JOHOR BAHRU: Tinggal empat hari sebelum pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan berdaftar Singapura dilaksanakan, namun ramai pemilik kenderaan, termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, bimbang tidak akan mendapat permit itu sebelum tarikh akhir 1 Oktober.
Mereka yang masih belum berjaya mendapatkan VEP itu merayu Kementerian Pengangkutan Malaysia supaya menangguhkan tarikh pelaksanaannya dan sebaliknya fokus kepada penambahbaikan proses permohonan terlebih dahulu.
Ramai telah pergi ke pusat VEP di Johor Bahru dan Singapura seawal 7 pagi, lapor The Star.
Encik Sharifuddin Mohd Din, 56 tahun, warga Malaysia yang mengusahakan sebuah kedai makanan di Singapura, berkata beliau mungkin terpaksa menaiki bas jika gagal mendapatkan VEP bagi kenderaannya yang didaftarkan di Singapura.
“Saya sudah cuba memohon sejak lebih sebulan lalu dan masih belum menerima e-mel pengesahan,” katanya.
Seorang pesara warga Singapura, Encik Adnan Huzir, 62 tahun, pergi ke pusat pengambilan VEP di Danga Bay, Johor Bahru, selepas gagal melengkapkan permohonan dalam talian walaupun telah mencuba beberapa kali.
Beliau tiba di pusat itu pada 9 pagi dan terdapat kira-kira 100 pemohon menunggu di hadapannya, ujar Encik Adnan.
Seorang tukang masak Singapura, Encik Joshua Tan, 37 tahun, berkata perniagaan di Johor akan terjejas jika kerajaan Malaysia memutuskan meneruskan rancangannya menguatkuasakan sistem VEP pada 1 Oktober.
Sementara itu, setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Johor, Encik Hussein Ibrahim, berkata kementerian itu perlu memberi lebih banyak masa kepada rakyat Singapura mendapatkan tag VEP.
Dua lokasi tambahan untuk pemasangan tag pengenalan frekuensi radio (RFID) bagi VEP dibuka pada 22 September, iaitu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Taman Daya dan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Selatan di Larkin, kedua-duanya di Johor Bahru.
Pada 28 Mei, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, mengumumkan bahawa kenderaan asing yang memasuki negara itu dari Singapura perlu mempunyai tag VEP mulai 1 Oktober.
Sesiapa yang memandu kenderaan bermotor berdaftar asing tanpa VEP boleh didenda hingga RM2,000 ($620) atau dipenjara hingga enam bulan.
Encik Loke berkata dianggarkan 18,000 kenderaan Singapura melintasi Tambak Johor ke Malaysia setiap hari, menjadikannya salah satu lintasan sempadan darat paling sibuk di dunia.
Selepas pelaksanaan VEP, kenderaan Singapura akan diimbas semasa masuk dan keluar Malaysia, dan terus membayar caj jalan sedia ada sebanyak RM20 setiap kemasukan.
Sistem VEP kali pertama diumumkan pada 2017, tetapi pelaksanaannya ditangguhkan dua kali, pada 2019 dan 2020, disebabkan masalah pemasangan dan pendaftaran tag VEP-RFID.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg