Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah banyak membantu dalam usaha mengumpul dana kemanusiaan buat Gaza.
Pada 18 September, RLAF mengumumkan kerjasamanya dengan Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO), serta badan kemanusiaan silang agama tempatan, Humanity Matters (HM), untuk melancarkan satu daya utama pengumpulan dana yang akan berlangsung hingga 13 Disember.
Ia bertujuan menghantar bekalan kesihatan, kemanusiaan, perubatan dan pembelajaran kepada mangsa yang terjejas oleh krisis di Gaza.
Sebelum ini, pada 4 September, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, telah menyerahkan cek bernilai AS$854,000 ($1.1 juta) kepada Timbalan Pengarah Wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara Unicef, Encik Marc Rubin.
Rayuan pengumpulan dana pertama dijalankan oleh RLAF pada lewat Oktober 2023, yang termasuk penglibatan semua masjid tempatan yang menyediakan tabung khusus Humanitarian Relief for Gaza, serta dalam talian.
Permulaan rayuan pengumpulan dana tersebut sangat menggalakkan, dengan $100,000 dikumpulkan dalam masa 30 minit pertama.
RLAF turut menyampaikan bantuan kemanusiaan keempat dalam sembilan bulan untuk Gaza, menurut laporan Berita Harian pada Julai 2024.
Derma sebanyak lebih $17 juta sehingga Julai telah disumbang oleh Singapura, termasuk $8.1 juta yang dikumpul untuk Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), serta lebih $2 juta untuk Unicef.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg