Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Maghribi meterai perjanjian iktiraf sijil halal kedua-dua negara

Jun 27, 2024 | 8:40 PM
Memorandum Persefahaman (MOU) untuk mengiktiraf sijil dan tanda halal antara Singapura dan Maghribi telah ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen (kiri), dan Pengarah Imanor, Encik Abderrahim Taibi (kanan), sambil disaksikan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah),di luar acara Forum Halal Maghribi keenam pada 27 Jun.
Memorandum Persefahaman (MOU) untuk mengiktiraf sijil dan tanda halal antara Singapura dan Maghribi telah ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen (kiri), dan Pengarah Imanor, Encik Abderrahim Taibi (kanan), sambil disaksikan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah),di luar acara Forum Halal Maghribi keenam pada 27 Jun. - Foto MUIS

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Institut Maghribi Bagi Piawaian (Imanor) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) untuk mengiktiraf sijil dan tanda halal antara Singapura dan Maghribi.

Ia ditandatangani pada 27 Jun di Casablanca, Maghribi, oleh Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, dan Pengarah Imanor, Encik Abderrahim Taibi, di luar acara Forum Halal Maghribi keenam di negara itu. 

Pemeteraian MOU itu disaksikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam. 

Dalam kenyataannya, Muis berkata perjanjian itu bertujuan mengukuhkan perdagangan produk halal antara kedua-dua negara.

“MOU yang saling mengiktiraf ini akan memudahkan perdagangan produk yang disahkan halal antara Singapura dan Maghribi,” kata Muis.

Syarikat yang berpangkalan di Singapura kini boleh mengeksport produk yang disahkan halal oleh Muis ke Maghribi.

Begitu juga, produk yang diiktiraf oleh Imanor – badan piawaian kebangsaan yang bertanggungjawab untuk pensijilan halal di Maghribi – akan diiktiraf oleh Muis untuk digunakan di mana-mana tempat makan yang disahkan halal Muis di Singapura.

MOU itu ditetapkan untuk tempoh lima tahun dan akan diperbaharui secara automatik untuk tempoh yang sama melainkan mana-mana pihak memutuskan untuk menamatkan atau menyemaknya semula. 

Ini merupakan perjanjian keempat yang ditandatangani oleh Muis, berikutan perjanjian serupa dengan pihak berkuasa halal Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Oktober 2023, dan Jordan pada Januari 2024.

Pengiktirafan bersama sijil dan tanda halal akan terutamanya melibatkan produk makanan, menurut Muis.

Perjanjian itu juga dijangka meningkatkan industri makanan halal di kedua-dua negara dengan memudahkan proses pensijilan dan memastikan produk memenuhi piawaian halal yang diperlukan.

Ia juga menandakan satu langkah penting dalam meningkatkan hubungan perdagangan antara Singapura dan Maghribi.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 27 Jun, Encik Masagos berkata Muis telah “mencapai kejayaan besar” dalam lawatan ke Maghribi.

Beliau menambah menerusi pemeteraian MOU itu, ia mampu membuka pasaran baru sebagai tambahan kepada perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini dengan Arab Saudi, UAE dan Jordan. 

“Saya berharap sektor perniagaan dari kedua-dua Singapura dan Maghribi dapat saling meraih manfaat daripada perjanjian itu dan meluaskan pasaran mereka bagi produk makanan halal,” kata beliau.

Berkenaan badan pensijilan halal bukan negara atau swasta, Muis berkata badan itu perlu memohon di bawah  Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB) Muis jika mereka ingin produk mereka yang telah diiktiraf halal dieksport dan digunakan oleh perniagaan yang disahkan halal oleh Muis.

Buat masa ini, terdapat 96 badan pensijilan halal swasta di serata dunia yang diiktiraf oleh Muis.

Perbezaan dalam aturan antara pihak berkuasa halal negara dan badan pensijilan halal swasta terletak pada rangka kerja tadbir urus.

Menurut Muis, pihak berkuasa halal negara secara amnya dikawal oleh rangka kerja undang-undang negara masing-masing, manakala badan pensijilan halal swasta beroperasi di negara tanpa sebarang rangka kerja undang-undang yang mengawal pensijilan halal.

“Untuk jaminan yang lebih baik, Muis memastikan badan pensijilan halal swasta mengamalkan piawaian halal yang serupa dengan Muis sebelum mereka boleh diiktiraf untuk pensijilan produk yang akan digunakan oleh perniagaan yang disahkan halal Muis,” tambah Muis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg