Lebih ramai belia dan ibu bapa tampil mendapatkan bantuan atau maklumat untuk berhenti menghisap vape, sedang pihak berkuasa kini meningkatkan penguatkuasaan terhadap gejala itu.
Ini juga di tengah-tengah keprihatinan mengenai Kpod atau vape yang mengandungi bahan berbahaya seperti etomidate.
Menurut pertubuhan dan pakar yang dihubungi Berita Minggu (BM) baru-baru ini, individu yang tampil mendapatkan bantuan membuang tabiat vape ini biasanya golongan muda dalam lingkungan usia awal 20-an hingga 30-an.
Hal sedemikian merupakan dapatan yang dikongsi Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semasa sidang media khas baru-baru ini.
Beliau mendedahkan bagi pengguna vape biasa, lebih separuh berusia bawah 30 tahun, dengan sepertiga berusia bawah 18 tahun.
Kaunselor di pusat pemulihan penagihan We Care Community Services, Encik Alvin Seng, berkata badan tersebut mencatatkan peningkatan kes berkaitan vape dan Kpod pada 2025 jika dibandingkan dengan 2024.
Dari Januari hingga Ogos 2025, badan itu mencatatkan lebih 50 kes dan menerima anggaran 10 pertanyaan setiap minggu melalui panggilan telefon.
Ini berbanding 2024, dengan perangkaannya jauh lebih kecil, tambah Encik Seng.
Bagi penyalahgunaan Kpod, beliau berkata pihaknya melihat peningkatan kes individu dalam lingkungan usia 13 hingga 34 tahun.
Sebelum ini, individu dalam lingkungan usia sedemikian lumrahnya berhadapan dengan ketagihan bermain komputer/peranti, video lucah atau media sosial.
Beliau berkata: “Golongan belia menghisap vape atas sebab yang dikaitkan dengan tingkah laku mengambil risiko, yang sentiasa ada dalam kalangan remaja dan kini semakin nyata dengan peningkatan penggunaan vape. Mereka menganggap Kpod pula sebagai sebahagian daripada vape nikotin biasa – tanpa menyedari ia mengandungi bahan (terlarang) lain seperti etomidate, ketamin atau methamphetamine.”
Pengarah eksekutif dan pengasas bersama badan bukan mencari untung Impart, Encik Narasimman Tivasiha Mani, berkata pihaknya juga melihat peningkatan ketara individu yang tampil mendapatkan bantuan bagi membuang tabiat vape.
Beliau berkata setakat 13 Julai, lebih 10 belia telah menghubungi pihaknya bagi mendapatkan bantuan berkaitan vape.
Ini berbanding kurang daripada lima individu yang menghubungi Impart setiap tahun pada 2023 dan 2024 untuk mendapatkan bantuan bagi ketagihan vape, ujarnya.
Encik Narasimman berkata: “Sebahagian besar belia yang menghubungi kami berusia antara 16 dengan 24 tahun – ramai daripada mereka mempunyai kebebasan kewangan.”
Mulai 1 September, pengguna dan penjual vape berdepan dengan hukuman atau denda lebih berat sebagai langkah penguatkuasaan lebih ketat oleh pemerintah bagi mengekang penggunaan vape.
Pejuang antidadah dan pengasas badan berasaskan komuniti Ultimate Friends SG, Cik Nur Azlinda Zulkifli, berkata beliau menerima lebih banyak pertanyaan daripada ibu bapa berhubung vape atau Kpod.
Antara Januari dengan Ogos, beliau mendapat sekitar 25 hingga 30 permintaan daripada ibu bapa menerusi media sosial untuk bertanya tentang Kpod.
Cik Nur Azlinda berkata: “Mereka mengajukan pertanyaan umum mengenai Kpod dan tidak secara langsung mengenai anak mereka.”
Dalam pada itu, beberapa bekas pengguna vape yang dihubungi BM berkata ia lebih sukar mendapatkan bekalan vape meskipun masih boleh didapati di wadah seperti Telegram, dan ada yang telah membuang tabiat itu kerana peka kemudaratannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg