalan-amalan soleh yang mendekatkan diri kita kepada-Nya. 

Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Sebagai umat Islam yang mengaku dirinya khalifah di muka bumi ini, kita perlu memelihara alam sekitar ini.  Kita seharusnya berada di barisan hadapan dalam menyumbang kepada penyelesaian terhadap cabaran kewujudan ini... Usaha memelihara alam sekitar ini adalah satu ibadah. Ia adalah usaha memelihara salah satu tujuan dan prinsip syariah...  Azam untuk mengorbankan sifat-sifat terkeji seperti rakus, tamak, dan mementingkan hanya diri sendiri. Inilah pengorbanan sebenar.
Petikan khutbah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg