Sekatan penggunaan vape yang semakin tegas di Singapura kebelakangan ini mendorong penjual vape di dalam talian menjalankan langkah berjaga-jaga tambahan demi melindungi identiti dan perniagaan mereka.
Menurut tinjauan Berita Minggu (BM) pada 26 Ogos, salah satu penjual vape di aplikasi Telegram, Andrew (bukan nama sebenar), menetapkan langkah saringan ketat terhadap bakal pembeli.
Andrew mengesahkan ketulenan pembeli dan mengurangi risiko pihak berkuasa bercampur tangan dengan memastikan pembeli memberikan kod khas pada permulaan mesej sebelum melibatkan diri kepada sembarang proses jual beli vape.
Penjual vape seperti Andrew kebiasaannya mempunyai dokumen dalam talian mengenai jenis vape dan kartrij vape (vape cartridge) yang ditawarkan.
Kartrij vape merupakan tempat isinya ‘e-jus’ atau cecair vape yang biasanya mengandungi nikotin, perasa dan bahan kimia lain.
Rata-rata rangkaian vape yang dijual dalam talian ialah jenis pakai buang yang berharga sekitar $14 ataupun vape jenis set yang menggunakan bateri ditawarkan serendah $19.
Namun, sebahagian vape yang dijual oleh Andrew kini dilaporkan sudah kehabisan stok dan belum lagi ditambah.
Selain berurusan secara peribadi dengan penjual vape di Telegram, terdapat juga saluran kumpulan di aplikasi tersebut khususnya digunakan bagi urusan jual beli vape.
BM dapat menembusi salah satu saluran kumpulan yang menjual vape di Telegram pada 27 Ogos, dan mendapati bahawa terdapat sekurang-kurangnya 150 pelanggan di dalam saluran Telegram berkenaan.
Transaksi bagi urusan jual beli vape di saluran tersebut dikendali oleh ejen sedia ada.
Setiap pesanan yang dibuat melalui saluran seperti ini boleh dijangka sampai pada hari yang sama.
Namun, saluran seperti ini selalunya sukar dicari kerana sering bersifat peribadi dan sukar diakses tanpa bantuan pelanggan yang sudah ada dalam kumpulan itu untuk berkongsikan pautan.
Bagi saluran bersifat peribadi ini, ia memerlukan pelanggan meminta untuk masuk ke dalam saluran itu demi mengawal kemasukan ke dalam saluran tersebut.
BM juga telah menghubungi beberapa belia dalam lingkungan umur 20 tahun hingga 24 tahun yang rata-ratanya pengguna dan bekas pengguna vape.
“Dulu, ia lebih mudah diakses dan dalam erti kata ‘lebih selamat’ untuk membeli kerana peluang untuk ditangkap dalam pembelian tidak begitu ketara.
“Sekarang ia seperti terlalu berisiko disebabkan sekatan oleh pemerintah,” kata seorang bekas pengguna vape apabila ditanya tentang kemudahan mendapatkan peranti tersebut.
Namun, penjualan Kpod atau peranti yang mengandungi etomidate tidak dapat dikesan di kededua platform penjualan vape yang diperhatikan oleh BM.
Etomidate ialah bahan anestetik yang biasanya digunakan dalam amalan klinikal, tetapi semakin disalahgunakan melalui Kpod. Bahan tersebut disenaraikan sebagai dadah haram mulai 1 September.
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata pada Julai lalu, lebih 600 kumpulan Telegram yang mengiklankan atau menjual rokok elektronik atau vape dan Kpod kepada rakyat Singapura telah dihapuskan oleh agensi tersebut.
Menerusi pemeriksaan BM di aplikasi dalam talian seperti Shopee, Lazada dan Taobao pula tidak mendapati sebarang hasil apabila menggunakan carian kata kunci utama mahupun biasa seperti vaporizer atau vape.
Namun, tidak segera diketahui tentang code names atau kod rahsia yang barangkali membuahkan hasil carian vape di platform tersebut.
Pihak pemerintah Singapura telah berusaha mengetengahkan kemudaratan menghisap vape, dan telah menyediakan platform bagi mereka yang ingin menghentikan tabiat tersebut.
Orang awam boleh melaporkan penyalahgunaan vape kepada Cawangan Pengawalan Tembakau menerusi talian 6684-2036 atau 6684-2037 dari 9 pagi hingga 9 petang setiap hari, atau di www.go.gov.sg/reportvape
Mereka yang memerlukan bantuan berhenti vape boleh menyertai Health Promotion Board’s I Quit Programme dengan menghubungi talian Quitline di 1800-438-2000.
Pihak berkuasa menekankan bahawa mereka yang secara sukarela mendapatkan sokongan untuk berhenti vape tidak akan menghadapi sebarang penalti untuk berbuat demikian.
Talian Bantuan:
Kesihatan Mental:
– Talian bantuan nasional: 1771 (24 jam) / 6669-1771 (menerusi WhatsApp)
– Samaritans of Singapore: 1-767 (24 jam) / 9151-1767 (24 jam CareText menerusi WhatsApp)
– Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800-283-7019
– Silver Ribbon Singapore: 6386-1928
– Chat, Pusat Kecemerlangan bagi Kesihatan Mental Belia: 6493-6500/1
– Talian bantuan Wanita (Aware): 1800-777-5555 (Isnin hingga Jumaat, 10am to 6pm)
– Talian bantuan The Seniors Helpline: 1800-555-5555 (Isnin hingga Jumaat, 9am to 5pm)
Khidmat Kaunseling:
– Touchline (Kaunseling): 1800-377-2252
– Talian Touch Care Line (untuk waris): 6804-6555
– Pusat Jagaan dan Kaunseling: 6536-6366
– Perkhidmatan Masyarakat We Care: 3165-8017
– Pusat Kaunseling Shan You: 6741-9293
– Clarity Singapore: 6757-7990
Sumber Dalam Talian:
– eC2.sg
– tinklefriend.sg (bagi mereka yang berumur 13 tahun ke bawah)
– carey.carecorner.org.sg (bagi mereka yang berumur 13 hingga 25 tahun)
– limitless.sg/talk (bagi mereka yang berumur 12 hingga 25 tahun)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg