Tidak ramai yang akan mempersoalkan hujahnya jika Dr Mohamad Maliki Osman berkata beliau ialah seorang yang amat sibuk.
Beliau bukan saja menggalas tugasan menteri di tiga kementerian – Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Ehwal Luar – malah meluangkan sebahagian masa mendampingi penduduk di Siglap sebagai Anggota Parlimen (AP).
Selain itu beliau juga suami kepada Cik Sadiah Sahal, serta bapa kepada dua anaknya, Encik Adli Mifzal, 27 tahun dan Cik Lidia Syahindah, 30 tahun.
Justeru di tengah-tengah kesibukan harian yang disulami deringan kiriman mesej WhatsApp yang tidak putus-putus, Dr Maliki tetap meluangkan masa untuk menghantar kiriman mesej kepada keluarganya terdahulu.
Menurut Dr Maliki, selepas beliau menghidupkan enjin kereta dan menunggu enjin panas – rutin hariannya setiap pagi, sebelum menuju ke pejabat, Dr Maliki akan mengucapkan selamat pagi dan menghantarkan kata-kata semangat kepada anak lelaki, anak perempuan dan isterinya dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
Kepada isterinya pula, Dr Maliki akan memberi perkembangan terkini sepanjang hari seperti:
“Sayang, abang akan ke janji temu seterusnya. Awak sedang buat apa? Anak-anak dah makan?”
Rutin ini tidak putus, meskipun beliau kerap ke luar negara dalam peranannya sebagai Menteri Kedua Ehwal Luar.
Meskipun sibuk dan sering harus membuat lawatan ke luar negara dalam peranannya sebagai Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Maliki berkata masa seminit dua yang beliau luangkan untuk bertanya khabar kepada keluarga setiap hari adalah masa yang amat beliau hargai.
Namun apabila ditanya bagaimana Dr Maliki mengimbangi peranan dan tanggungjawabnya, beliau terhenti sejenak sambil merenung kembali dan berkata:
“Saya cuba untuk bersama keluarga tetapi adakalanya saya terpaksa membuat pengorbanan.
“Kalau acara penting sambutan ulang tahun anak atau ulang tahun perkahwinan bersama isteri, saya akan cuba hadir.
“Kesian juga saya lihat anak-anak saya yang sering tertanya jika saya dapat luangkan masa bersama atau adakah saya lagi sibuk bekerja.”
Meskipun demikian, Dr Maliki berkongsi kepada Berita Harian (BH) pengorbanan yang beliau lakukan bukanlah sia-sia kerana ia memupuk sikap persefahaman, keterbukaan dan keprihatinan dalam diri anak-anaknya.
Tahap keprihatinan yang ditunjuk Dr Maliki kepada keluarganya sebagai suami dan bapa, juga diberikan sama rata kepada penduduk GRC East Coast divisyen Siglap, sebagai AP.
Sepanjang tempoh beliau berkhidmat di GRC East Coast sejak 2011, beliau ingin menunjukkan bahawa kawasan tersebut bukan setakat kawasan penuh kehijauan yang dikelilingi pantai dan berhampiran dengan Pulau Ubin.
Baginya, nadi Siglap ialah penduduknya.
Sebagai wajah baru di Siglap pada 2011, Dr Maliki – yang menggantikan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, yang bersara dari dunia politik pada tahun yang sama – telah berikrar untuk melawat setiap rumah di kawasan undinya bagi mengenalkan bukan sahaja dirinya, malah program-program yang disediakan pasukannya untuk penduduk.
Kini 14 tahun kemudian, beliau masih tetap bertemu dengan penduduk di kawasan undi itu tiga kali seminggu untuk mengenal diri mereka dan melakarkan program yang khusus untuk memenuhi keperluan mereka.
Pasukan lima anggota yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Encik Heng Swee Keat, menewaskan Parti Pekerja (WP) dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2020 selepas mendapat 53.41 peratus undi daripada sekitar 115,630 pengundi di kawasan tersebut.
Telah banyak perubahan yang dapat dilihat di Siglap, kata Dr Maliki kepada wartawan BH di Kopitiam Corner@Bedok South Horizon, berdekatan dengan Kelab Masyarakat (CC) Siglap.
Antaranya ialah CC Siglap yang dibuka semula pada 2022, Pusat Makanan Bedok Corner yang menjalani pengubahsuaian selama tiga bulan pada penghujung 2024, perhentian bas baru di sepanjang Flora Road dan stesen MRT baru di Laluan Thomson-East Coast (TEL).
Memberi contoh CC Siglap, beliau berkata kemudahan yang ditawarkan adalah sebahagian daripada proses maklum balas dan tinjauan antara pasukannya dan 700 penduduk Siglap.
Ia menawarkan kemudahan seperti studio memasak dan membakar, bilik menjahit, kemudahan sukan tertutup seperti gelanggang bola keranjang dan badminton yang diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (WBF), gelanggang boling dan futsal atas bumbung, serta kawasan berkebun bersama.
Terdapat juga pasar raya, gim dan pilihan makanan segera yang disediakan untuk penduduk.
Meskipun beliau cuba untuk memenuhi kehendak penduduknya sebanyak mana yang mampu, adakalanya ia sukar melakukan sedemikian, dan adakalanya ia mengambil masa yang lama.
Sesetengah penduduk yang ditemui BH berkongsi mereka ingin melihat lebih banyak laluan pejalan kaki berbumbung dari perhentian bas atau stesen MRT ke rumah masing-masing.
Mereka juga inginkan stesen MRT di Upper Changi Road dan berkata laluan Cross Island yang bakal dibina adalah langkah tambahan yang baik, tetapi belum mencukupi.
Mendengar keresahan tersebut Dr Maliki mengangguk tanda faham.
Beliau menjelaskan:
“Saya dengar keluhan hati mereka dan saya amat memahami.
“Apabila perkara tersebut disampaikan kepada saya, saya akan memberi penjelasan dan menawarkan cadangan alternatif jika saya tidak dapat memenuhi permintaan mereka.
“Berhubung dengan stesen MRT di Upper Changi Road, ianya bukan mudah untuk membina terowong di kawasan tersebut kerana terdapat banyak rumah privet di situ.
“Permintaan bagi laluan berbumbung pula bukan mustahil, namun ia mengambil sedikit masa untuk dilaksana kerana perlu berunding dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).”
Katanya lagi: “Ada kemudahan yang dapat kita berikan dan ada yang tidak dapat dipenuhi.
“Oleh itu kita cuba untuk mencari huraian yang dapat disetujui oleh kesemua pihak.”
Pertama kali diperkenalkan pada GE 2020 oleh Timbalan Perdana Menteri Encik Heng Swee Keat, Pelan East Coast merupakan satu visi untuk membina masyarakat yang penyayang, bersemangat, dan mampan.
Untuk tonggak pertama, bagi mencapai visi membina masyarakat penyayang, adalah penting mengadakan program bagi setiap lapisan umur dan golongan masyarakat.
“Kita adakan program bagi kaum Hawa, golongan warga emas, penduduk yang berkeperluan khas, keluarga dengan kanak-kanak kecil dan mereka yang berpendapatan rendah,” ujar Dr Maliki.
Beliau turut berkongsi bahawa penduduknya ingin agar Pulau Ubin, yang juga sebahagian daripada kejiranan Siglap, dikekalkan seperti sedia ada, tanpa sebarang ubah suai.
Mentelah, Dr Maliki meyakinkan bahawa sebahagian daripada tonggak kedua dan ketiga dalam pelan East Coast adalah untuk mewujudkan koridor hijau, menggalak penduduk untuk bercucuk tanam dan menjaga pantai, selain daripada melindungi alam semula jadi di Pulau Ubin.
Oleh itu, beliau gelar dengan bangga bahawa: “East side is the best side (kawasan timur adalah kawasan yang terbaik)”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg