Perkhidmatan MRT di Laluan Downtown (DTL) disambung semula antara Bukit Panjang dengan Beauty World selepas kerosakan sistem isyarat dibaiki, kata SBS Transit.
Perkhidmatan bas percuma biasa dan bas penghubung juga telah dihentikan, kata pengendali pengangkutan itu dalam satu kiriman di Facebook pada 8.10 pagi, 28 Ogos.
Ia menyatakan bahawa “kerosakan telah dipulihkan sejak 7.22 pagi,” iaitu kurang satu jam selepas pengendali itu menghantar makluman pertama mengenai gangguan tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Dalam satu kiriman Facebook pada 6.34 pagi, SBS Transit memaklumkan bahawa perkhidmatan DTL tergendala antara stesen Bukit Panjang dengan Beauty World, dan perkhidmatan bas penghubung telah disediakan.
Pada 6.55 pagi, SBS Transit memaklumkan bahawa perkhidmatan DTL berjalan seperti biasa antara stesen Beauty World dengan Expo.
Dalam satu lagi kiriman di wadah X pada 7.15 pagi, ia memaklumkan bahawa kerja pemulihan masih dijalankan, namun perkhidmatan tren ulang-alik disediakan antara stesen terjejas.
Penumpang yang terjejas akibat gangguan itu boleh mencari pilihan pengangkutan alternatif melalui ciri Alternative Transport Option dalam aplikasi SBS Transit, atau ciri Find My Way dalam aplikasi LTA MyTransport.
Ketika ST tiba di stesen MRT Beauty World pada 7.50 pagi, tiada kesesakan dilihat dan tiada papan tanda gangguan dipamerkan.
Ini merupakan gangguan tren keempat yang berlaku pada Ogos.
Pada 6 Ogos, perkhidmatan MRT di sebahagian Laluan Timur-Barat (EWL) tergendala selama lima jam disebabkan kerosakan mesin penukar landasan berhampiran stesen Jurong East.
Pada 12 Ogos, gangguan bekalan kuasa menyebabkan gangguan perkhidmatan tren selama tiga jam di 11 stesen Laluan Timur Laut (NEL), antara Farrer Park dengan Punggol Coast.
Pada hari sama, perkhidmatan tren turut tergendala selama 10 jam di sistem LRT Sengkang-Punggol, juga disebabkan gangguan bekalan kuasa.
Pada 15 Ogos, sistem LRT Sengkang-Punggol mengalami satu lagi gangguan apabila kerosakan kabel antara stesen Farmway dengan Kupang di Sengkang menyebabkan gangguan bekalan kuasa pada rangkaian LRT pada 8.40 pagi, menjejaskan kesemua 29 stesen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg