Setelah selesai menjalani proses naik taraf pada 2023, Masjid Al-Amin kini disuntik semangat baru. Masjid tersebut semakin rancak meneruskan program dakwah dan pembelajaran agama terutama bagi para pendermanya.
“Sekali lagi, kami ingin merakamkan jutaan terima kasih atas sokongan padu para penderma kepada kami selama ini. Semoga Allah swt menggantikan setiap pengorbanan anda dan menggolongkan penderma dalam janji Allah swt seperti termaktub dalam Surah Saba, ayat 39, yang bermaksud: ‘Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki’,” jelas Pengurus Dakwah serta Khidmat Keagamaan Masjid Al-Amin, Ustaz Md Syafiee Md Hassan.
Menurut Ustaz Md Syafie, walaupun Masjid Al-Amin telah siap dinaik taraf, usaha membina masjid tidak terhenti pada bangunannya sahaja. Ia perlu diisikan dengan program-program yang bermanfaat untuk memimpin dan membina ummah.
“Tambahan lagi, dengan keperluan keagamaan masyarakat kita yang terdiri daripada golongan belia, yang berkeluarga, serta golongan berusia, kami perlu terus giat mengendalikan pelbagai program serta memberikannya suntikan segar dalam pembelajaran agama dan pengamalannya,” katanya lagi.
Antara program Masjid Al-Amin dengan suntikan baru ialah usaha kerjasama dengan Masjid Yusof Ishak bagi acara Siri Forum Roadshow Masjid Al-Amin yang ketiga dengan menampilkan Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan pada pagi ini.
Selain itu, Masjid Al-Amin bakal mengadakan program dakwah yang menarik di MalaysiaFest 2025 anjuran MegaXpress Internasional. Masjid Al-Amin merupakan benefisiari bagi acara tahunan ini. Acara MalaysiaFest ini akan bermula dari 31 Julai hingga 3 Ogos ini, bermula dari 10 pagi hingga 10 malam.
“Kesemua program serta penyelenggaraan Masjid Al-Amin selama setahun, memerlukan perbelanjaan sekitar $1.2 juta.
“Justeru, kami amat bersyukur dijemput sekali lagi untuk menjadi benefisiari atau penerima manfaat oleh MegaXpress Internasional,” kata Ustaz Md Syafiee dengan penuh rasa syukur.
“Nantikan dan sokonglah program dakwah masjid pada acara MalaysiaFest ini.
“Setiap program dilakarkan dengan penuh perhatian bagi memenuhi keperluan kerohanian dan jasmani anda. Ia juga merupakan program yang dekat dengan hati masyarakat kita,” ujar Ustaz Md Syafie lagi.
Selain itu, Ustaz Md Syafiee mengatakan bahawa ia adalah peluang hadirin menambah saham akhirat mereka.
Antara program menarik lain pada acara empat hari ini ialah Senaman Perdana beramai-ramai serta panduan kesihatan bersama Cik Haslinda Ali daripda kumpulan senaman, fitfab. Cakap Masjid Perdana Bersama selebriti Fiza O dan Ustazah Dr Sakinah Saptu dengan tajuk, ‘3 Pesanan Nabi Buat Wanita Penghuni Syurga’ serta Forum Perdana ‘Mantra’, antara tradisi dan agama, bersama pempengaruh YouTube, KC Champion, Ustaz Herman Sudil dan Ustaz Fadhly Rosli.
Ustaz Md Syafiee berkata:
“Semoga juga setiap sumbangan tuan-tuan dan puan-puan dijadikan sebab terimanya doa, bertambahnya kesihatan, diampunkan segala dosa, dijauhkan daripada sebarang perkara yang tidak disenangi dan sentiasa dirahmati Allah swt.”
MalaysiaFest akan diadakan di Singapore Expo dari Khamis hingga Ahad, 31 Julai hingga 3 Ogos 2025, di Dewan 5A & 5B.
Reruai Masjid Al-Amin terletak di L17.
Acara di MalaysiaFest bersama Masjid Al-Amin:
1. Senaman Perdana beramai-ramai serta panduan kesihatan Bersama Cik Haslinda Ali, daripada kumpulan senaman fitfab pada 31 Julai, Khamis,10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
2. 1 Ogos, Jumaat, 10.30 pagi hingga 12 tengah hari, Cakap Masjid Perdana Bersama Fiza O dan Ustazah Dr Sakinah, Sabtu, dengan tajuk: ‘3 Pesanan Nabi Buat Wanita Penghuni Syurga’.
3. 2 Ogos, Sabtu, 10 pagi hingga 12 tengah hari, Khataman Al-Quran Perdana pimpinan Ustaz Zahil Zakaria serta tausiyah oleh Ustaz Md Syafiee Md Hassan dan Ustazah Naszirah Abd Kadir dengan tajuk ‘Mencapai Ketenangan dengan Al-Quran’.
4. 2 Ogos, Sabtu, 5 petang hingga 6 petang, Forum Perdana ‘Mantra’ antara tradisi dan agama bersama pempengaruh YouTube KC Champion, Ustaz Herman Sudil dan Ustaz Fadhly Rosli.
5. 3 Ogos, Ahad, 10 pagi hingga 12 tengah hari, Majlis Maulid dan Tahnik Jamai’e, dengan menampilkan Ustaz Syamir Jamalludin, Ustaz Abd Rashid Suhaimi serta Kumpulan Ikhwanul Muntaqa. Masjid Al-Amin juga menampilkan Ustazah Naszirah Abd Kadir, Ustazah Sumah Fadalee, Ustazah Azizah Abd Jalil, Ustazah Widadul Wahidah Mahamod dan Ustazah Maria Mohd serta Kumpulan Muslimah masjid-masjid Singapura untuk bersama dalam acara selawat.
6. 3 Ogos, Ahad, 7.30 malam hingga 8 malam, Majlis Doa Selamat bagi para penderma serta pemilik gerai yang dipimpin oleh Ustaz Abd Rashid Suhaimi dan Ustaz Md Syafiee Md Hassan.
Anda boleh dapatkan maklumat tentang program-program dakwah Masjid Al-Amin yang lainnya di laman web https://www.alaminmosque.com/
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg