Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masih terkesan, masih mahu terus sumbang sokongan, beri pandangan membina

Pemerhati: Masyarakat Melayu/Islam hargai usaha bantu warga Palestin dari S’pura, damba usaha sokongan diteruskan
Oct 5, 2024 | 5:30 AM
Masyarakat Melayu/Islam di Singapura masih terkesan dengan kehidupan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat sejak perang Israel-Hamas yang terkini meletus pada 7 Oktober 2023.
Masyarakat Melayu/Islam di Singapura masih terkesan dengan kehidupan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat sejak perang Israel-Hamas yang terkini meletus pada 7 Oktober 2023. - Foto ST

Jelang setahun selepas konflik terkini Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober 2023, masyarakat Melayu/Islam di Singapura masih terkesan melihat kehidupan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, kata pemerhati.

Konflik yang bermula sejak beberapa dekad lalu antara Israel dan Palestin kelihatan tidak semakin reda, malah bertambah lebih rumit memandangkan perang di Gaza dan Tebing Barat kini telah merebak ke negara-negara lain di rantau Timur Tengah, ujar mereka, memberi respons kepada Berita Harian (BH).

Pemerhati yang bercakap dengan Berita Harian (BH) berkata masyarakat Melayu/Islam terus bersimpati dengan nasib warga Palestin, tatkala ketegangan kian meruncing di Timur Tengah, seperti di Lebanon, Syria, Yaman dan Iran.

“Keadaan semakin teruk dan seiring dengannya, sentimen terhadap penderitaan orang awam terus kuat di Singapura, sebagaimana di banyak negara lain,” kata penganalisis kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies, Dr Mustafa Izzuddin.

“Keadaan juga menjadi lebih buruk kerana konflik Israel-Palestin secara beransur-ansur meningkat menjadi konflik yang lebih luas di Timur Tengah yang melibatkan Hezbollah di Lebanon, Houthi di Yaman dan juga Iran.”

Seorang penduduk berjalan di hadapan sebuah bangunan yang masih terbakar selepas ia diratakan dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kejiranan Moawwad di pinggir selatan Beirut pada 3 Oktober.
Seorang penduduk berjalan di hadapan sebuah bangunan yang masih terbakar selepas ia diratakan dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kejiranan Moawwad di pinggir selatan Beirut pada 3 Oktober. - Foto AFP

Relawan masyarakat dan peguam, Encik Firdaus Daud, berkata anggota masyarakat Melayu/Islam yang ditemuinya berkata mereka menghargai kedudukan agak seimbang yang diambil oleh pemerintah.

“Masyarakat Melayu/Islam mengharapkan sebarang gambaran mengenai keadaan di Palestin adalah adil dan saksama. Beberapa naratif daripada pemimpin asing telah merendahkan martabat umat Islam secara amnya,” kata beliau, yang juga merupakan anggota lembaga pentadbir Masjid Al-Amin dan relawan bersama Mendaki.

Beliau merujuk kepada kejadian melibatkan hantaran media sosial Kedutaan Israel pada Mac lalu, yang mendakwa Israel disebut 43 kali dalam al-Quran sementara Palestin tidak disebut sekali pun.

Ia juga menyatakan terdapat bukti arkeologi orang Yahudi adalah penduduk asli di tanah itu.

Hantaran itu telah diturunkan selepas ia dikecam Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.

Namun, Encik Firdaus akur terdapat perasaan lelah dan tidak berdaya dalam kalangan rakyat yang fikir Singapura tidak mampu berbuat lebih banyak lagi daripada sekadar menyumbang kepada bantuan kemanusiaan.

Zamil Kanan yang juga Penyelaras Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata beliau melihat terdapat dua sentimen berbeza dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di Singapura berkenaan konflik tersebut.

“Satu bahagian menunjukkan mereka bersifat pasrah kerana mereka rasa tidak ada banyak perubahan yang berlaku, malah konflik di Timur Tengah ini semakin merebak dengan serangan terhadap Lebanon baru-baru ini,” ujar Dr Norshahril.

“Di peringkat antarabangsa, tiada banyak perubahan yang berlaku dengan kuasa-kuasa besar yang tidak bertindak dengan lebih bersepadu dan negara-negara di rantau Timur Tengah juga tidak begitu aktif untuk meleraikan konflik ini.

“Golongan kedua menunjukkan kemarahan dan ketidakpuasan hati mereka menerusi hantaran media sosial dan sebagainya sebagai saluran bagi mereka untuk meluahkan perasaan tidak puas hati.”

Dr Mustafa berkata rakyat Singapura tidak seharusnya berkecil hati.

Sebaliknya, mereka harus terus cekal dan menyokong usaha kemanusiaan antarabangsa dan bersuara menentang kekejaman di mana sahaja ia berlaku.

“Kita tidak seharusnya berhenti dalam hasrat kita untuk mengurangkan krisis kemanusiaan rakyat Palestin di Gaza. Malah kita harus meningkatkan usaha untuk memberikan bantuan kemanusiaan dengan bekerjasama dengan badan-badan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) atau organisasi yang boleh dipercayai seperti Palang Merah Antarabangsa.

“Singapura mesti terus menggunakan saluran dan platform diplomatiknya untuk bersuara menentang kekejaman dan menyeru gencatan senjata segera supaya orang awam yang terperangkap dalam konflik ini dapat dilindungi dan penderitaan mereka dapat diringankan,” kata Dr Mustafa.

Hargai usaha Singapura bantu warga Palestin

Sejak 1967, Singapura telah menyatakan perlunya penyelesaian dua negara dan turut mengundi bagi menyokong setiap ketetapan di Perhimpunan Agung PBB, yang menyeru Israel membatalkan semua langkah sepihak yang bertujuan menukar kedudukan Baitulmakdis.

Ini termasuk menyuarakan pendirian berprinsip untuk menggesa Israel melindungi orang awam, mematuhi undang-undang dan menggesa gencatan senjata daripada semua pihak demi mencapai pendamaian.

Selain itu, Singapura juga telah mengorak langkah menghulur bantuan kemanusiaan.

Ini termasuk memudahkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terjejas dan komitmen untuk menyokong Pihak Berkuasa Palestin (PA) melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap).

Semasa berucap di Parlimen pada 2 Julai, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata Singapura secara dasarnya bersedia untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan akan mengambil langkah untuk mengiktirafnya pada masa yang sesuai

Singapura juga akan meneruskan penglibatannya dengan PA dan melaksanakan Etap bernilai $10 juta untuk membantu PA membina kapasiti dan bersedia apabila ia menjadi sebuah negara.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berucap di sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 28 September di mana beliau berkata Singapura amat prihatin dengan krisis kemanusiaan yang semakin merosot di Gaza dan skala penderitaan manusia, dan menggesa gencatan senjata segera.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berucap di sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 28 September di mana beliau berkata Singapura amat prihatin dengan krisis kemanusiaan yang semakin merosot di Gaza dan skala penderitaan manusia, dan menggesa gencatan senjata segera. - Foto REUTERS

Sehingga kini, Singapura telah menghantar empat bantuan kemanusiaan dan menyumbang lebih daripada $17 juta yang dikumpul oleh pelbagai agensi kemanusiaan dan bukan pemerintah tempatan bagi membantu warga Palestin di Gaza.

Ini termasuk menggugurkan pakej bantuan dari pesawat Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) ke Gaza – negara pertama dari Asia Tenggara untuk berbuat demikian.

Selain itu, kumpulan-kumpulan seperti Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Humanity Matters dan Love Aid Singapore juga giat mengumpul dana awam untuk menghulur bantuan.

Sehingga kini, Singapura telah menghantar empat bantuan kemanusiaan dan menyumbang lebih daripada $17 juta yang dikumpul oleh pelbagai agensi kemanusiaan dan bukan pemerintah tempatan bagi membantu warga Palestin di Gaza. 
Sehingga kini, Singapura telah menghantar empat bantuan kemanusiaan dan menyumbang lebih daripada $17 juta yang dikumpul oleh pelbagai agensi kemanusiaan dan bukan pemerintah tempatan bagi membantu warga Palestin di Gaza.  - Foto ZAOBAO

Damba lebih banyak ruang selamat untuk kongsi pendapat

Sementara itu, Dr Norshahril melahirkan harapan agar lebih banyak ruang untuk berdialog dengan masyarakat diterajui kepimpinan masyarakat Melayu, dengan konflik kian meruncing di Timur Tengah pada masa ini.

Ini termasuk kededua dialog tertutup dan yang diadakan secara terbuka.

“Saya fikir kita perlu memberi ruang kepada pakar geopolitik, pakar-pakar sains masyarakat untuk lebih ke hadapan untuk membincangkan isu ini dengan lebih terbuka,” kata Dr Norshahril.

“Kita tidak mahu isu ini menjadi lebih besar yang mana unsur-unsur yang kita tidak mahu, yang tidak sesuai, tidak selari dengan masyarakat berbilang kaum di Singapura ini dikemukakan secara berleluasa.

“Pada masa yang sama, jika ada isu-isu yang perlu ditegur tentang reaksi masyarakat, ia perlu dilakukan. Kadangkala elemen-elemen yang mengapi-apikan masalah ini, mungkin bukan dari Singapura, tapi mungkin dari luar,” ujarnya.

Encik Firdaus berkata perasaan lelah amat berleluasa di dalam masyarakat, dan ini menghalang mereka bersuara atau melibatkan diri dalam dialog yang membina.

Beliau menggesa agar lebih banyak ruang bersama diadakan untuk membincangkan perkara yang sensitif.

Meskipun masyarakat Melayu/Islam amat terkesan dengan perang Israel-Hamas sehingga kini, Encik Firdaus berkata mereka tetap menghormati kedaulatan undang-undang dan menerima hakikat bahawa sebarang protes berkenaan isu ini tidak akan dibenarkan di Singapura.

Peguam dan sukarelawan masyarakat Encik Ahmad Firdaus Daud menggesa agar Singapura dapat membuka lebih banyak ruang bersama untuk membincangkan isu agama dengan cara yang membina dan memberikan ruang untuk orang ramai meluahkan perasaan dengan selamat.
Peguam dan sukarelawan masyarakat Encik Ahmad Firdaus Daud menggesa agar Singapura dapat membuka lebih banyak ruang bersama untuk membincangkan isu agama dengan cara yang membina dan memberikan ruang untuk orang ramai meluahkan perasaan dengan selamat. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dalam pada itu, Dr Mustafa menggesa rakyat Singapura untuk terus bertenang dan terus tegas bersuara menentang kekejaman dan menghulur bantuan kemanusiaan.

“Kita terus lakukan apa yang kita berdaya lakukan, dengan menyokong usaha bantuan kemanusiaan untuk membantu mangsa konflik,” katanya.

Para sukarelawan turun padang untuk menyediakan bantuan kemanusiaan buat warga Gaza pada 9 Mac anjuran Humanity Matters.
Para sukarelawan turun padang untuk menyediakan bantuan kemanusiaan buat warga Gaza pada 9 Mac anjuran Humanity Matters. - Foto ST

“Kita tidak seharusnya berhenti dalam hasrat kita untuk mengurangkan krisis kemanusiaan rakyat Palestin di Gaza. Singapura mesti terus menggunakan saluran dan platform diplomatiknya untuk bersuara menentang kekejaman dan menyeru gencatan senjata segera supaya orang awam yang terperangkap dalam konflik ini dapat dilindungi dan penderitaan mereka dapat diringankan.”
Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies.

“Kita tidak mahu isu ini menjadi lebih besar di mana unsur-unsur yang kita tidak mahu, yang tidak sesuai, tidak selari dengan masyarakat berbilang kaum di Singapura ini dikemukakan secara berleluasa.”
Dr Norshahril Saat, Zamil Kanan yang juga Penyelaras Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak.

“Masyarakat Melayu/Islam mengharapkan sebarang gambaran mengenai keadaan di Palestin adalah adil dan saksama.”
Encik Ahmad Firdaus Daud, peguam dan sukarelawan masyarakat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg