Pihak pengurusan Masjid Al-Istiqamah menyedari kos menjalankan projek infak semakin meningkat, lantas memikirkan cara lebih inovatif untuk mengumpul dana sempena Ramadan.
Lantaran itu, aktivis masjid di 2 Serangoon North Avenue 4 itu telah mempersiapkan diri bagi projek mengumpul dananya sekitar September 2024, enam bulan sebelum Ramadan bermula pada 2 Mac lalu.
Sasaran yang ditetapkan adalah mengumpul dana sebanyak $180,000.
Bagi projek Infak Ramadan ini, pihak masjid telah mengusahakan penjualan kurma Ajwa dan Safawi, sejadah, kuih Raya serta madu di pekarangan masjid sejak awal Februari lalu.
“Bagi membiayai kos perbelanjaan untuk Ramadan yang semakin meningkat setiap tahun, kami harus mencari jalan kreatif untuk mengumpul wang secukupnya,” jelas Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Istiqamah, Encik Muhammad Firdaus Suraidi, 37 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Menurut Encik Firdaus, jualan tersebut disambut meriah oleh jemaah masjid.
Ramai yang menggemari sejadah dan kuih yang ditawarkan, sementara kurma Ajwa habis dijual selepas beberapa hari sahaja jualan dibuka.
“Setiap keuntungan hasil jualan ini akan disalurkan kepada Dana Ramadan kami.
“Apabila jemaah beli barang yang dijual di masjid, mereka sekali gus dapat menyumbang kepada masjid dan masyarakat kita,” tambah beliau.
Hasil jualan barangan ini akan digunakan untuk membiayai kos iftar, agihan bubur dan acara Ramadan lain.
Sasaran Dana Ramadan sebanyak $180,000 itu mengikut anggaran jemaah yang akan hadir, jumlah makanan yang perlu disediakan, bubur yang akan diagih dan individu yang akan dijemput sebagai imam atau menyampaikan syarahan.
Mengenai kos yang diperlukan untuk menganjurkan iftar masjid, Encik Firdaus berkata kerjasama pembekal makanan iftar amat penting.
Ada kalanya jumlah jemaah mula merosot atau meningkat tanpa dijangka, menyebabkan kesukaran bagi pihak masjid menganggarkan sebanyak mana makanan yang diperlukan.
“Kami ingin semua jemaah yang datang ke masjid berasa selesa, dengan makan dan minum yang mencukupi,” kata Encik Firdaus lagi.
Maka itu, pembekal harus sentiasa fleksibel supaya dapat melaksanakan bukan sahaja semua tempahan makanan yang dipesan, tetapi juga pesanan tambahan.
“Kami mempunyai amanah yang agak berat dalam memastikan makanan mencukupi bagi setiap jemaah yang datang untuk iftar,” kata Encik Firdaus.
“
“Bagi membiayai kos perbelanjaan untuk Ramadan yang semakin meningkat setiap tahun, kami harus mencari jalan kreatif untuk mengumpul wang secukupnya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg