Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masalah bekalan air semasa kebakaran di Toa Payoh ganggu operasi pemadaman

Jul 30, 2025 | 10:22 PM
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pada 30 Julai bahawa kerana paip ‘dry rising main’ itu tidak berfungsi, air tidak dapat dipam ke tingkat yang terjejas.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pada 30 Julai bahawa kerana paip ‘dry rising main’ itu tidak berfungsi, air tidak dapat dipam ke tingkat yang terjejas. - Foto ZAOBAO

Saluran paip air ‘dry rising main’ di Blok 229, Toa Payoh Lorong 8 tidak berfungsi dengan baik ketika Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memadamkan kebakaran pada 29 Julai.

SCDF berkata pada 30 Julai bahawa kerana paip itu tidak berfungsi, air tidak dapat dialirkan ke tingkat yang terjejas. Pasukan bomba terpaksa memasang hos terus dari trak bomba di bawah hingga ke tingkat 10 dan 11 melalui tangga.

Kebakaran itu berlaku di sebuah unit di tingkat 10 dan merebak ke unit di tingkat 11. Sebanyak tujuh orang, termasuk seorang anggota bomba dan seorang kanak-kanak, telah dibawa ke hospital, lapor The Straits Times (ST).

Seorang jurucakap SCDF berkata: “Ini lebih mencabar, tetapi ia adalah senario kecemasan yang sering dilatih oleh anggota bomba SCDF.”

‘Dry rising main’ adalah paip merah menegak yang dipasang di dalam bangunan dan biasanya kering apabila tidak digunakan. Semasa kebakaran, ia akan diisi dengan air dari trak bomba, membolehkan air sampai ke tingkat atas bangunan.

SCDF berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan majlis perbandaran untuk menyiasat kejadian ini. Mereka juga sedang berusaha membaiki masalah pada paip tersebut untuk memastikan ia berfungsi dengan baik.

Jurucakap SCDF berkata: “SCDF mengambil pandangan serius terhadap keselamatan kebakaran dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan keselamatan kebakaran, termasuk kegagalan menyelenggara peralatan keselamatan kebakaran seperti paip air.”

Kejadian serupa berlaku pada Ogos 2020, apabila paip air tidak berfungsi ketika anggota bomba mencubanya untuk memadamkan api di tingkat 20, Blok 138C Lorong 1A Toa Payoh.

Pada 30 Julai, penduduk Blok 229 berkata mereka melihat anggota bomba menghadapi kesukaran untuk mendapatkan air dari paip ‘dry rising main’. 

Penduduk juga menyuarakan kebimbangan mengenai laluan keluar kebakaran, kerana bangunan 25 tingkat tersebut hanya ada satu tangga keluar.

Mereka berkata arahan awal mengenai apa yang perlu dilakukan selepas kebakaran tercetus agak mengelirukan. Ada yang berkata apabila mereka menghubungi 995, mereka diberitahu untuk segera menggunakan tangga turun ke tingkat bawah.

Namun, beberapa penduduk yang tinggal di unit di atas tingkat 10 tidak dapat berbuat demikian kerana tangga tunggal tersebut dipenuhi asap. Mereka kemudian diberitahu untuk naik ke tingkat atas.

Beberapa penduduk menghadapi kesukaran kerana kawasan tersebut dipenuhi asap tebal. 

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, menulis di Facebook pada 30 Julai bahawa tempat perlindungan sementara telah disediakan untuk rumah yang terjejas.

Barangan keperluan seperti tilam, barang keperluan harian, dan air mineral turut disediakan melalui rakan masyarakat.

Bekalan untuk kebanyakan unit di blok tersebut telah dipulihkan pada 30 Julai, namun pemulihan bekalan elektrik dijangka akan mengambil masa lebih lama untuk unit-unit di tingkat 10.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg