Kededua Maghribi dan Singapura boleh belajar antara satu sama lain dan menjadi mercu tanda bagi keamanan dan keharmonian sosial, kata Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Encik Masagos, dalam satu catatan Facebook pada 30 Jun, berkongsi bahawa beliau bertemu dengan Penasihat Kanan kepada Raja Maghribi, Raja Mohammed VI, Encik Andre Azoulay, semasa lawatan ke Maghribi baru-baru ini, di mana kededua pemimpin membincangkan usaha untuk menggalak keamanan dan membina perpaduan sosial dalam masyarakat majmuk yang wujud di Maghribi dan Singapura di tengah-tengah konflik di seluruh dunia.
“Muzium Bayt Dakira, di Essaouira, Maghribi telah ditubuhkan untuk mendidik masyarakat tentang sejarah 3,000 tahun kewujudan Islam-Yahudi secara aman yang berterusan di Maghribi sehingga hari ini,” kongsi Encik Masagos yang pernah dijemput ke sana dua tahun yang lalu oleh Encik Azoulay.
Beliau berada di Maghribi untuk memberi ucapan di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Penjagaan dan Perlindungan Sosial yang diadakan buat julung-julung kalinya atas undangan Menteri Perpaduan, Integrasi Sosial dan Keluarga, Dr Aawatif Hayar.
Persidangan itu menekankan cabaran sejagat dalam usaha menyokong kebajikan sosial dan penjagaan, serta cara penyelesaian unik dan inovatif yang diambil bagi tujuan tersebut.
Encik Masagos turut berkata persamaan yang ketara antara kededua negara adalah peri penting peranan keluarga dalam hidupan harian.
“Mendengar idea-idea baru daripada rakan-rakan sejawat saya dari Timur Tengah dan Afrika Utara menekankan kepentingan diadakan dialog silang budaya dan kerjasama.
“Saya juga berkongsi pandangan mengenai pendekatan holistik Singapura terhadap pembangunan keluarga dan wanita, serta usaha kami dalam memberi sokongan penjagaan dan keluarga,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg